March 8, 2010

Konvensyen Pakatan Rakyat Di Selangor: Pernyataan Solidariti

Shah Alam, 21 R. Awwal = 07 Mac (Ahad):

Selangor sebagai negeri terkaya dan termaju di Malaysia, menjadi fokus kepada BN untuk menguasainya kembali dengan apa cara sekalipun. Kehilangan Selangor dari kekuasaan BN pada pilihanraya Mac 2008 adalah pukulan yang teruk bagi BN dan tempang di dalam pemerintahan. Sudah tentulah sesudah mereka merampas Perak secara tidak demokratik pada awal 2009 dan kini mereka cuba menarik wakil-wakil rakyat yang tidak mempunyai prinsip pendirian dan khianat kepada amanah yang diberikan sudah tentu keghairahan mereka makin tinggi untuk menawan Selangor. Ini terbukti. Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri mengambil alih kepimpinan parti di Selangor dengan mengkesampingkan Khir Toyo yang mengetuainya sebelum ini.

Konvensyen yang diadakan pada hari ini di Dewan Jubli Perak, Shah Alam adalah Pernyataan Solidariti Pakatan Rakyat terhadap percubaan mereka yang mahu menggugat Selangor dan amaran dari PR Selangor, selepas berlakunya pembersihan dalam mana yang busuk gugur sendiri dan yang berpenyakit kronik terpaksa dicantas bagi keselamatan. Selangor terus memperkasa dan menambahkan kekuatan di samping bersama mengukuhkan azam menawan Putrajaya pada pilihanraya ke 13 nanti.

Konvensyen Pakatan Rakyat yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang membawa mesej “Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat” berlangsung sehari suntuk itu diberi pengisian dengan kehadiran dan ucapan pemimpin-pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat. YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa Timbalan Presiden Pas (Presiden tak dapat hadir kerana berada di luar Negara) mengingatkan:

“Kepada semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, mestilah sentiasa beringat bahawa dalam konteks demokrasi berparlimen di Malaysia ini, rakyat adalah majikan kepada pemimpin. Mereka mempunyai kuasa yang besar untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk masa depan Negara dan rakyat.” Beliau menambah, “Jika ada diantara kita meletakkan kepentingan peribadi, ghairah mencapai puncak kuasa, lapar dengan harta benda, terpesona dengan kemuliaan pangkat dan kehormatan, maka saya amat mengharapkan agar kita dapat memperbetulkan niat dalam perjuangan ini.” katanya.
“Pas sudah acap kali mengulangi pendirian parti untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat selagimana ia berada atas landasan yang benar dan betul,” tegasnya.

Berhubung dengan Selangor Timbalan Presiden menyatakan:

“Selangor mesti terus bertahan dan mengekalkan kemenangan ini. Pada waktu yang sama menzahirkan satu bentuk kerajaan yang adil, maju, bersih dan berkebajikan. Selangor akan menjadi sebuah model kerajaan dan bakal menambat serta meraih sokongan rakyat dari negeri-negeri lain untuk bersama merubah kerajaan negeri masing-masing daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

Sementara itu YB Lim Kit Siang selaku Penasihat DAP menyifatkan tarikh semalam (6. Mac) adalah tarikh penting bagi PR yang mengambil tindakan kepada ahli Parlimen yang menimbulkan masalah kepada parti. Kita membersihkan PR dari penyakit. Mulai sekarang PR mesti membina kesatuan dan kekuatan PR. Tiada siapa yang mampu menyekat kita. Beliau menjangka rakyat akan bangkit menyatakan bantahan ketidakadilan terhadap pimpinan yang dizalimi dan akan menterjemahkannya melalui peti undi sebagaimana berlaku sebelum ini.

Ucapan puncak ialah dari Ketua Pembangkang yang juga selaku Penasihat PKR. Beliau memuji inisiatif yang diambil oleh Selangor yang merupakan negeri terawal mengadakan konvensyen yang akan diikuti negeri-negeri lain dan Selangor menampilkan dengan jelas imej PR membela rakyat dengan berbagai-bagai pendekatan yang dilakukan. Beliau mengingatkan pimpinan adalah taklif dan bukan tashrif – ianya lebih kepada tanggungjawab dari mendapat kedudukan. Beliau mengagumi dan memuji sikap ketegasan PAS di dalam membuat satu keputusan dan pendirian serta istiqamah parti dan individu pimpinan yang tidak tergugat oleh kedudukan dan tawaran, tetapi tetap dengan idealisme perjuangan. Beliau mengingatkan dengan memetik pendapat Ibn Khaldun, bahawa perjuangan tanpa idealisme, sebaliknya dikuasai sifat serakah, maksiat dan zalim menghancurkan Negara dan peradaban. Beliau mendedahkan bahawa konsep Satu Malaysia Datuk Seri Najib, bukan dari keaslian pemikiran Najib, tetapi adalah ciplakan dari pemimpin Israil – Ehud. Beliau menyarankan bagi mereka yang ingin tahu lebih lanjut boleh menyemaknya melalui Google.

Sebelum dari ucapan ketiga-tiga tokoh pemimpin PR di atas, beberapa orang tokoh dijemput menyampaikan ucapan, iaitu YB Tuan Haji Mahfuz Omar dari PAS, yang menyebut di dalam usaha mencari kekuatan BN khususnya UMNO mengambil pendekatan politik perkauman dan bukannya politik budiman. Manakala Chan Man Hem Pengasas DAP (memimpin sejak 1966-1999), Ahli Parlimen kawasan Seremban (1969-1986) mengingatkan supaya jangan risau dengan apa yang berlaku di dalam PR. Peristiwa sedemikian pernah berlaku di dalam DAP. Sesudah pembersihan ianya bukan saja pulih, tetapi semakin kukuh.

Manakala Dati Seri Wan Azizah,, menekankan tentang keaslian cinta kasih seseorang terhadap perjuangan atau palsu dengan mengambil contoh tauladan dari cerita Nabi Allah Sulaiman mengadili perebutan dua ibu yang mendakwa ibu kepada seorang anak kecil yang terbukti yang palsu terzahir dengan sendirinya. Perjuangan hendaklah dengan kejujuran dan kecintaan, bukan atas dasar kepentingan dan kedudukan.

Konvensyen pada hari itu diakhiri dengan ikrar taat setia semua pendukung Pakatan Rakyat.
Sekian.

No comments:

Post a Comment