BBB, 07 Syawal 1435 = 03 Ogos 2014 (Ahad):
Masa yang penting bagi pembinaan Masjid Al-Umm, ialah
memulakan pembinaan masjid tersebut. Tetapi tempoh penungguan ke arah permulaan
pembinaan Masjid Al-Umm sejak dicetuskan memakan masa relatifnya agak lama (5
tahun). Ada
beberapa tahap dilalui yang merupakan tempoh penungguan dan bertindak.
Permulaan ialah dengan Penubuhan Jawatankuasa Pembinaan
Masjid selepas kemenangan pilihanraya ke 12 (Mac 2008) yang merupakan janji
Adun. AJK dipengerusikan oleh Penulis selaku Adun Bangi dan Setiausaha Tuan
Haji Hussin Yunos. Permohonan pewartaan untuk mendirikan masjid Al-Umm
dikemukakan kepada JAIS selepas pilihanraya dan mendapat jawapan dari Pejabat
Tanah Hulu Langat –Surat Rujukan PTD.UL.16/3//5.2008(3) bertarikh 24 Mac 2008 sebagai
tindakan yang diambil JAIS. Permohonan diangkatkan oleh JAIS itu mendapat
kelulusan pewartaan tapak Masjid Al-Umm oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar
Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim. Surat dari Pejabat Tanah ditujukan kepada
JAIS, Surat Bil. PTD.UL. 16/3/194-2006(9), bertarikh 1 September 2009 dan
mendapat pengukuhan jawapan dari JAIS bahawa tiada halangan tapak bagi
mendirikan Masjid Al-Umm – Surat Bil. 16 dlm. JAI. Selangor.BKP/03/016/5/22
bertarikh 17 November 2009.
Selepas dua bulan dari pemerimaan kelulusan, maka Penulis
selaku Adun Bangi dengan penuh sedar, bahawa masjid yang bakal didirikan bukan
bagi kawasan Surau Al-Umm, Seksyen Satu sahaja, tetapi melibatkan kawasan yang
mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah surau, maka Penulis selaku Adun Bangi pada
masa itu menjemput pengerusi-pengerusi dan setiausaha-setiausaha surau atau
wakil-wakil juga dijemput YDP Persatuan Penduduk BBB Dr. Tajul Ariffin
Noordin ke satu pertemuan bagi
mendirikan masjid pada malam 4 Februari 2010 bertempat di Surau Al-Umm. Seramai
30 orang peserta hadir. Pertemuan bersetuju membina Masjid Al-Umm di atas tapak
tanah seluas 2 ekar Lot 51177, Jalan 1/4A,
BBB. Pertemuan juga bersetuju menubuhkan AJK-AJK Induk dengan dipengerusikan
oleh Penulis selaku Adun dan Tuan Haji Hussin Yunos selaku Setiausaha. Tiga
buah AJK Kerja juga ditubuhkan, iaitu AJK Pelan Binaan dan Landscaping diketuai
En. Nasai, AJK Dana diketuai Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Mohd. Yasin dan AJK
Pendidikan diketuai Dr. Tajul Ariffin Noordin. Pertemuan menganggarkan kos pembinaan
Masjid Al-Umm sebanyak RM10 juta.
Dari tarikh penubuhan AJK Induk dan AJK-AJK Kerja
usaha-usaha dilakukan antaranya memohon kebenaran memungut derma bagi Tabung
Pembinan Masjid Al-Umm. Pihak MAIS memberi kebenaran bagi kali pertama mulai
dari tarikh 10 Februari 2012 sehingga 6 Julai 2013. Walau bagaimana kerja-kerja
pelan pembinaan Masjid Al-Umm tidak berjalan. Yang dilantik tanpa hadir, tidak
pernah hadir mesyuarat. Lantaran itu mulai awal tahun 2012 berlaku pertambahan
baru dalam AJK Induk seperti Haji Omar bin Jaafar, Ir. Haji Ishak bin Arshad, Ir. Haji Ghazali
bin Husin, Haji Ahmad Sufie Munassir, Raja Fuaddin bin Raja Ahmad, Muhammad
Adham bin Anuar (Setiausaha Kerja) dan Haji Suib bin Maulud serta penubuhan AJK
Teknikal mulai pertengahan 2012 yang dipengerusikan oleh Ir. Haji Ishak bin
Arshad. Perlantikan tambahan memberi tenaga baru bagi AJK-AJK menggerakkan
pembinaan Masjid Al-Umm.
Berikutan dari kebenaran JAIS membenarkan pemungutan derma
mulai dari 10 Februari 2012 sehingga 6 Julai 2013 (kebenaran pertama)
sebagaimana telah dibicarakan pihak AJK mengadakan Majlis Pelancaran Tabung
Masjid Al-Umm pada 19 Mei 3012 dan dapat memungut sejumlah RM150,000 dan diikuti
Majlis Mesra Dan Kenduri Kampung bersama Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor
pada 6 Januari 2013 yang bertujuan antaranya untuk memungut derma. Dalam majlis
itu Y.A.B. Dato` Menteri Besar berjanji pihak Kerajaan Negeri akan
memperuntukkan dana berdasarkan `ringgit bagi seringgit` sehingga sejumlah RM6 juta ringgit.
Pihak AJK merasakan bahawa pembinaan Masjid Al-Umm agak
lewat, berbanding dengan misalnya Masjid Bandar Seri Putra yang Penulis selaku
Adun Bangi turut terlibat melancarkan derma bagi pembinaan masjid (Masjid
al-Mustaqim) yang ternyata mendahului Masjid Al-Umm dan kini hampir siap.
Begitu juga dengan usaha membina Masjid Terapung Taman Seri Melor yang Penulis
sendiri turut terlibat yang pada masa itu diwar-warkan sudah ada peruntukan
dari ahli koperat (Projek ini walau bagaimana masih belum berjalan).
Halangan yang ketara yang menghambat dan melewatkan
pembinaan Masjid Al-Umm, yang penting ialah dana yang masih kecil. Usaha
mendapat dana ialah dengan mendapat derma melalui 10 orang yang dilantik (ada
yang tidak bergerak). Selain menerima langsung dari penderma-penderma dan
mendapat izin dari masjid dan surau-surau yang mendirikan Jumaat yang antaranya
sampai ke Shah Alam. Yang mengusahakan pungutan secara `Tong Derma` ini ialah
Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud bersama Mohd. Adham Anuar Setiausaha Kerja juga
Ustaz Ahmad Hasbullah AJK. Walau bagaimana jumlah pungutan yang didapati hingga
ke pertengahan 2013 dalam lingkungan RM1.7 juta. Sebagai catatan sehingga akhir
2013 individu muslimat adalah merupakan penderma sekaligus tertinggi sejumlah
RM100,000 yang disumbangkan pada masa pelancaran pertama derma pada 19 Mei
2012. Manakala ada beberapa orang menjadi penderma tetap bulanan RM1,000 dan
ada yang kurang daripada itu setiap bulan. Pihak AJK mencadangkan agar dipohon
dari kerajaan negeri sejumlah yang dipungut untuk dijadikan modal permulaan
bagi pembinaan yang dihasratkan pada akhir 2013 ini juga. Permohonan dibuat,
tetapi mendapat jawapan dari Pejabat Menteri Besar - Surat MB . Sel. 30/1 Jld. 67 bertarikh 19 Februari
2013 tiada halangan, tetapi syarat mesti pungut dengan jumlah nyata RM6 juta
terlebih dahulu.
Adalah menjadi hasrat AJK mau memulakan pembinaan
sekurang-kurangnya pada akhir tahun 2013 itu juga. Usaha memungut derma digandakan
dan kelulusan menyambung kebenaran memungut derma didapati dari pihak MAIS bagi
kali kedua mulai November 2013 hingga Mei 2014.
Namun satu halangan lagi ialah bahawa sehingga pertengahan
2013 masih ada lagi masalah-masalah pelan pembinaan yang tak selesai dan masih
belum mendapat kelulusan. Pihak Firma Urusbina mendapat tekanan dan ada kala
mendapat campur tangan dari pihak AJK Pembinaan berurus secara langsung dengan pihak
MPKj bagi mendapat kelulusan. Misalnya surat dari Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm
kepada YDP MPKj bertarikh 8 Oktober 2012 mau mengetahui status kelulusan pelan
dan mau diadakan rundingan, seterusnya pertemuan antara beberapa AJK diketuai
Pengerusi dengan YDP MPKj Dato` Hasan Nawawi Abdul Rahman dan beberapa
pembantunya mengenai pelan yang belum yang belum diluluskan pada 6 Februari
2013 dan susulan oleh beberapa AJK berkenaan kelulusan pelan.
Namun dengan keyakinan, walaupun ada masalah dan halangan
kami berazam meletakkan target untuk mulakan pembinaan pada akhir 2013 itu juga
– Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment