March 8, 2010

Mengiktiraf Mereka Yang Berjasa Sempena Maulid ar-Rasul

Kajang Utama, 21 Rabiul Awwal = 7 Mac (Ahad):

Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasul 1431 Surau al-Muhajirin diketuai Tn. Haji Azhar bin Mohd Arshad selaku Penasihat, dan Pengarahnya Tuan Hj. Razak bin Mohad Latif dan Setiausaha En. Azman bin Shafie dan AJK-AJK lain mengambil keputusan yang tepat, iaitu sempena dengan sambutan pihak AJK memberi penghargaan dan pengiktirafan terhadap mereka yang berjasa dalam usaha mendirikan Surau al-Muhajirin yang indah tersergam yang juga didirikan Solat Jumaat. Pihak AJK juga memberi penghargaan dan pengiktirafan terhadap mereka yang memimpin jemaah dan memberi pengisian terhadap Surau. ADUN dengan senang menerima permintaan menyampaikan cenderahati kepada:

1. Tn. Haji Othman Suboh (Mantan Pengerusi)
2. En. Ibrahim bin Martibi@Apie (Mantan Bendahari)
3. Imam Idris bin Mohd Nor (Mantan Imam)
4. Hj. Abdul Jalil bin Yem (Mantan Imam)
5. Hj. Haidin bin Duyah (Mantan Siak)
6. Pn. Zainon bt. Abdul Rahman (Mantan Ketua Biro Wanita)

Program paling utama ialah sambutan Malidur Rasul yang mendapat kerjasama Sekolah Kebangsaan Kajang Utama, Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama Sekolah Agama Kajang Utama, Surau at-Taqwa, Apartmen Sutera, Rukun Tetangga, Kejiranan Peak208 dan penduduk setempat. Tetamu-tetamu istimewa yang dijemput selain dari penerima-penerima pengiktirafan di atas ialah En. Faris Omar Guru Besar SKKU, Pn. Hjh.Hidayah bt.Mokhtar Pengetua SMKKU, Puan Tumijah bt. Ali Pengetua Sekolah Agama dan Ustaz Salihin Muhyi selaku Penceramah.

Sejak awal pagi peserta-peserta sambutan yang terdiri daripada penduduk setempat, murid-murid dan pelajar-pelajar yang berjumlah lebih dari 1,300 orang telah mengambil bahagian di dalam perarakan mengelilingi kawasan Kajang Utama membawa sepanduk sambil berselawat. Perarakan bertolak dari pekarangan sekolah dan berakhir ke dalam kawasan surau. Setelah berehat acara dalaman bermula dengan ucapan Pengerusi Surau yang selaku Penasiht berterima kasih kepada semua yang mengambil bahagian hingga program sambutan dapat dijayakan. Turut berucap Tuan Haji Abdul Razak selaku pengarah juga berterima kasih di atas kerjasama menjayakan sambutan Maulidur Rasul terbesar pernah diadakan.

Manakala ADUN Bangi kagum dan memuji di atas kerjasama penduduk setempat dan adanya kerjasama dengan pelbagai institusi terutama sekolah-sekolah hingga majlis sambutan dapat diadakan. Beliau menekankan pernyataan sayang yang dilahirkan terhadap Rasulullah hendaklah ditunjukkan dengan mengikut apa yang dibawa Rasulullah dan menjauhi perkara yang dilarang Allah. Selepas perasmian dilakukan ADUN penyampaian cenderahati penghargaan dan hadiah-hadiah pemenang bagi berbagai -bagai kategori dipertandingkan di dalam perarakan.
Sekian.

2 comments:

  1. Bandar Baru Bangi, Bandar Sampah?

    Dicelah sambutan maulidur rasul izinkan saya bersuara.

    Dari saat kita memasuki tol bangi menuju ke bulatan ukm pasti sesiapa yang memandu tidak akan terlepas pandang, botol plastic, tin kosong, cawan plastic dan beribu jenis sampah bertaburan di tepi jalan. Adakah ini yang kita mahu lihat?Adakah Bandar Baru Bangi mahu di kenali dengan bandar sampah biarpun terpampang slogan kebersihan di setiap sudut.
    Selangor negeri denggi, apa tidaknya kalau begini keadaan negeri yang tersohor kemajuannya. Biar seribu botol serbuk pencuci mahupun berkilo ubat jentik-jenti di tabur di sekitar rumah, usaha itu sia-sia bila melihat jalanan yang tidak terjaga.
    Saya terpanggil untuk memberitahu pihak ADUN tentang perkara yang sudah terang lagi bersuluh ini dengan menelefon pejabat ADUN, namun jawapan dari panggilan itu amat menyakitkan hati bilamana orang di sana mengatakan saya tersalah tempat mengadu kerana ini kerja MPKJ. Apakah wakil bagi penduduk yang kita pilih selama ini tidak punya kuasa untuk bersuara ataupun suara itu bagai anjing menyalak bukit?
    Jangan salah faham dan jangan sekali menunding jari mengatakan saya orang UMNO, tidak sama sekali, kali terakhir saya periksa saya penyokong kuat Parti Sosialis Malaysia. Saya sekadar mahu bersuara dan suara ini adalah suara orang biasa yang mahukan keadilan sebagaimana tiap insan yang ikhlas berjuang untuk parti PAS. Tolong jadikan Bandar Baru Bangi Bandar bersih bukan tong sampah besar beribu hektar.

    ReplyDelete
  2. Bandar Baru Bangi, Bandar Sampah?

    Izinkan saya bersuara di celah sambutan maulidur rasul ini.