BBB, 03 Zulkaedah 1435 = 29 Ogos 2014 (Jumaat):
Konflik pemilihan Menteri Besar Selangor makin memuncak bila
tempoh bagi parti-parti dalam Pakatan Rakyat diminta oleh pihak Istana setiap
parti dalam Pakatan Rakyat mengemukakan nama calon Menteri Besar Selangor lebih
dari dua nama. Namun PKR tetap berpendirian hanya Y.B. Datin Seri Wan Azizah
calon tunggal dari mereka bagi kerusi Menteri Besar Selangor.
Untuk memahami mengapa PKR bermati-matian tidak mencalon
selain dari Wan Azizah tidaklah payah. Sebagai
Presiden PKR yang dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor ,beliau
selayaknya menjadi Menteri Besar, maka Adun-Adun PKR tidak ada pilihan lain melainkan
menyokong penuh di atas pencalonan tersebut, sebarang pengecualian akan
berhadapan dengan tindakan disiplin parti. Pendirian PKR turut disokong DAP.
Tetapi faktor yang
paling utama, mengapa Wan Azizah mesti dicalonkan sebagai Menteri Besar
Selangor, jika tidak dicalonkan maka `Langkah
Kajang` yang mengorbankan Adun PKR yang
menang di Kajang sebelumnya menjadi
sia-sia, menghabiskan masa, tenaga dan kewangan, jika tiba-tiba yang dilantik adalah individu yang
lain, apa lagi jika yang dilantik,
wibawanya lebih rendah dari Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, jika
demikian menjatuhkan wibawa dan imej
bukan saja PKR, tetapi PR di Negeri Selangor. Rakyat akan mempersoalkan apakah
faedahnya menukarkan Menteri Besar sehingga menjadi konflik terbuka , bukan
saja di kalangan yang dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar, tetapi antara
parti-parti di dalam PKR. Alangkah baiknya jika status-quo sebelumnya
dipertahankan dengan keadaan politik yang stabil dan keyakinan rakyat
berkekalan. Adalah lebih indah, jika sebarang rancangan untuk menukar Menteri
Besar dipendamkan terlebih dahulu dan pihak berkenaan perlu bersabar hingga
pilihanraya umum akan datang, sehingga ianya tidak menjadi konflik terbuka
seperti sekarang. Walau apapun konflik sudah berlaku. Tindakan telah diambil.
Pihak PKR merasa bahawa mereka berada pada kedudukan yang kukuh dengan sokongan
majoriti Adun Dewan Negeri Selangor.
Pas sememangnya dari awal mempunyai pendirian tersendiri dan
memperlihatkan dirinya tidak seharusnya tunduk kepada kemahuan PKR dan
berpegang kepada apa yang lebih baik bagi parti itu. Lantaran itu dari awal Pas
mencalonkan lebih dari seorang calon. Pas juga akur dengan arahan Istana yang
mau setiap parti dalam PR menghantar nama calon bagi Menteri Besar lebih dari
dua nama. Mustafa Ali selaku Setia Agung Pas memaklumkan bahawa Pas akan
menghantar tiga nama bagi calon Menteri Besar dan tidak ada calon dari Pas.
Ketiga-tiga calon menurut Mustafa Ali adalah dari PKR.
Pas nampaknya terlalu jujur dan tidak mau mengambil
kesempatan dari kemelut yang berlaku bagi menonjolkan calon dari Pas, walaupun
Pas berhak berbuat demikiani. Namun kejujuran Pas ini tidak semestinya dapat
membawa kepada jalan penyelesaian, lantaran
sebagaimana yang berlaku, mana-mana calon dari PKR yang dikaitkan dengan
perlantikan Menteri Besar seperti Y.B.
Azmin Ali dan Y.B. Nik Nazmi, maka mereka segera menolak dan teguh menyokong
Wan Azizah. Apa yang hendak ditekankan di sini, bahawa pola yang berlaku kepada
kedua Y.B dari PR yang dikaitkan dengan
Menteri Besar segera menolak dan menegaskan sokongan kepada Wan Azizah, maka
pola yang sama akan berlaku kepada yang dicadangkan oleh Pas yang menurut
Mustafa Ali, ketiga-tiga yang dicalonkan adalah dari PKR. Logiknya pencalonan selain daripada Wan Azizah akan
sama ditolak oleh mereka yang dicalonkan dari PKR. Jika ini berlaku perlantikan
Menteri Besar masih belum dapat diselesaikan. Dengan keadaan ini, mungkin
parti-parti di dalam PR diminta sekali lagi menamakan calon-calon yang
berkemungkinan ada nama yang lain dari PKR yang mungkin boleh menyelesaikan masalah.
Tetapi jika kemelut tidak dapat diatasi ada kemungkinan DUN Selangor dibubarkan
?
Sebarang pembubaran, maka semua parti dalam PR menanggung
risiko yang di luar dari jangkaan. Dengan kemelut yang berlaku sekarang telah banyak
merosakkan imej semua parti di dalam PR. Rakyat, khususnya di Selangor tidak
senang dengan kemelut politik yang berlaku di Selangor. Jika DUN Selangor dibubarkan dan pilihanraya peringkat negeri diadakan, maka bukan mustahil PR akan menerima
kekalahan. Jika demikian tepatlah dengan kata pepatah:
``Yang dikejar tak dapat
Yang dikendong
berciciran
Orang berniaga untung berganda
Awak berniaga rugi semata
Itulah perhitungan pandir politik
di sebalik pandai yang diharapkan.``
Sekian.
No comments:
Post a Comment