March 9, 2010

Meraikan Penyampaian Wathiqah Perlantikan Ketua-Ketua Kampung

Shah Alam 22 Rabiul Akhir = 08 Mac (Isnin):


Hari ini genap dua tahun Pakatan Rakyat memerintah Negeri Selangor dan beberapa negeri yang lain di bawah PR. Antara kegiatan sempena dua tahun memerintah ialah penyampaian Surat Wathiqah (Surat Kuasa) kepada ketua-ketua kampong yang dilantik seluruh Negeri Selangor berjumlah 368 orang.. Penyampaian disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam dari jam 2.00 petang hingga 4.30 petang.


Bagi meraikan penyampaian wathiqah ini, ADUN yang dijemput sama, turut hadir bagi meraikan penyampaian wathiqah, khususnya bagi ketua-ketua kampong di kawasan DUN Bangi. Ketua-ketua kampong bagi DUN Bangi yang disampaikan wathiqah pada hari ini ialah:

1. Hj. Mohd Yusof Bin Hj Abd Kadir -Kg. Sg. Ramal Luar. No.Tel: 0129166988
2. Lateb Bin Manan -Kg. Sg. Ramal Dalam . No.Tel: 0196525009
3. Ab. Shukor Bin Jantan -Kg. Teras Jernang . No.Tel:0196367727
4. Mohamed Marzuki Bin Ibrahim - Kg. Bangi. No.Tel: 0126299055
5. Norazlin Bin Nordin - Kg. Bahagia Bangi. No.Tel: 0123424334
6. Abd. Hadi Bin Husin -Kg. Sungai Tangkas. No.Tel: 0172921076

(Kita ucap tahniah kepada mereka semua yang dilantik dan selamat menjalankan tugas sebaik mungkin – Insya Allah).


Sebelum penyampaian wathiqah YAB Tan Sri Dato' Seri Menteri Besar menyampaikan amanatnya dengan menyatakan bahawa Ketua-Ketua Kampung adalah Lapisan Pentadbiran yang paling asas bagi Kerajaan dan paling dekat dengan masyarakat. Mereka amat penting di dalam menyampaikan maklumat dan menerima aduan masyarakat. Ketua Kampong yang diberi wathiqah pada hari ini, menurut Menteri Besar adalah mereka yang lulus ujian latihan kepimpinan tempatan sejak enam bulan yang lepas. YAB Menteri Besar mengucap tahniah di atas kelulusan dan perlantikan.. Ketua Kampong diharapkan menjalankan tugas dengan jujur, tulus, adil dan penuh bertanggungjawab. Ketua Kampong adalah Khalifah Kecil yang diberi amanah menjalankan tugas di kawasan masing-masing. Sebab itu bertugaslah secara bijaksana dan saksama dan jangan libatkan diri dengan rasuah.

YAB Menteri Besar menekankan polisi Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor yang selama ini telah menawarkan berbagai skim kepada rakyat. YAB juga memaklumkan, kerajaan sekarang ini sedang memungut hutang-hutang institusi-institusi kepada Kerajaan negeri. Setakat ini kerajaan sudah dapat memungut kembali sebanyak RM50 juta. Hasil yang dipungut kembali ini akan dilabur dalam sistem Qardul-Hasan yang akan memberi peluang kepada rakyat membuat pinjaman. Ia merupakan Mikro Credit. Sistem dan akan diletak di bawah pengendalian Exco Agama, Adat Melayu, Infra-Struktur dan Kemudahan Awam. YAB juga berjanji, jika usaha meningkatkan pendapatan dari jualan pasir, maka sebahagian dari pendapatan akan diagihkan kepada ketua-ketua kampong. YAB meminta agar semua ketua kampong berkhidmat dengan penuh dedikasi dan memprojekkan imej yang baik Kerajaan Pakatan Rakyat di mata rakyat.

Sebelum daripada YAB Dato' Seri Menteri menyampaikan ucapan. YB Tuan Haji Ya`kob Sapari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan menyampaikan ucapan alu-aluan dan berterima kasih kepada YAB dan Exco-Exco, ADUN-ADUN, pegawai-pegawai, ketua-ketua kampong dan orang ramai yang datang, Sebelum penyampaian wathiqah semua ketua kampung berdiri membaca ikrar taat setia.


Sekian.

No comments: