August 10, 2014

Penentuan Arah Kiblat - Dato` Dr. Haron Din, Penaung Masjid Al-Umm Rasmikan


BBB,  13 Syawal 1435 = 09 Ogos 2014 (Sabtu):
Satu keperluan penting yang menjadi syarat di dalam mendirikan masjid juga surau ialah menentukan arah Kiblat bagi memastikan jamaah yang bersolat betul-betul menghadapi ke arah Kiblat sebagaimana yang dituntut di dalam solat. Ayat Qur`an mengenai tuntutan mengarah ke Kiblat bermaksud:
``Maka palingkan wajahmu ke arah Masjidil Haram `` (Al-Baqarah: 144).
Sebelum `Masuk Tapak`  perkara ini telah dibincang dan dibuat permohonan terhadap JAIS memohon untuk menentukan arah Kiblat.
Namun sebelum daripada itu  mesyuarat telah mengambil ketetapan bagi mengadakan Solat Hajat dan Doa Selamat`  sempena dengan pembinaan Masjid Al-Umm. Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat ini ditetapkan pada 21 Januari 2014. Namun pihak Jabatan Mufti Kerajaan Selangor memberi  respond segera terhadap permohonan menentukan Kiblat dan bersetuju menghantar pegawai-pegawai bagi menentukan Arah Kiblat Masjid Al-Umm ialah pada 2 Januari 2014. Dengan  respond dari Pejabat Mufti ini, maka Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat  dicadang diawal dan disatukan dengan Majlis Penentuan Arah Kiblat. Dalam menentukan Arah Kiblat  ini –  tidak semestinya pegawai dari Jabatan Mufti atau JAIS hadir, kerana kerja-kerja menentukan Arah Kiblat ini diswastakan kepada  syarikat-syarikat yang pakar dari segi penentuan Arah Kiblat. Terdapat beberapa syarikat yang dilantik menurut zon.
Sebagai formality AJK Pembinaan Masjid Al-Umm membuat keputusan, bahawa Perasmi bagi Pengukuran dan npenentuan Arah Kiblat Masjid Al-Umm dilakukan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung bagi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm. Kebetulan pada tarikh tersebut beliau mempunyai masa untuk hadir .
Berhubung dengan arah Kiblat ini, pada permulaan Islam solat yang dilakukan ialah mengarahkan ke Baitul Maqdas. Rasulullah s.a.w. bercita-cita kiranya solat berkiblatkan Baitullah yang membinanya ialah Nabi Allah Ibrahim a.s.  Dengan berkiblatkan Baitullah di Masjidil Haram dapat menghendar dari perlian orang Yahudi dan Nasrani yang berkiblatkan Masjid Al-Aqsa dan orang-orang Islam seolah-olah mengikut mereka.
Beberapa riwayat Hadith diperturunkan oleh Ibn Karhir dalam Tafsir Ibn Kathirnya. Antaranya , ``Dalam Kitab al-Sahihain (Bukhari dan Muslim) disebutkan sebuah Hadith yang diriwayatkan dari Ibn `Umar r.a, ia berkata, ketika orang-orang mengerjakan solat subuh di Masjid Quba`, tiba-tiba datang seseorang kepada mereka seraya berkata, ``Sesungguhnya tadi malam telah diturunkan ayat kepada Rasulullah s.a.w. dan Baginda diperintahkan untuk solat menghadap ke Ka`bah, maka menghadaplah kalian ke Ka`bah.``  Pada saat itu posisi mereka menghadap ke Syam (Baitul Maqdis), lalu mereka berputar menghadap ke Kiblat (Ka`bah).``( Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jil. 1, Pustaka Ibn Kathir, Jakarya, Tahun ?: hlm. 488).
Ini digambarkan oleh ayat Qur`an bermaksud:
``Sesungguhnya kami sering melihat wajahmu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkanmu ke Kiblat yang engkau sukai. Maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram.`` (Al-Baqarah: 144).
Majlis Penentuan Arah Kiblat Masjid Al-Umm  yang diadakan pada hari Khamis 30 Safar 1435 bersamaan 2 Januari 2014 bermula jam 9.00 pagi di tapak Masjid Al-Umm berlaku bersama-sama kerja tanah yang sedang dilakukan.
Para jemputan yang hadir adalah lebih kurang 100 orang bersama Dato` Dr. Haron Din, ialah Pengerusi dan AJK-AJK Pembinaan Masjid, juru-juru ukur dan peralatan menentukan arah Kiblat, Kontrektor Tuan Haji Marzuki bin Che Omar, wakil-wakil masjid dan surau-surau dan para tetamu jemputan.
Dato` Dr. Haron Din melihat dan memastikan arah Kiblat melalui alat ukur Arah Kiblat dan meminta ditanda arah dengan pemancang rasmi daripada besi  yang ditanam kejap agar dipastikan bahawa pemancang tanda tidak lari dan mengelak dari gangguan kenderaan dan kerja-kerja gali dan pemindahan tanah.
Dari ukuran yang dibuat dipastikan bahawa:
Arah Kiblat Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi ialah:
Latitude:   02 darjah   56 minit  40 saat
Longitude:   101 darjah  46 minit  15 saat
Arah Kiblat:  292 darjah  36 minit  58 saat
Tarikh Pengesahan:   2 Januari 2014
Diperakui oleh: Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor
Tarikh:  3 Januari 2014
Surat dari Jabatan Mufti:  6 Rabiul Awwal 1435 bersamaan 8 Januari 2014.
Majlis berakhir dengan doa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment