March 26, 2010

Meraikan Penyokong-Penyokong Setia

Pekan Bangi, 5 R.Akhir = 21 Mac (Sabtu):



Kegiatan PAS Serdang dan ADUN Bangi banyak dibantu oleh penyokong-penyokong dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka menghabiskan tenaga, masa bahkan material di dalam memberi sokongan ini tanpa mengharapkan sebarang balasan.


Bagi menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada mereka, sebuah Majlis Ramah Mesra & Mengenang Jasa diadakan bertempat di Balai Raya Pekan Bangi yang dihadiri semua kaum. Turut hadir pada malam ini ialah Ustaz Shafie Ngah, Timbalan YDP yang juga Ahli MPKj, Saudara Haji Mazwan Johar, Naib YDP yang juga Ahli MPKj, Saudara Adhram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Serdang, Saudara Abu Bakar (Setiausaha), Saudari Jeanette Yeo dan Saudara Hari Krishnan selaku tuan rumah. Tuan Haji Sukaimi (Setiausaha Cawangan) yang berkebetulan pulang bercuti, turut sama hadir bersama AJK setempat. Jumlah yang hadir melebihi 100 orang.

~Encik Abu Bakar, Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional~



Berucap di dalam majlis itu Dr. Shafie Abu Bakar selaku YDP dan ADUN mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan selama ini dan mengharapkan sokongan sedemikian akan terus diberikan. Beliau berharap melalui pimpinan setempat memudahkan komunikasi dan masalah dapat disalur dan diselesaikan. Segala permohonan peruntukan dapat disalurkan melalui pimpinan tempatan. Turut berucap, Tuan Haji Shafie Ngah yang mengharapkan pertemuan dan ramah mesra sedemikian lebih kerap diadakan. Dengan demikian hubungan menjadi lebih erat. Saudara Haji Mazwan juga berucap melahirkan kegembiraan kerana majlis seperti ini mendapat sambutan dan dihadiri pelbagai kaum. Tiga orang wakil dari pelbagai kaum turut sama berucap.





Majlis puncak pada malam itu ialah penyampaian watikah penghargaan kepada penyokong-penyokong berjasa. Watikah disampaikan oleh YDP merangkap ADUN Bangi. Selepas jamuan ADUN bersama pengiring menziarah pesakit En. Joseph a/l William yang pernah ADUN ziarahi dan menyampaikan tilam khas di Hospital Kajang dahulu. Sambil menyampaikan bantuan, ADUN memberi kata-kata penghargaan kepada isteri pesakit yang terus setia menjaga suaminya yang terlantar sakit bertemankan anak-anak mereka.

No comments:

Post a Comment