BBB, 21 Syawal 1435 = 17 Ogos 2014 (Ahad):
Kebersihan adalah keperluan penting di dalam kehidupan. Kebersihan juga adalah tuntutan agama dan kemasyarakatan. Yang bersih sihat segar dan berperaturan, manakala yang kotor sakit menderita dan tidak tenteram.
Bersih itu ada dua bahagian
Maknawi dan juga kenyataan
Kedua-dua hendaklah dijaga
Supaya bersih adalah sempurna
Ibarat solat bersihnya dari najasah
Juga serta bersih dari hadath
Jika tidak dari awal solat tidak sah
Amal sia-sia tiada pahala bertambah.
Mendirikan masjid mengambil perkiraan dari segi kebersihan.
Iaitu kebersihan maknawi dan juga lahiri. Kebersihan maknawi ialah ikhlas kerana
Allah,menurut peraturan negeri dan negara mendapat kelulusan gazet tanah
sebagai tapak pembinaan masjid, mendapat keizinan dari JAIS kebenaran
mendirikan masjid, mendapat kelulusan plan arkitek dari MPKj, bahkan mendapat
kelulusan MAIS kebenaran memungut derma bagi mendirikan masjid dan mendapat
kelulusan dari segi penentuan arah Kiblat. Segala kelulusan yang disebutkan
adalah perlu yang jika tidak akan menimbulkan masalah dan perjalanan tidak
licin dan sebarang perlanggaran adalah tidak bersih. Segala persyaratan yang
dibuat bukan bertujuan halangan, tapi memastikan tapak tanah tidak termasuk di
bawah pemilikan orang dan perlu digazetkan agar tidak ada pihak lain berusaha
untuk memilikinya jika belum digazet. Juga adalah menjadi kacau jika sesiapa
saja bebas mendirikan masjid, katakana di atas tanah milik persendirian, konon demi kebajikan dan
orang lain dalam satu kariah turut mendirikan masjid konon juga untuk kebajikan. Pada hal dengan demikian boleh
menimbulkan perpecahan, lantaran kebenaran mendirikan masjid perlu dikawal oleh
pihak yang berkuasa – JAIS.
Demikian berhubung plan arkitek, jika dibenarkan pendirian
bangunan secara bebas, maka tidak menjadi teratur, bukan saja merosakkan
pandangan, tetapi boleh membahayakan. Misalnya tidak menurut spesifikasi bomba
dan perparitan tidak teratur boleh membawa kepada masalah banjir dan
sebagainya. Jika pemungutan derma juga dilakukan dengan bebas boleh membawa
kepada penyelewengan dan ada pihak mengambil kesempatan berselindung di sebalik
derma untuk masjid dengan tujuan yang lain. Begitu juga jika tiada agensi yang
mengawal dari pembetulan kiblat, akan terjadi pengukuran dari pihakyang tidak
berkebolehan dan berlaku ketidaktepatan dari segi pembetulan Kiblat dan ini
merugikan tenaga dan peruntukan.
Dari segi kebersihan lahiri, sebagaimana telah disebutkan
sebanyak empat kali kebersihan terhadap tapak dilakukan. Peringkat awal tahun
1910, kemudian selepas 2012, kebersihan sebelum Y.A.B. Dato` Menteri Besar
melawat tapak dan kebersihan selengkapnya sebelum dikeluarkan tender sejak
Oktober 2013. Ini dilakukan bukan semata-mata bersih fizikal dari segi kawasan,
tetapi membolehkan kontrektor yang membina Masjid Al-Umm mendapat penerangan
dan view yang sebenarnya dan pihak kontrektor dapat membuat penilaian objektif
terhadap tapak dan jangkaan pembinaan dan pembangunan yang akan dilakukan dan
dapat membuat penilaian secara lebih tepat dari segi kos pembinaan dan
pembedaan yang sanggup dilakukan.
Dengan segala kebersihan yang dilakukan secara lahiri dan
maknawi, masjid sebagai bangunan ibadat yang dipandang suci diharapkan
benar-benar suci dari segi perkiraan dengan berbagai pihak jabatan dan agensi
dan bersih dari segi fizikal dan persediaan benar-benar suci. Semoga pembinaan
Masjid Al-Umm dari segi lahiri, maknawi bahkan dari segi hakikat ianya diusaha
dan didirikan atas dasar taqwa, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Adalah dia Masjid didirikan atas dasar taqwa yang sejak dari
awal hari lebih berhak engkau berdiri padanya . Dan padanya ada lelaki-lelaki
yang suka kepada pembersihan Dan Allah menyukai mereka yang mementingkan
kebersihan (Al-Taubah: 108).
Tengah malam bangun tahajud
Memperhamba diri
kepada Allah
Suci amalan membawa
taqarrub
Pintu taqwa terbuka menyerlah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment