Kolej Darul Hikmah adalah salah satu Pusat Pengajian Tinggi Islam Swasta bertaraf universiti di DUN Bangi. Sebuah lagi ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) Bandar Seri Putera, Bangi. Kolej Darul Hikmah ini adalah jelmaan dari aspirasi perjuangan pemuda-pemuda Islam di dalam organisasi ABIM itu sendiri yang memperjuangkan Islam syumul, termasuklah di dalam bidang pendidikan. Mereka bukan saja mau melihat, tetapi merangka pendidikan Islam selengkapnya. Lantaran itu selepas tertubuhnya ABIM (1970), bahagian pendidikan diberi tugas merangka dan melaksanakan pendidikan Islam. Maka mulai:
1979- tertubuhnya Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (Taski) dan berkembang luas.
1985- tertubuhnya Kelas Tahfiz bermula di Taiping Perak
1989- tertubuhnya Sekolah Rendah Islam (SERI) ABIM di Sungai Ramal dan meluas
1995- tertubuhnya Sekolah Menengah Islam (SEMI) ABIM bermula di Sungai Ramal
1980an- Pusat Latihan ABIM, Sungai Ramal, Kajang.
1990an- tertubuhnya Institut Pengajian Islam (IPI) di Sungai Ramal, Kajang.
2000an- tertubuhnya Darul Hikmah – bertaraf Kolej Universiti.
Selain dari itu pihak ABIM juga mengadakan Pusat Didikan Saudara Baru Islam.
Darul Hikmah turut menghasilkan penerbitan-penerbitan ilmiah dan Jurnal Pendidikan Islam.
Perjalanan pusat-pusat pengajian di atas dan cawangan-cawangan adalah secara swasta, termasuklah Darul Hikmah. Bagi menampung perjalanan Kolej Darul Hikmah memerlukan peruntukan yang tinggi, maka salah satu cara ialah mendapat sumbangan dari pendukung-pendukung perjuangan ABIM dan masyarakat. Antaranya melalui jualan meja makan malam sebagaimana yang diadakan kali pertama pada malam ini. ADUN turut sama menyertai membeli meja dan turut hadir sahabat-sahabat, antaranya Ustaz Shafie Ngah Timbalan YDP, Saudara Adhram Musa Ketua Pemuda, Saudara Mohd.Fazli Daud Setiausaha, Encik Mohamed Yusoff bin Bachek Ahli MPKj dan beberapa yang lain. Majlis malam ini dihadiri Yang Berbahagia Dato' Dr. Siddiq Fadzil Presiden Darul Hikmah, Saudara Ahmad Azam Pengerusi Lembaga Pengarah, Hj. Md. Fuad Bahari Penasihat Program, En. Muhammad Haffiz bin Muhammad Isa Pengarah Program.
Dalam percakapan ADUN dengan Yg. Bhg. Dato' Siddiq Presiden menurutnya,
"Darul Hikmah setakat ini menawarkan kursus Syari`ah, Usuluddin, Sosial Sains dan Pendidikan."
Ketika ditanya setakat ini, "Adakah pihak Darul Hikmah mengeluarkan ijazah sendiri ?"
Menurutnya,"Kita mengeluarkan diploma," tapi tambahnya, "Kita sedang bekerjasama dengan pihak Universiti Terbuka Malaysia menawarkan kursus-kursus berhubung dengan Islam dan ijazah akan dikeluarkan atas nama universiti itu."
Pihak Darul Hikmah juga menurutnya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan di dalam menawarkan kursus," tambahnya.
Menurut Saudara Hj. Md. Fuad Bahari Penasihat Program, melalui ucapannya, bahawa pada malam ini dihadiri oleh 300 para dermawan. Penganjur mensasarkan derma melebihi RM125,000. Kolej sebenarnya memerlukan peruntukan lebihkurang RM lima juta bagi pembangunan dan aktiviti-aktiviti yang lain. Kita menggalakkan penderma melaksanakan konsep waqaf yang merupakan sadaqah jariah bagi perkembangan ilmu.
Kita merasa kagum di atas golongan belia ABIM yang berterusan berjuang, antaranya di dalam bidang pendidikan secara berdikari. Peranan mereka sesungguhnya memberi kesan dari segi pendidikan keislaman dan dari segi melahirkan generasi pelapis pimpinan yang berjiwa keislaman. Mereka diibaratkan dengan firman Allah bermaksud:
"Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka dan Kami gandakan hidayah kepada mereka" (al-Kahfi: 13).
Sekian. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment