September 1, 2019

HIJRAH PENTINGKAN AKHIRAT, JANGAN LUPAKAN DUNIA


HJIJRAH, PENTINGKAN AKHIRAT JANGAN LUPAKAN DUNIA
(Fikrah Bangi:  334),
BBB: 01 Muharram 1441H. = 01 September 2019M.  (Ahad):
Berdasarkan ayat 77 Surah al-Qasas, demikianlah tajuk kuliah Subuh pada pagi ini disampaikan oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Yusoff Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hijratul Rasul bagi peringkat Masjid Al-Umm pada pagi awal Hijrah hari ini. Petang semalam telah diadakan do`a akhir dan awal tahun Hijrah.
Menurutnya hidup kita di dunia amat pendek, iaitu dalam tempoh yang relatifnya antara  60 hingga 70 tahun sahaja. Kehidupan yang hakiki dan berterusan ialah kehidupan akhirat. Namun untuk ke akhirat tidak dapat dipisahkan dari dunia, bahkan dunia adalah tempat persediaan akhirat. Sebab itu  semasa di dunia perlu persediaan, amal ibadat dan kehidupan yang baik sebagai bekalan ke akhirat.
Menurutnya Allah mencipta manusia berbagai bangsa, berbagai warna kulit dan berbagai bahasa sebagai pertanda kekuasaan Nya.
Namun Allah tidak memandang kepada tubuh badan, rupa paras, tetapi ialah yang dipandang ialah kepada hati kamu.
Sesungguhnya yang terlebih mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah yang terlebih taqwa dari kalangan kamu.
Sudah tentulah untuk menilai hati seseorang sesuatu yang sukar, dan ia adalah bersifat dalaman. Allah jua yang mengetahu hakikat hati, kemurnian dan keikhlasan hati seseorang. Tetapi pertanda luaran merupakan manifestasi dalaman.
Ustas Mohd Yusoff mengambil contoh kerosakan hubungan yang berlaku di kalangan kaum Aus dan Khazraj di Madinah sejak sekian lama sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Perseteruan adalah dari dendam yang berlaku sejak bergenerasi di kalangan mereka.
Selepas Hijratul Rasul ke Madinah, secara dakwah dan diplomasi Rasulullah telah memperbaiki hubungan antara kedua kaum tersebut berdasarkan nilai ukhuwwah di dalam Islam. Rasulullah mengambil pendekatan fizikal selepas Hijrah dengan membina masjid seperti Masjid Quba` dan Masjid al-Nabawi. Ianya menjadi tempat ibadah, tarbiah dan tadbiran yang mendidik Umat Islam. Pendekatan yang bersifat rohaniah, iait berasaskan aqidah tauhid  dan ukhuwwah Keislaman Baginda telah menyatukan kaum Aus dan Khazraj yang penyatuan merekla dikenali dengan kaum Ansar yang kaum ini bersatu dengan kaum Muhajirin
Kaedah penyatuan menurut Ustaz Anmad Yusoff berdasarkan ayat  9 Surah al-Hujurat, yang bermaksud.
Jika berlaku perbalahan antara kedua pihak di dalam Islam, maka hendaklah didamaikan antara kedua pihak, jika satu pihak  melampaui ke atas yang lain, maka hendaklah  diperangai ke atas yang melampau sehingga  mereka kembali ke jalan Allah, setelah mereka balik hendaklah didamaikan antara kedua pihak dengan adil dan saksama . Sesungguhnya Allah  suka kepada yang melakukan keadilan.
Menurut Ustaz Ahmad Yusoff di dalam  melakukan diplomasi dapat dilakukan oleh orang perempuan. Beliau memberi contoh, prihatin seorang muslimat dengan membersih bekas ludah seorang jama`ah di masjid dengan membersihnya dan menyembur wangian yang ada padanya pada tempat bekas kotoran. Sifat ini dipuji Rasulullah yang sebelumnya tidak menyenangi dengan kotoran yang dilakukan.
Kedua diplomasi Imam Shafie ketika mengimami jamaah Imam Hanbali dengan tidak membaca qunut bila berjemaah dengan mereka. Mazhab Hanbali tidak membaca qunut.
Menurut Ustaz Ahmad Shukri ada empat hak yang perlu dijaga,  iaitu:
Hak Hati, - Tidak berniat dan sangka buruk
Hak Lisan – Menjaga lidah agar tidak berdusta dan memburuk yang lain.
Hak Harta – Dengan mengeluarkan zakat, bersadaqah dan memberi makan kepada orang lain.
Hak Badan – Jaga daripada binasa,menziarah orang sakit dan usaha menyembuhkan
Dengan berhijrah kepada amalan-amalan yang baik – Insya Al;lah kita dapat mempertingkat kualiti diri dan menjadi satu batu binaan yang dapat memperkukuhkan umat antara satu sama lain.
Sekian.

No comments:

Post a Comment