September 27, 2019

IMEJ MEMPENGARUHI DAKWAH


IMEJ  MEMPENGARUHI DAKWAH
(Fikrah Bangi: 359).
BBB:  27 Muharram 1441H. = 27 September 2019M. (Juma`at).
Walaupun ia bukan perkara asas bagi dakwah, tetapi ia mempengaruhi dakwah. Ia melibatkan perkara yang besar seperti kedudukan umat Islam sebagai kuasa di dunia, membawalah kepada perkara yang kecil seperti imej muallaf selepas masuk Islam.
Perkara besar dari imej yang berhubung dengan kekuasaan politik dan pemerintahan, pendakwah menggambarkan tentang kekuasaan Islam yang menarik orang bukan Islam menerima Islam, bahawa kejayaan dan kekuasaan politik yang menjadi model kepada umat Islam, bahawa Rasulullah dengan secara bijak menyatukan  dua kaum penting di Madinah -  kaum Aus dan Khazraj yang sebelumnya berseteru dan berpecah menjadi bersatu dan dikenali dengan golongan Ansar yang disatukan dengan kaum Muhajirin. Dengan penyatuan mereka Rasulullah membentuk pemerintahan Negara Islam Pertama di Madinah. Ianya menjadi model bagi negara Islam.
Keagungan zaman pemerintahan Islam  pada zaman Kerajaan Abbasiyyah berpusat di Baghdad atau kerajaan di Cordova di Andalusia juga menjadi contoh tentang tamadun dan peradaban Islam membawalah kepada kekuasaan kerajaan Turki sehingga awal abad 20.
Imej dan kemajuan umat amat penting di dalam mempengaruhi masyarakat untuk menerima pengaruh dan sanjungan terhadap kekuasaan sesuatu negara. Kekuasaan British menguasai pemerintahan hampir tiga perempat dunia dari abad ke 17 hingga bad 20, termasuk menguasai negara kita, amat mempengaruhi masyarakat yang melihat British begitu unggul, maka kita terpengaruh dengan tamadun yang dicapai termasuk budaya budaya, bahasa dan pemerintahan yang dilaksanakan di negara kita. Bahasanya dipelajari dan agama yang dianuti mereka dianuti oleh setengah rakyat di negara ini.
Imej Islam dan umatnya   kini amat mempengaruhi maju dan mundurnya umat.. Kemajuan umat Islam menjadi  kemegahan bagi umat dan menjadi contoh dan ikutan umat, sebaliknya kejatuhan dan kemunduran umat antara menjadi sebab umat Islam dipandang rendah dan mengurangkan dari segi dakwah. Pihak musuh Islam terutama Barat dan yang anti Islam berusaha merosakkan imej umnat Islam agar Islam tidak lagi menarik untuk diterima sebagai pegangan agama. Sebenarnya sejak dari Islam berkuasa, maka musuh Islam berusaha memadam pengaruh Islam. Wibawa umat Islam dirosak dan direndahkan melalui penjajahan terhadap negara-negara Islam sejak abad ke 17 sehinggalah jatuhnya empayar Turki pada awal abad 20.
Dalam politik semasa, banyak dari negara-negara Islam bangkit dan menjadi  kuasa minyak yang dapat mempengaruhi dunia dan umat. Antara dua kuasa minyak penting ialah Iran dan Iraq.Imperialis Amerika berpengaruh di Iran dan menguasai kekayaan minyak di situ,  tetapi revolusi Iran tahun 1969
menghalau keluar Raja Shah Redha Pahlawi dan Amerika dari Iran.  Amerika hilang pengaruh di Iran dan berdendam terhadapnya hingga kini. Bagi menghilangkan penaruh Islam Amerika memerangi Afghanistan  yang masih belum padam dari huru hara, kemudian Amerika juga mencetuskan peperangan di Iraq dan membunuh Presiden Saddam, sebagaimana dia juga mengatur strategi bersama Israil menjatuhkan Mu`ammar Ghadapi di Libya dan membubnuhnya. Demikianlah satu demi satu negara Islam yang kaya dengan minyak dilemahkan. Kini Amerika yang disebut berdendam dengan Iran, menyekat penjualan  minyak Iran agar negara itu lumpuh dari segi ekonomi.. Amerika juga sedar tentang kekayaan `Arab Saudi dari segi hasil  minyak.  Walaupun Arab Saudi menjadi sekutu rapat Amerika tetapi kekayaan Arab Saudi tidak disenangi, lantaran itu Amerika Israil mencetus konflik antara Yaman dan Arab Saudi  Peperangan yang berlaku antara Yaman dan `Arab Saudi diharap akan mengurangkan kekayaan Arab Saudi yang terpaksa membeli senjata terutama dari Amerika bagi memerangai Yaman yang sehingga kini belum berakhir.
Kelemahan umat Islam yang dilihat sentiasa bersengkita dan berperang merosakkan   imej umat Islam dan mengurangkan daya terikan terhadap Islam. Ianya mengganggu  dan menyukarkan dari segi dakwah.
Sekian.

No comments:

Post a Comment