March 21, 2010

Berkat Muafakat Bergotong Royong

Bandar Baru Bangi, 04 R. Akhir = 20 Mac (Sabtu):

Dalam masa yang lebih kurang sama pagi ini, ADUN mempunyai 4 program jemputan yang perlu ditunaikan dan perlu berpakaian bekerja tenaga dan ala sukan. ADUN memilih terlebih dahulu pergi bersama saudara Azizi, ke Program Gotong Royong bagi membina jalan konkrit bagi laluan murid-murid sekolah dari perumahan jalan Dua, Seksyen Dua (dihuni sejak 1981) ke Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi di Jalan Dua. Sebelum ini jalan ini merupakan denai pejalan kaki yang agak semak dan tidak dibersih. Jalan ini sejauh 50 meter dari perumahan ke tepi jalan ke sekolah.

ADUN sampai jam 9.00 pagi. Orang ramai sudah tiba dan bekerja. ADUN mendapati sebuah boldozer beckho sedang bekerja membersih kawasan tepi dari kayu dan semak. Sebahagian dari pekerja sedang menebang pokok. Trek jalan telah dipasang benteng papan lapis setinggi satu kaki – kiri kanan, manakala bahagian tengahnya sudah diletakkan jaringan besi yang bakal mengukuhkan simen bila dicurah ke dalam trek laluan selebar lebih kurang tiga kaki itu. ADUN bersalam dengan mereka yang datang melalui tepi trek jalan hingga ke bahagian hujung tepi perumahan. Sambil bekerja mereka menunggu kedatangan lori pembancuh simen yang ditempah khas membawa simen yang 'ready mixed'. Sambil kami bercakap, minum kopi dan makan nasi pulut gaul kelapa, saudara Azizi menurunkan kotak-kotak air mineral yang kami bawa untuk minuman para pekerja yang makin ramai yang berjumlah lebih kurang 70 orang.




ADUN bercakap dengan Saudara Salahuddin Ismail yang mengurus dan memesan simen 'ready mixed' dari Syarikat Chin Hin Konkrit, Kuala Lumpur. Mengenai kos pebelanjaan bagi membina trek pejalan kaki pada hari ini. Menurutnya perbelanjaan adalah berasaskan kepada jumlah peruntukan yang diberi ADUN iaitu sebanyak RM2,500/=. Daripada jumlah ini perbelanjaan adalah seperti berikut:

1) Simen sebanyak 6 ton, harga seton RM 190 x 6 berjumlah RM 1,140
2) Sewaan backho (bekerja membersih dan buat track) RM 760
3) Membeli bahan- papan lapis dan jejaring besi RM 750

Jumlah perbelanjaan RM 2,710


Pada masa bercakap ini lori simen 'ready mixed' tiba jam 9.30 sebagaimana dijanjikan. Sebahagian dari kami bergerak ke arah lori di sebelah jalan besar ke tepi sekolah. Setelah pemandunya membetulkan kedudukannya, dan mulai memusing bulatan yang berisi simen dan backho menadah dengan mangkuk jengkautnya, kami termasuk juga ADUN menadah 'kereta sorong' dari curahan simen dari lori dan menolaknya ke dalam trek di bahagian hujung dan tengah. Kerja-kerja mencurah dan meratakan simen ini dilakukan secara beramai-ramai dengan cara yang agak cepat dan pantas. Dalam masa satu jam simen diturun, dicurah dan diratakan beramai-ramai hingga trek sejauh 50 meter itu penuh diratai simen. Bahkan ada lebihan simen dan dibawa ke Surau Ehsan berdekatan untuk memperbaiki kerosakan di sana.


Menurut Dr. Amran Abdul Majid Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen Dua yang juga Merangkap Pengerusi Surau, "Perancangan membina jalan track ini dibuat dalam mesyuarat penduduk yang membawa kepada permohonan peruntukan dari ADUN Bangi yang meluluskan sebanyak RM2500," katanya dan menambah. "Kami mengucapkan terima kasih." Apabila ditanya, "Apakah rancangan selanjutnya?" Beliau menambah. "Kami akan bina trek pejalan kaki di tepi jalan besar dan menutup parit dengan slab hingga berdepan pintu sekolah bagi memudahkan murid-murid sekolah dari Seksyen 2 ke sekolah dengan lebih selesa."

Bila ditanya dengan adanya jalan ini, memudahkan peragut-peragut meragut?"


Menurut Dr. Amran, "Kami tak benar trek ini diguna oleh penunggang motosikal, juga untuk elak dari pecah."



Sesungguhnya kerja-kerja yang dilakukan banyak, termasuk oleh backho sejak semalam. Dengan hasil bermuafakat dan bergotong royong kos dapat dikurangkan. Kos sebenarnya jika diberi kepada kontraktor mengurus mungkin RM7,000/= tidak cukup, tetapi hasil dari gotong royong kos yang dibelanjakan tidak sampai RM3,000. Syabas kepada penduduk yang telah menjayakan gotong royong.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment