March 11, 2010

Melawat Ke Lembaga Zakat Selangor - Cawangan Bangi

BBB, 24 R. Awwal = 10 Mac (Rabu):


ADUN Bangi bersama rombongan melanjutkan siri lawatan ke institusi-institusi pilihan di DUN Bangi dan sekitaran. Pagi hari ini lawatan ialah ke Lembaga Zakat Selangor (LZS), Cawangan Bangi. ADUN bersama 10 orang rombongan, termasuk Tuan Haji Rushdi, Ketua Lajnah Kebajikan, Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir, Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam dan lain-lain. Kami tiba ke LZS Cawangan Bangi di Seksyen 8 BBB jam 10.00 pagi dan disambut dua pegawai LZS Cawangan Bangi, iaitu En. Saifuddin Bin Muda selaku Ketua Operasi LZS Daerah Hulu Langat dan En. Kamarul Azhan Bin Ahmad Penolong Ketua Operasi.

Kami terus dibawa ke Bilik Taklimat. En. Saifuddin membuka majlis dengan ucapan alu-aluan dan dibalas ADUN Bangi dengan ucapan terima kasih di atas kesudian menerima kunjungan rombongan.

Antara info yang boleh dikongsi bersama::
LZS ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952.
Di Hulu Langat terdapat 4 cawangan LZS, iaitu Kajang, Bangi, Ampang dan Cheras. Seramai 15 kakitangan berkhidmat di cawangan-cawangan berkenaan..
Cawangan Bangi dibuka pada tahun 1994.
Pungutan Zakat di Selangor pada tahun 2009 ialah sebanyak RM283.63 juta. dari jumlah pembayar zakat seramai 143,000 orang (target pungutan bagi tahun 2010 ialah RM320 juta). Ramai lagi mereka yang layak membayar zakat belum berkesempatan mengeluarkan zakat. Semoga Allah memberi kesedaran kepada mereka untuk berzakat yang insya Allah harta mereka bertambah berkat.
Selangor adalah negeri tertinggi di Malaysia dari segi penerimaan bayaran zakat.
Tugas utama LZS ialah memungut dan mengagihkan zakat kepada asnaf-asnaf.
Tuan Kadhi Daerah adalah Pengerusi LZS peringkat Daerah
Di Hulu Langat Amil Zakat yang dilantik adalah seramai 167 orang
Hulu Langat adalah kawasan kedua tertinggi dari segi pungutan Zakat di Selangor. Iaitu selepas Petaling Jaya (tertinggi).
Penduduk Bangi tinggi dari segi kesedaran berzakat, berkedudukan tempat ketiga dari segi jumlah pungutan. Pernah jumlah pungutan sehari di Bangi sebanyak RM satu juta. Hulu Langat juga penerima agihan kedua tertinggi di Selangor, iaitu seramai 3,633 penerima bantuan zakat. Daripada jumalh itu 1,366 di bawah kategori faqir, manakala 2267 adalah miskin.


Banci yang dibuat oleh 8 orang amil dari Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi terdapat sejumlah 300 orang faqir – miskin di Bandar Baru Bangi.
Pada dasarnya pungutan zakat diagihkan kepada asnaf berkelayakan pada tahun pungutan berkenaan. Dari segi praktiknya tidaklah benar-benar tepat dilaksanakan. Misalnya pada tahun 2008 pengagihan tidak dapat dihabiskan, sedangkan pada 2009 agihan melebihi dari pendapatan. Pengeluaran terlebih RM 5 juta. Pengeluaran yang paling banyak digunakan ialah di bawah asnaf Fi Sabilillah, iaitu melibatkan 50% dari pungutan zakat. Ini melibatkan penggunaan bagi keperluan pendidikan, masjid, surau, dakwah dan sebagainya. Yang layak memohon zakat hendaklah mendapat borang dari LZS atau cawangan-cawangan. Borang adalah percuma. Ada yang mengambil kesempatan menjual borang-borang. Ia adalah satu kesalahan. Hanya orang yang layak dari segi asnaf sahaja diberi agihan zakat.


Kami mengakhiri kunjungan selepas bertukar-tukar cenderahati. Terima kasih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment