August 27, 2014

Konsep Martabat Sebagai Klasifikasi Dalam Falsafah Pemikiran Islam

BBB, 30 Syawal 1435 = 26 Ogos 2014 (Selasa):
Pengkelasan ilmu adalah salah satu aspek yang dibicarakan di dalam falsafah keilmuan Islam. Pengklasifikasian didasarkan kepada misalnya dari segi keutamaan ilmu yang dituntut dalam Islam. Ilmu kerohanian yang berhubung dengan aspek metafizik dilihat sebagai keilmuan tertinggi dan diberi keutamaan  di dalam hiraki keilmuan, kemudian diikuti dengan keilmuan akli, pembuatan dan sebagainya.
Di dalam Islam dilihat ilmu yang paling tinggi ialah ilmu berhubung dengan  ketuhanan, diikuti dengan keilmuan kerohanian yang lain, khususnya yang berkait dengan akidah di dalam rukun Iman dan kemudian diikuti dengan keilmuan yang berhubung dengan syariat dan akhlak. Pandangan yang sedemikian – tentang ilmu kerohanian adalah didasarkan antaranya pada Hadith Nabi. Antaranya Hadith riwayat Sayyiduna  Umar r.a. menceritakan Nabi Muhammad ditanya oleh Malaikat tentang Rukun Iman dan Islam dan juga tentang Ihsan (Mustafa Abdul Rahman, Hadith Empat Puluh Matan Al-Arba`in al-Nawawiyyah, Dewan Pustaka Fajar, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, 1988: 70-71).
Daripada Hadith ini dapat dikategorikan bahawa keilmuan yang paling utama  ialah keilmuan yang berhubung dengan akidah, iiaitu kepercayaan kepada Allah dan Rasulullah diikuti rukun-rukun iman yang lain, manakala kategori kedua ialah keilmuan yang berhubung dengan syariat yang terkandung di dalam rukun Islam, manakala kategori ketiga ialah yang berhubung dengan kerohanian seperti Ilmu tasawuf. Terdapat klasikasi ilmu dibuat oleh Al-Farabi (m. 950M.), Imam Al-Ghazali (m. 1111M.) dan beberapa lagi (Osman Bakar, Classification of Knowledge In Islam, Institute For Policy Research, Kuala Lumpur,  1992: 1).


Kepentingan mengenali Allah  dianggap puncak keilmuan  hingga diungkapkan bahawa:
Awwalu wajibin `ala al-Insan Ma`rifatu`Llah
Bermaksud: Kewajiban terawal bagi Insan ialah mengenal Allah.
Konsep mengenal Allah ini antaranya dibicarakan secara serentak antara keilmuan akidah dan tasawuf, atau dikatakan pembicaraan secara theosofi. Jika di dalam ilmu Tauhid atau Akibah membicarakan tentang Allah dan Rasul melalui sifat-sifat wajib, mustahil dan harus dengan dalil-dalilnya dan lebih tinggi kepada pembicaraan mengenai berbagai aliran ilmu al-Kalam seperti dari mazhab Ash`ari, Maturidi, membawa kepada Mu`tazihah, Qadariyyah, Jabariyyah dan sebagainya. Di dalam pembicaraan mengenai Ketuhanan pada satu masa, misalnya pada abad ke 17 di Aceh amat terpengaruh dengan faham falsafah theosofi  yang ditokohi seperti oleh Ibn `Arabi dan Abdul Karim al-Jili. Tokoh-tokoh yang mendukung aliran ini turut membicarakan tentang falsafah wahdatul wujud seperti konsep ahadiyyah, wahdah, wahidiyyah, tariqat, syari`at, hakikat dan ma`rifat. Atau yang dikenali dengan martabat tujuh. Walau bagaimana aliran seperti ini yang berkembang terutama di Aceh pada abad ke 17 dapat dikalahkan dengan kehadiran aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang dari aqidahnya berpegang pada aliran Ash`ari dan Maturidi, dari segi fiqhnya berpegang pada mazhab Shafie dan dari segi tasawufnya berpegang dengan aliran Al-Ghazali. Aliran-aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah dari segi akidah seperti yang dihuraikan oleh Shaykh Muhammad Zain bin Al-Faqih Jalal al-Din dengan kitabnya Bidayat al-Hidayah, di dalam bidang fiqh seperti dihuraikan oleh Shaykh Daud al-Fatani seperti di dalam kitabnya yang berjudul Furu` al-Masa`il dan  Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari dengan kitabnya  Sabil al-Muhtadin dan beberapa kitab fiqh yang lain dan di dalam bidang tasawuf seperti yang dihuraikan oleh Shaykh  Abdul Samad al-Falimbani yang antara kitabnya ialah Sayr al-Salikin dan kitab-kitab  dari pengarang tasawuf berbahasa Melayu yang lain.
Selain dari melihat klasifikasi keilmuan Islam dengan kedudukan utama ilmu `aqidah, fiqh dan tasawuf. Pandangan sederhana  yang  terbawa di dalam pandangan budaya, khususnya di dalam seni bina ialah memahami tentang Ketuhanan melalui  kefahaman tentang Tariqat, Syariat, Hakikat dan Ma`rifat;
Tariqat  iaitu jalan membawa kepada pengenalan Tuhan dengan keilmuan asas dan aqidah yang betul
Syari`at, iaitu mengamalkan dalam kehidupan segala ibadat yang wajid seperti solat, puasa, zakat dan haji dan amalan-amalan sunat dan berbagai lagi
Haqiqat, iaitu mengamalkan ilmu kerohanian yang betul termasuk muhasabah, sabar,  taubat, zikir, ikhlas, taqwa dan sebagainya yang boleh membersih diri dalaman disamping membersih diri luaran melalui ibadat. Manakala pada peringkat tertinggi ialah Ma`rifat Allah setelah melalui tariqat, syari`at dan haqiqat, mungkin dengan hidayat Allah terbuka baginya kasyaf yang mendekatkan diri kepada Allah.

Pandangan sedemikian mendominasi pandangan masyarakat Islam pada zaman tradisi. Ini dapat dilihat terpengaruh pada seni bina masjid tradisi seperti Masjid Demak di Gresik Jawa, Masjid  Kg. Laut Nilam Puri, Kelantan, Masjid Tok Tuan, Kemaman. Masjid-masjid berkenaan dibina secara bertingkat – empat tingkat yang melambangkan pada bahagian bawah kepada tariqat, pada tahap dua ialah syariat, pada tahap tiga ialah haqiqat dan pada tahap terkeatas ialah ma`rifat. Masjid-masjid tradisi seperti ini masih dikuti dari seni binanya terdapat pada masjid-masjid kini. Di Selangor seperti Masjid Al-Rahman, Kg. Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor, Masjid Dato` Dagang, Kg. Jawa, Selangor dan beberapa yang lain. (Mohd. Zainudin Abdullah dan Noorhayati Md. Yatim, Warisan Masjid-Masjid Lama Di Selangor, Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor, Shah Alam, 2012: 26 & 36).
Pembinaan masjid yang mempunyai atap dan bahagian bertingkat ini, sama ada secara sedar dari segi falsafah atau sebagai ikutan dari segi budaya seni bina masjid tradisi yang diwarisi adalah bersifat praktikal, kerana dengan bumbung empat tingkat yang antara tingkat-tingkat berkenaan mempunyai ruang dapat dimasuki angin yang menyejukkan dalam ruang masjid, di samping itu pada siang hari ruang-ruang ini juga dapat dimasuki cahaya yang menjadikan ruang dalam masjid terang dan jelas. Ruang bertingkat ini dapat dikatakan sebagai warisan seni bina yang berciri estetik setempat dan bersifat functional yang patut diterus dan dikekalkan seni bina yang seumpama ini.
Adapun Masjid Al-Umm adalah merupakan masjid moden. Pembinaan tiga tingkat lebih didorong oleh kerana kekurangan ruang yang tanahnya lebih kurang dua ekar sahaja. Binaan Masjid Al-Umm tidak dapat dilebarkan lebih dari keluasan tanah yang diperuntukkan kepadanya, sebab itu didirikan secara tiga tingkat. Namun bentuk tiga tingkat yang mempunyai ciri seni bina dan ciri estetikanya secara kebetulan sebagaimana penulis telah tuliskan, bahawa tiga  tingkat -  bawahnya sebagai perlambangan bagi akidah yang dari segi tiang-tiang sebagai pancang yang mengukuhkan pegangan bagi segala rukun keislaman, bagi  tingkat kedua adalah melambangkan bagi syariat yang mana pada tingkat ini amal ibadat terutama solat ditunaikan dan keilmuan yang diajar melalui tingkat ini melambangkan amalan syariat secara praktikal yang dilakukan oleh para jamaah yang hidup secara berjamaah dan bermasyarakat yang memang dituntut oleh Islam, manakala pada tingkat tiga adalah lambing bagi kerohanian yang dicapai  melalui pembersihan dari segi akidah dan amalan dari segi syariat dan darinya meningkat kepada peringkat kerohanian yang terhias jiwa dengan kebersihan rohani yang membawa kepada peningkatan kualiti rohani yang dilambangkan dengan kubah  dan menara.
Perbandingn dan klasifikasi mengindahkan gambaran, memudahkan kefahaman,  menciri dan mengidentitikan  keilmuan dan budaya yang dipegang dan dibanggakan  yang seharusnya tidak bercanggah dengan falsafah dan nilai Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment