August 16, 2014

Isu Menteri Besar Selangor & Percanggahan Dua Adun Pas

BBB, 19 Syawal 1435 = 15 Ogos 2014 (Jumaat):


Dalam saat-saat kritikal politik Kerajaan Pakatan di Selangor, seharusnya Adun setiap parti berdiri teguh di belakang pimpinan setiap  parti sebagai etika berparti.  Setiap tindakan yang diambil perlu keputusan secara mesyuarat yang mengambil perkiraan dari segi natijah dan implikasi.
Tindakan Pas yang terus menyokong pimpinan Tan Sri Khalid menjadi Menteri Besar, lantaran tidak ada bukti penyelewengan yang mewajarkan beliau ditukar merupakan hujah yang kukuh dan penolakan terhadap Wan Azizah menjadi Menteri Besar mempunyai kewajaran.
Pihak Istana menolak hasrat Wan Azizah mau mengadap Sultan Selangor boleh ditafsir sebagai isyarat bahawa Baginda tidak berkenan dengan hasrat Wan Azizah mau menjadi Menteri Besar Selangor. Pendirian Pas yang juga menolak Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor adalah selari dengan sikap Istana yang enggan menerima Wan Azizah.
Tanpa bertujuan mendiskriminasi dari segi gender, kepimpinan lelaki diiktiraf oleh Al-Qur`an adalah lebih diutamakan selama mana ada lelaki yang berkelayakan. Firman Allah bermaksud:
``Kaum lelaki adalah pemimpin dan pelindung yang bertanggujawab terhadap wanita.`` (Al-Nisa`: 34)
Dalam konteks Dun Selangor ada lebih ramai pemimpin lelaki dari pihak pemerintah yang berkelayakan menjadi Menteri Besar Selangor. Apa lagi dilihat Wan Azizah masih baharu dan belum sampai setahun menjadi Adun di Selangor (Kajang), lagi pula beliau bukan anak jati Selangor.
Dilihat lebih jauh, bahawa kemeluk politik yang berlaku di Selangor sekarang tidak lain dari dilakukan oleh tangan pimpinan PKR sendiri. Kalau kemenangan PR di Kajang tidak diganggu gugat dan tidak ada pilihanraya kecil, sudah pasti kemelut yang berlaku sekarang tidak terjadi, tetapi pilihanraya kecil di Kajang diadakan selepas Adun PKR yang menang diminta letak jawatan dengan alasan, kemenangan sebagai `Jalan Ke Putra Jaya` tetapi  yang sebenarnya ialah `Jalan Ke Kerusi Menteri Besar Selangor`. Pola yang sama berlaku – Selepas Adun Kajang diminta letak jawatan, maka Menteri Besar Tan Sri Khalid pula diminta meletak jawatan sebagai jalan laluan.
Permainan politik yang menjadi isu kini terlalu kasar dan tidak memperlihatkan kebijaksanaan secara  seni berpolitik dan ianya boleh dibaca dan difahami oleh rakyat biasa.
Dalam perebutan untuk menjadi Menteri Besar ini perlu dilihat dari segi dasar pemilihan untuk menjadi Menteri Besar, iaitu  majoriti kerusi yang dimiliki parti di dalam DUN Selangor. Dengan pemecatan Tan Sri Khalid dari PKR bererti bahawa PKR hanya mempunyai 13 kerusi, sedang Pas dan DAP masing-masing adalah 15 kerrusi,  Bebas 1 dan BN 12. Dengan kedudukan ini Pas adalah lebih berkelayakan untuk mendesak bagi mendapat Kerusi Menteri Besar. Kita kira Pas hendaklah menggunakan kelebihan ini di dalam menolak calon wanita yang memang tidak diperkenan oleh pihak istana dan sebagai gantinya prioritinya jika Menteri Besar yang ada sekarang yang Pas berusaha mempertahankan, andainya tidak berjaya, maka calon Menteri Besar hendaklah dari Pas, maka jika terpaksa berkompromi calon yang lain, maka hendaklah  calon dari lelaki yang berkelayakan.
Kemelut baru yang di luar dari jangkaan Y.B. Saari Sungib dari Pas (Hulu Kelang) dan Y.B. Hasnul Baharudin juga dari Pas (Morib) yang menyokong  Kem Wan Azizah (PKR) menimbulkan masalah yang sepatutnya perkara ini tidak timbul dari parti Pas yang seharusnya setia kepada kepimpinan dan keputusan yang diambil oleh Pas. Kedua-dua Y.B. berkenaan mencalarkan imej Pas, lebih dari itu mereka memasalah dan menambahrumitkan situasi yang telah rumit. Tindakan mereka berdua tidak boleh disifatkan sebagai hero, sebaliknya sebagai bercanggah dengan kepimpinan Pas. Kita menunggu tindakan dari parti terhadap mereka berdua dan menunggu kebijaksanaan pemimpin parti-parti PR di dalam menyelesaikan kemelut yang terjadi. Kita berharap tindakan mengadakan pilihanraya peringkat negeri tidak menjadi jalan terakhir dan jika terjadi, dalam masa kebanyakan rakyat hilang kepercayaan bererti menempah kekalahan.  Jangan sampai untung sekarung rugi seguni dan peluang kemenangan sukar datang lagi.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment