March 23, 2010

Presiden Rasmikan Pejabat PAS Hulu Langat

Prima Saujana, Kajang, H. Langat, 06 R. Akhir = 22 Mac (Isnin):


Presiden Pas YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang malam tadi merasmikan Pejabat PAS yang bertempat di No. 2/P, Jalan Prima Saujana, Kajang. Turut sama hadir YB Dato' Dr. Hasan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, YB Dr. Shafie Abu Bakar, ADUN Bangi, YB Cikgu Lee Kim Sin, ADUN Kajang, Ketua Muslimat Selangor, Pn. Hajjah Wan Hasrina bt. Wan Hassan, Saudara Khairuddin Othman, Setiausaha Pas Negeri Selangor, wakil-wakil DAP dan Keadilan serta ahli-ahli dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan orang ramai yang jumlahnya hampir seribu orang.

Tuan Guru dalam ucapannya memuji AJK PAS Hulu Langat yang diketuai YDP Tuan Haji Razali Hassan dan Timbalannya Saudara Mat Jan Sulong yang berjaya membeli Pejabat PAS Hulu Langat. Beliau menyatakan dua tahun Pakatan Rakyat memerintah, khususnya di Selangor, walaupun dalam Pakatan terdiri dari parti-parti berbagai ideologi, tapi dapat mengadakan persefahaman. Allah mengurniakan Negara Malaysia dengan masyarakat yang unik dan memungkinkan kita menyelesaikan kepelbagaian masalah dari pelbagai kaum dengan baik. Kepelbagaian jangan dijadikan halangan untuk bekerjasama, tetapi jadikan ia sebagai sumber kekuatan. Dengan kebijaksanaan pelbagai kaum menjadikan kita satu gabungan kekuatan.


Menurut Tuan Guru, PAS menjunjung perlembagaan tertinggi iaitu al-Quran dan al-Hadith yang prinsip ini tidak ada kompromi bagi PAS. Islam mengajar ummah agar memetik kebijaksanaan dari pelbagai sumber ilmu. Islam amat menekankan keadilan kepada semua, termasuk bagi masyarakat majmuk. Contoh masyarakat Madinah pada zaman Rasulullah yang terdiri daripada orang Islam, Yahudi, Kristian, Parsi, Rum dan pelbagai kaum. Dengan keadilan Islam mendapat sambutan. Islam tidak menjajah, tetapi melakukan pembukaan. Islam mengambil ilmu dari Rum, Parsi dan Yunani serta membina tamadun dan peradabannya. Keadilan dan kejujuran kita tawarkan dan bekerjasama dengan parti-parti di dalam Pakatan Rakyat. Kita berkompromi dengan semua parti di dalam Pakatan Rakyat, bahawa semua parti menerima Agama Islam adalah Agama Rasmi di Malaysia, tetapi agama-agama lain tidak dilarang dari diamalkan oleh penganut-penganutnya. Bahasa Melayu ialah bahasa Rasmi dan mereka menerima kedudukan Raja-Raja dan Kedaulatan mereka di Negara ini. Kita akan terus berjuang menegakkan keadilan.

Menurut Tuan Guru lagi, dalam dua tahun memerintah, khususnya di Selangor telah banyak kita lakukan, tetapi pastilah banyak lagi yang kita mahu lakukan. Rakyat perlu bersabar, kita tidak dapat lakukan semua dalam masa yang singkat. Tetapi apa yang kita lakukan lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh BN. Kita harap orang ramai memahami dan terus memberi sokongan. Kita perlu lebih masa untuk melakukan perubahan dan kebaikan bagi rakyat. Sebab itu berilah sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Sebelum dari itu, Tuan Haji Razali Hassan, YDP PAS Hulu Langat menyampaikan ucapan alu-aluan. Menurutnya pengundi di Hulu Langat hampir 100,000 orang. Setakat ini PAS mempunyai 54 cawangan dan 11 cawangan dalam proses pendaftaran. Bagi PAS Hulu Langat yang begitu luas yang terdiri dari tiga DUN, iaitu Kajang, Semenyih dan Dusun Tua, satu pejabat sebenarnya tidak cukup, sebab itu usaha bagi menambahkan pejabat akan terus dilakukan bagi mengatur pentadbiran supaya lebih licin.

YB Dr. Che Rusli Che Mat selaku Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor berucap mewakili YB Dato' Dr. Hasan Ali Pesuruhjaya Pas Selangor yang tiba sedikit lewat. Dr. Che Rusli mengucap tahniah kepada PAS Hulu Langat yang mempunyai pejabat sendiri. Kejayaan memiliki bangunan ini adalah atas kerjasama semua pihak, khususnya ahli PAS Hulu Langat. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penderma-penderma. Menurut beliau kos belian bangunan 3 tingkat adalah RM 241 ribu ringgit (RM87 x 3). Peluang berderma dan mencari pahala terus terbuka. Kita masih memerlukan kewangan untuk mengadakan pejabat-pejabat di tempat lain. Pada malam ini juga dilancarkan derma dan pungutan wang. Selepas merasmikan Pejabat PAS Hulu Langat, YB Dato' Seri Tuan Guru dibawa melawat ke Pejabat di tingkat atas dengan diiringi tamu-tamu jemputan sebelum Tuan Guru bertolak ke Semenyih meneruskan lawatan ke sana.

Sekian.

No comments:

Post a Comment