Penduduk Seksyen 8 di atas malam ini menerima sejumlah 44 Mahasiswa/wi (22 lelaki & 22 perempuan) dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sungai Besi, Kuala Lumpur. Kesampaian mereka di pekarangan Surau Ar- Rahim disambut oleh ADUN Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar selepas berjamaah Isyak di surau dan disertai sama oleh Ybhg. Tn. Haji Shahrum Abu Hasan, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk yang juga Pengerusi Sambutan, Tuan Haji Zulkifli Ariffin Pengerusi Surau, Tuan Haji Rusli Imam Surau, ibu-bapa-ibu-bapa angkat, penduduk-penduduk dan anak-anak yang memeriahkan suasana.
Dalam acara ringkas itu ADUN Bangi mengucapkan syabas kepada penduduk yang berjaya mengadakan program menerima anak-anak angkat dari UPNM. ADUN memaklumkan kepada mahasiswa/wi bahawa Seksyen 8 Fasa 2, BBB adalah merupakan taman yang paling baharu dihuni yang setakat ini berjumlah sebanyak 270 buah rumah.
Walaupun baharu, tetapi penduduknya melalui persatuan dan surau amat aktif. Seawal mereka berpindah pertama sekali mereka berusaha mendapatkan surau dengan menyewa satu unit rumah kediaman, kemudian berusaha mendirikan surau secara derma beramai-ramai dalam masa yang singkat. Surau adalah menjadi pusat aktiviti ibadat dan kemasyarakatan sebagaimana kita saksikan pada malam ini. ADUN juga memaklumkan kepada mahasiswa/wi pada kebiasaannya taman-taman yang baru, penghuninya adalah dari kalangan orang-orang muda dan masih mempunyai anak-anak yang kebanyakannya sedang bersekolah rendah, sebagaimana kita saksikan ramai anak-anak pada malam ini.
Secara bergurau ADUN menyatakan, "Peluang lebih kepada mendapat ibu bapa dan adik-adik angkat. Peluang untuk mendapat ibu dan bapa mertua, mungkin tak ada. Tapi kalau sanggup menunggu terutama kepada mahasiswa mungkin ada (tertawa). Walau macam mana ADUN berharap melalui penerimaan anak angkat memberi faedah kepada semua pihak, mahasiswa/wi dapat memahami kehidupan penduduk di taman Fasa 2, di samping memenuhi keperluan ko-kurikulum, ibu-bapa angkat pula dapat menolong mahasiswa/wi memahami suasana kekeluargaan di kalangan masyarakat menegah di sini, manakala anak-anak akan mendapat bimbingan secara langsung dari abang-abang dan kakak-kanak. ADUN juga beritahu BBB adalah kawasan yang banyak dengan pengajian tinggi, pusat penyelidikan dan Latihan. Jadi masyarakat di Bangi adalah masyarakat intelektual pada umumnya. Sebab itu ambillah peluang bercakap perkara-perkara yang berhubung dengan ilmu di samping kemasyarakatan.
Sebelum ADUN berucap Ybhg. Tn. Hj. Shahrum Abu Hasan Pengarah Sambutan menyampaikan ucapan alu-aluan dan menyataka inilah kali pertama persatuan dan penduduk menerima anak-anak angkat dan berharap kepada anak-anak angkat tidak kekok, tetapi selesa. Menurut Tn. Hj Shahrum setiap ibu-bapa angkat menerima dua anak angkat lelaki atau dua anak angkat perempuan. Walau bagaimana ada beberapa ibu-bapa angkat menerima lebih dari dua orang. Secara bergurau Tn. Haji Shahrum menyatakan anak-anak angkat diminta ke dapur sama membasuh pinggan mangkuk dan bagi mahasiswi dapat membantu memasak Bagi mahasiswa juga tolong membersih pekarangan rumah.
Agenda selama dua hari antaranya salat lima waktu berjamaah di surau, Kuliah Subuh, Bengkel Smart Study, Bengkel Mathematik dan Bahasa Inggeris, Gotong royong membersih taman dan surau serta gotong royong majlis aqiqah dan kenduri, Ceramah Perdana oleh Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Jamuan Setaman (sembelih lembu), senamrobik, pameran, sukaneka, demonstrsi bomba, pemeriksaan kesihatan dan derma darah, permainan tradisional, demonstrasi kawat senjata, jualan dan demonstrasi bermotor.
Menurut Saudara Muhammad Ali Wakil Mahasiswa. Ini adalah kali pertama mahasiswa/wi UPNM menjadi anak angkat bagi keluarga di sebuah taman di Bandar. Sebelum ini mereka pernah dua kali menjadi anak angkat di kampong, iaitu di negeri Pahang. Mahasiswa yang datang adalah pelajar tahun satu atau dua. Mereka sama ada dari Fakulti Engineering, Pengurusan atau Fakulti Sains dan Teknologi. Tahun depan menurut Saudara Muhammad Ali UPNM yang Naib Canselornya Leftenan General Dato` Zulkifli itu akan memulakan kursus bagi Fakulti Perubatan.
Selepas pelancaran ADUN bersama Tuan Haji Shahrum, Tuan Haji Zulkifli dan Tuan Haji Rusli sama ke upacara membahagikan anak-anak angkat kepada ibu-bapa-ibu bapa angkat yang semua mahasiswa/i beruniform ala tentera.
No comments:
Post a Comment