Hari ini hari kedua sambutan Maulid al-Rasul. Kerana tiga hari berturut cuti umum, bermula dengan hari Jumaat, hari cuti umum Maulid al-Rasul dan berikutnya Sabtu dan Ahad hari cuti umum biasa, maka didapati pada ketiga-tiga hari cuti umum diambil kesempatan oleh masyarakat umat Islam mengadakan sambutan Maulid al-Rasul pada salah satu hari cuti umum tersebut. Yang mengambil hari Jumaat, sebagai hari pertama sambutan, tapi jika diadakan sebelah pagi tentu berlaku pertembungan terutama sambutan pada peringkat Pusat, Negeri dan tempatan yang biasanya memilih hari pertama. Untuk lebih selesa bagi yang memilih hari Jumaat bagi mengelakkan dari pertembungan, ialah mengadakan sambutan pada sebelah malamnya, sebagaimana kami mengadakannya di Council Home sebagaimana telah disebutkan.
Pada hari kedua juga terdapat banyak yang memilih tarikh ini, kerana lebih selesa. ADUN pada hari ini sekurang-kurangnya mempunyai tiga program Sambutan Maulid al-Rasul. Pagi-pagi lagi jam 8.30 ADUN keluar diiringi Saudara Azizi menyertai Sambutan Maulid al-Rasul di Taman Seri Melor yang dilaksanakan di Surau Taman tersebut. Pada tahun ini AJK Surau yang diketuai Haji Abdul Aziz mengambil pendekatan yang agak berlainan dari tahun-tahun lepas. Kalau tahun-tahun sebelumnya semua kegiatan diadakan di dalam surau, tetapi pada tahun ini AJK dan penduduk bergotong royong membuat pentas dan memasang khemah di pekarangan Surau yang dikenali dengan Surau al-Muhajirin. Gotong royong juga dilakukan dari segi menyediakan masakan Nasi Arab ! Difahamkan 8 ekor kambing telah disembelih bagi persediaan jamuan dan sejak malam tadi mereka telah bergotong royong memasak. Sesungguhnya melalui program ini merapatkan hubungan di kalangan penduduk.
Program utama pada paginya ialah Forum Maulid al-Rasul. Ahli Panel yang dijemput ialah YB Tuan Haji Mohd Nor bin Hamzah ADUN, Bukit Payong, Kuala Terengganu dan Ustaz Fauzi bin Hussain, Pengerusi Sekolah Rendah Islam Kedah dengan dimoderator oleh Ustaz Shukor Atan. ADUN Bangi dalam ucapan pembukaan memuji Jawatankuasa yang gigih mengadakan kegiatan di Surau al-Muhajirin. Beliau menyokong hasrat penduduk mau mendirikan Masjid Terapung di tepi tasik berdekatan dan berdoa hasrat sedemikian terlaksana. Antara perkara yang ditimbulkan oleh Panel Ustaz Fauzi sebagai panel pertama bahawa acara Maulid al-Rasul peringkat awal diadakan pada zaman pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi di Mesir. Menurutnya pada masa Governor Muzaffaruddin, adik kepada Salahuddin al-Ayubi, beliau telah mengadakan sambutan Maulid al-Rasul (583H.). Beliau juga menceritakan tentang Bilal dan Tauban selaku sahabat-sahabat yang begitu cinta terhadap Rasulullah. Manakala YB Uztaz Mohd. Nor juga bercakap tentang kecintaan terhadap Rasulullah.
Beliau juga menyentuh tentang Sambutan Maulid al-Rasul memanglah bukan dari amalan Salaf al-Salih, bahkan ada yang mengatakan bida'ah. Beliau menerangkan tidak semua bida'ah salah, sebaliknya Sambutan Maulid al-Rasul tergolong di bawah bid`ah hasanah, kerana melaluinya dapat difahami sirah al-Rasul dan berbagai-bagai pengajaran, bahkan memupuk kecintaan terhadap Rasulullah. Beliau memetik pendapat Allamah Dr. Yasuf al-Qaradhawi yang mengukuhkan pendapat menggalakkan sambutan ialah dari ayat Quran bermaksud:
"Adalah kamu sebelumnya berseteru, maka Allah menjinakkan antara hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmatnya bersaudara (Ali Imran: 103)."
Sesungguhnya Majlis disulami dengan pembacaan al-Quran pada pembukaan, salawatt dan nasyid dan diakhiri dengan jamuan nasi Arab.
Manakala pada sebelah malam, ADUN menghadiri acara Maulid al-Rasul di Masjid Pekan Bangi. Acara diadakan secara ringkas dengan ucapan Nazir Tuan Haji Abdul Halim bin Haji Mokhtar dan ucapan ringkas ADUN, maka disampaikan hadiah tokoh yang berjasa kepada kariah dan masjid. Tokoh Lelaki ialah Tuan Haji Abdul Jalil bin Mohd Arif, dan Tokoh Wanita ialah Puan Noriah Binti Ismail.
Sebelumnya pada petangnya kalangan wanita mengadakan acara sambutan Maulid al-Rasul di Masjid Pekan Bangi dengan bersalawat dan barzanji.
KEKELIRUAN MENGHADIRI MAULID DI IMPIAN PUTERA BANGI
Selepas menghadiri Sambutan Maulid al-Rasul di Masjid Pekan Bangi, ADUN ke Impian Putera Bangi atas jemputan pihak surau di situ. Tapi bila tiba sebenarnya diadakan di padang berdekatan surau. ADUN keliru lagi dengan pengumuman Pengerusi majlis bahawa sambutan dianjurkan oleh pihak Belia Negeri Selangor. Pertanyaan dalam hati ADUN, benarkah ianya dianjurkan oleh Belia Negeri Selangor yang portfolio ini di bawah Yang Amat Berhormat Tan Seri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor. Apakah nama ini diperalatkan ? Jika ya, mengapa anjuran dari peringkat negeri tidak diberi pablisiti dan majlis begitu kecil, mengapa dipilih di sini ? Dihadiri kurang lebih 50 orang?
Di dalam majlis ini ADUN hanya berperanan sebagai seorang pendengar sahaja. Yang menjadi tanda tanya ada satu acara salawat yang disampaikan oleh lebih kurang 30 pelajar dari Sekolah Seri Puteri, Putera Jaya. Kita dimaklumkan, mereka dijadikan anak angkat penduduk beberapa hari dalam tempoh cuti. Kalau mereka menjadi anak angkat sebagai kegiatan ko-korikulum, maka tidaklah dipersoalkan dan wajar diterima penduduk, tetapi ada kemungkinan tanpa disedari mereka, anak-anak dipergunakan bagi tujuan lain dari belajar dalam tempoh umur mereka bersekolah, jika demikian adalah kurang wajar.
Kedua-dua panel pada malam itu ialah Ustaz Mohd Khairi Hussin Timbalan Rektor KUIS dan Dr. Zulkifli Aini Pengarah Akademi Islam juga dari KUIS.
No comments:
Post a Comment