March 9, 2010

Seminar Mendekati Masyarakat Majmuk

Bandar Baru Bangi, 21 Rabiul Awwal = 7 Mac (Ahad):


Pihak Lajnah (portfolio) Penerangan DUN Bangi mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Mendekati Masyarakat Majumuk bertempat di Bilik Cempaka, Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi mulai jam 8.30 pagi hingga jam 1.30 tengahari. Tujuan mengadakan seminar menurut Pengerusi Lajnah Penerangan Sdr. Azmi Ahmad,


"Memberi kefahaman kepada semua penggiat kemasyarakatan, NGO dan orang ramai realiti masyarakat kita yang kita hidup bersama. Dengan kefahaman kita menghormati budaya dan nilai hidup semua kaum di Negara kita dan kita dapat hidup dalam aman sejahtera."


Kehadiran disertai oleh jawatankuasa Mini Kabinet ADUN Bangi, ahli-ahli cawangan, dewan-dewan, NGO-NGO dan jemputan-jemputan khusus. Ruang Bilik Cempaka penuh dan amat menggalakkan dari segi kehadiran. Bagi mendekatkan kepada realiti pengalaman dua pembentang kertaskerja dijemput. Mereka ialah:

Ustaz Muhammad Fitri Abdullah dari PERKIM. Beliau membentang kertaskerja yang berjudul: "Ke Arah Memahami Masyarakat India dan Teknik Berdakwah Kepada Mereka."Manakala kertaskerja kedua dibentangkan oleh Mr Danial Hakim Boey dari MACMA dengan kertas berjudul: "Ke Arah Memahami Masyarakat Cina dan Teknik Berdakwah Kepada Mereka."

ADUN Bangi dalam ucapan perasmiannya memuji AJK yang peka terhadap kepentingan memahami masyarakat majmuk yang bukan saja majmuk dan pelbagai dari segi ethnic, iaitu Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, tetapi berbagai pula dari segi adat resam, kepercayaan, budaya dan nilai hidup yang perlu kita fahami agar mudah kita berinteraksi dan mengelak dari salah faham. Dengan itu kita hidup di dalam keadaan harmoni.

Dengan kefahaman tentang masyarakat majmuk di Negara kita, bahkan masyarakat majmuk tempatan memberi peluang bagi kita memahami masalah mereka misalnya dari segi ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan. Dengan kefahaman dapat kita membantu mereka yang bermasalah dari segi ekonomi dengan menawarkan peluang pekerjaan dari segala maklumat pekerjaan yang kita himpunkan. Anak-anak miskin yang memerlukan bantuan di dalam bidang pelajaran kita bantu, mana-mana yang cemerlang dalam bidang pelajaran kita memberi insentif dan galakan bagi mereka menyambung pelajaran. Bagi keluarga dan individu yang susah kita bantu melalui pelbagai skim yang disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri dan ADUN sendiri.

Memahami Masyarakat Majmuk mendekat kita dengan mereka dan memesrakan mereka dengan kita. Dari segi politik pemupukan hubungan baik amat penting. Kita memberi pembelaan terhadap mereka dan kita memerlukan sokongan dari mereka. Praktik ini kita lakukan sejak 1999, sebelum wujudnya badan yang dikenali antaranya Hal Ehwal Kaum (HAK), Perpaduan Nasional dan sekarang Kelab Penyokong. Kita harap dengan seminar ini kita meneroka lebih jauh dalam mengukuhkan hubungan dan sokongan semua kaum dari segi misi dan visi perjuangan kita untuk kepentingan semua.

ADUN mengucapkan terima kasih kepada pembentang-pembentang kertaskerja, AJK yang terdiri dari Saudara Azemi selaku Penasihat, Saudara Mokhtaza Mukhtaruddin selaku Pengarah, Saudari Haslina bt. Mohd Ali, Timbalan Pengarah dan semua AJK yang menjayakan seminar dengan baik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment