March 10, 2010

Darul Bayan: Takmilah Pendidikan Islam

Kg. Pinang Merah, Paka, 19 Rabiul Awwala = 05 Mac (Jumaat):


Semasa menghadiri Ijtimak Pondok & Pusat Pengajian Islam Seterengganu sebagai salah seorang pembentang kertaskerja, saya mengambil kesempatan selepas pembentangan meninjau institusi pengajian Darul Bayan. Tinjauan ini ada hubungan dengan kami di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi juga berhasrat mendirikan 'Masjid Tahfiz' yang menjadi pusat pengajian. Kami berhasrat meninjau sebanyak mungkin pusat pengajian yang boleh dijadikan contoh dan panduan. Saya dapati usaha membangunkan Darul Bayan hasil dari kecekalan yang boleh disifatkan mereka yang terlibat sebagaimana diisyaratkan oleh firman Allah bermaksud:

"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayat pertunjuk (al-Kahfi: 13)."


Titik permulaan ke arah mendirikan Madrasah Darul Bayan bermula dari selepas perkembalian Ustaz Hj. Saifulbahri Bin Mamat – anak tempatan dari pengajian di Mesir. Beliau mencadang kepada AJK Masjid Pinang Merah agar dibuka pusat pengajian tradisional secara pengajian kitab turath. Idea dan cadangan beliau dipanjangkan kepada AJK masjid yang diketuai Imam pada masa itu, iaitu Tuan Haji Su bin Abdullah. Ustaz Saiful kemudian membentangkan kertaskerja berhubung dengan projek pengajian yang dicadangkan dengan disertai sama AJK Pas Cawangan Kampung Nyiur dan AJK Pas Tebing Tembah. Idea dan cadangan diterima membawa kepada bermulanya dibuka pengajian berindukkan Masjid Pinang Merah pada tahun 1414H/1992M.


Pengajian Pondok

Model pengajian awal dicadangkan ialah pengajian tradisional yang dikenali dengan 'Pengajian Pondok'. Bagi mendirikan Pengajian Pondok yang dikenali dengan Madrasah Darul Bayan memerlukan tapak bagi kampus pengajian. Sejak awal AJK berusaha membeli tapak lot tanah 852 dan 853 bersebelahan Masjid Pinang Merah. Tapak yang berharga RM16,000 ini dibeli dari pemiliknya – Puan Sa'adiah hasil permuafakatan AJK mengeluarkan dahulu peruntukan dan kemudian tapak dijual kepada sesiapa yang mau mewakafkannya kepada pihak madrasah. Di atas tanah tapak ini didirikan asrama bagi pelajar perempuan dan lelaki dan 2 unit rumah guru. Pusat Pengajian yang dikenali dengan Darul Bayan ini dirasmikan pembukaannya oleh Tuan Guru Dato' Harun Taib pada 14 Oktober 1994 dan dua minggu berikutnya pelajar sulungnya mula didaftarkan pada 1 November 1994.


Pengajian menurut sistem pondok ini berkembang dari segi infrastruktur seperti pertambahan rumah guru kepada empat buah, sebuah asrama lil-banat yang dapat menampung seramai 100 pelajar perempuan, 50 buah unit pondok bagi pelajar lelaki, 3 buah balai kuliah, 6 buah rumah/pondok bagi warga mas (berkelamin) dan sebuah dewan dilengkapi dengan bilik mesyuarat, pejabat dan dewan utama.


Pengluasan dan Kepelbagaian Pengajian

Dalam menghadapi perkembangan masa dan keperluan kepada kepelbagaian pembelajaran, maka sebagai respond kepada keperluan masyarakat Darul Bayan mengorak langkah menawarkan beberapa jenis pengajian di samping meneruskan pengajian pondok bagi mereka yang mengikutinya. Beberapa jenis pengajian ditawarkan iaitu:


Pengajian Tahfiz – Maahad Tahfiz Darul Bayan

Pengajian ini mula ditawarkan pada tahun 1998, apabila tenaga pengajar utamanya - Ustaz Hj. Jamaluddin Bin Jusuh al-Hafiz pulang dari pengajian di Mesir. Sebuah bangunan dua tingkat didirikan hasil dari derma dan gotong royong penduduk. Bangunan di atas dijadikan bilik pengajian dan bahagian bawah sebagai asrama. Bangunan ini bersebelahan dengan asrama dan pondok-pondok. Turut dibina bagi Ma`had Tahfiz tiga rumah guru, kantin, padang permainan dan wakaf bagi mutalaah. Pelajar-pelajar lulusan tahfiz di sini menyambung pengajian seperti ke Mesir, Yaman, Indonesia dan pengajian-pengajian tahfiz di dalam negeri.

Sekolah Rendah Islam Darul Bayan

Darul Bayan juga menawarkan pengajian peringkat sekolah rendah Islam. Sekolah rendah Islam Darul Bayan adalah sebagai lanjutan pengajian PASTI. Sekolah ini dibuka pada tahun 2001 di atas tapak dan kawasan berlainan, bertempat di tanah PT15024, Kg. Kolam Mak Tagar, Paka dengan didirikan 2 bangunan utama - kantin, surau dan dua unit rumah guru. Sekolah SRI Darul Bayan menawarkan pengajian peringkat rendah secara bersepadu antara pengajian akademik kerajaan dan pengajian Islam. Pengajian bermula dengan 35 pelajar dengan Guru Besar Pertama Ustaz Abdul Aziz Hashim. Pelajar mengambil peperiksaan UPSR pada mulanya bersifat menumpang mengambil peperiksaan di institusi-institusi lain, tetapi mulai 2008 pelajar-pelajar SRI Darul Bayan mengambil peperiksaan UPSR, UPKK (JAKIM) dan UPSRI (Islam) di tempat sendiri atas nama Sekolah Darul Bayan sendiri. Sekolah ini kini di bawah pimpinan Guru Besarnya, iaitu Ustaz Che Wan Mustafa bin Che Wan Kaman.


Sekolah Menengah Islam (SMI) Darul Bayan

Perkembangan terakhir Darul Bayan melangkah lebih ke depan dengan membuka Sekolah Menengah Islam bermodelkan Sekolah Menengah Islam Yayasan Islam Kelantan (YIK), iaitu kombinasi pengajian akademik Kerajaan Persekutuan dengan pengajian Islam. Kegigihan dan hasrat melengkap dan mentakmilah pendidikan berasaskan Islam dapat dilihat dari kesungguhan pimpinan Darul Bayan mengusahakan pendirian sebuah bangunan bertingkat untuk Sekolah Menengah Islam Darul Bayan. Bangunan ini didirikan pada bahagian belakang kampus Darul Bayan tidak jauh dari sungai. Ketika meninjau bangunan yang sedang rancak dibangunkan ini En. Wan Mustafa memaklumkan kepada saya anggaran peruntukan bagi bangunan ini kira-kira RM3 juta. Pelajar sulong bagi Sekolah Menegah Islam Datrul Bayan telah diambil, menumpang di bangunan sementara di sini.


Keseluruhan

Kampus Darul Bayan keseluruhannya adalah di bawah tadbiran Ustaz Saiful Bahari Bin Mamat selaku Pengerusi Induk, Markaz Tarbiyah Darul Bayan, Mengetuai Ma`had Tahfiz Darul Bayan ialah Ustaz Jamaluddin Bin Jusoh al-Hafiz, manakala Guru Besar bagi Sekolah Rendah Islam yang kampusnya berasingan terletak di Paka, ialah Ustaz Che Wan Mustafa Bin Che Wan Kaman. Kita tidak dimaklumkan siapa Pengetua atau bakal Pengetua bagi Sekolah Menengah Islam Darul Bayan. Kini keseluruhan pelajar melebihi 500 orang dengan pecahan sebagaimana berikut:

Pengajian Pondok 200 orang
Sekolah Rendah Islam 260 orang
Tahfiz 40 orang
Sekolah Men. Islam 28 orang

Jumlah 528 orang

Jumlah guru kita dimaklumkan seramai 40 orang. Mereka menerima gaji bulanan secara minimum antara RM600/= hingga RM 700/= sahaja sebulan.

Pelajar-pelajar juga dikenakan yuran secara minimum, iaitu:

Pengajian Pondok RM 12.00 sebulan
Tahfiz RM120.00 sebulan
Sek. Rendah Islam RM 170.00 sebulan
Sek. Men. Islam RM 270.00 sebulan


Yuran sedemikian sebenarnya tidak dapat menampung pentadbiran, gaji guru, kos infrastruktur dan maintenance. Darul Bayan banyak bergantung kepada derma-derma yang disampaikan orang ramai dari masa ke semasa. Sesungguhnya tegak berdirinya bangunan dan terus berlangsung pengajian atas jihad menegakkan Islam melalui pendidikan. Di atas hasrat murni ini mereka terus berusaha. Mereka terus mendapat sokongan penduduk setempat. Kelihatan walaupun tenaga tak seberapa, tetapi dengan pertolongan Allah kejayaan nampak terserlah. Sebarang pertanyaan atau sokongan boleh hubungi telefon no. 0199127183 (Che Wan Mustafa) atau No. 0199156365 (Ustaz Jamaluddin).

Sekian.

No comments:

Post a Comment