Dalam perjalanan menghadiri tahlil di Taman Jasmin. ADUN menerima maklumat bahawa satu kebakaran berlaku di rumah pangsa di atas. Lantas selepas tahlil dan Isyak, ADUN bersama saudara Shahrum kerani di pejabat ke rumah pangsa berkenaan. Di sana saudara Abu Bakar Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional sudah sedia tiba. Turut tiba sama saudara Ustaz Shafie Ngah yang juga dari Majlis Tahlil, juga saudara Azizi dari pejabatnya dan disertai sama Ketua Persatuan Penduduk Taman Seri Langat Saudara Kusnin. Menurut maklumat dari penghuni, kebakaran berlaku pada tengahari, pihak Bomba dan Polis tiba, tapi mereka agak tergamam, belum membuat laporan rasmi kepada Polis dan belum membuat makluman kepada Ahli Majlis dan ADUN hinggalah petang. Bahkan Saudara Kusnin juga baru mengetahui.
Kebakaran adalah disyaki berpunca dari api rokok yang dicampak kelonggokan bahan-bahan mudah terbakar seperti kertas dan plastik di dalam stor bahagian bawah. Bahagian bawah bangunan lima tingkat ini pada asalnya ialah kedai-kedai. Tetapi kedai-kedai ini tidak mendapat sambutan dan ditutup. Kedai-kedai kosong ini dijadikan stor barang-barang antaranya secara haram. Lori-lori keluar masuk mengambil dan menyimpan barang-barang. Menurut penduduk kawasan ini sengaja dijadikan tempat parking lori-lori secara haram yang pekerja-pekerjanya tidak tinggal di sini. Antaranya menggunakan stor-stor di sini menyimpan barang secara haram. Kebakaran barang-barang berlaku di stor bahagian bawah (A100). Apinya marak menjulang hingga ke tingkat empat. Seorang ibu bersama anak kecilnya hampir terkorban, kerana asap tebal. Bila kebakaran berlaku pemilik barang di stor ini tidak datang, kerana mungkin tidak mau diketahui identiti dirinya.
Dalam kegelapan kami mendaki ke atas dari satu aras dan aras teratas, kami dapati semua unit dari bawah (A100) 101, 102, 103 dan 104 rosak. Ada penghuni yang tidak berpindah dan duduk menggunakan api lilin. Sebahagian berpindah menumpang tempat lain buat sementara. Api diputuskan oleh bomba untuk keselamatan, kecuali bahagian ruang tengah bagi setiap aras dipulihkan api oleh TNB. Turut tiada bekalan air. Unit rumah di sini beberapa dibeli oleh penghuni. Sebahagian menyewa dari pemilik-pemiliknya. Penyewa sebahagian adalah rakyat tempatan dan sebahagian adalah penyewa bukan rakyat tempatan. Syarikat yang membina bangunan sejak 1980an ini ialah Metro Kajang.
Kami bersetuju mendaftarkan penduduk yang unit rumah mereka mengalami kerosakan dan ini akan dilakukan oleh En. Kusnin selaku Pengerusi Persatuan Penduduk dengan bekerjasama dengan Ahli MPKj yang kawasan ini terletak di bawah kawasan Ustaz Shafie Ngah. Perkara ini akan dibawa kepada pihak MPKj & Metro dan tindakan lanjut akan diambil termasuk oleh pihak ADUN.
Sekian.
No comments:
Post a Comment