March 22, 2010

Mengisi Masa Lapang Golongan Belia

BBB 04 R. Awwal = 20 Mac (Sabtu):


Cuti sekolah selama seminggu mulai 13 Mac hingga 21 Mac tidaklah panjang. Mungkin bagi keluarga yang berkemampuan mengambil peluang membawa anak-anak melancong, atau sesetengahnya pulang ke kampung, tetapi ramai pula yang tidak ke mana-mana. Sebaliknya berada di rumah di samping keluarga berehat sambil mengulangkaji pelajaran, khususnya yang ketinggalan. Sesetengahnya menerima kehadiran cuti sekolah tanpa kesah, sambil menghabiskan masa merayau di cyber cafe dan bergerak berkumpulan di sana sini tanpa tujuan.



Bagi kelompok remaja terakhir ini, pihak ADUN Bangi menyediakan kegiatan yang boleh diceburi oleh pelajar, iaitu pertandingan futsal anjuran DUN Bangi dengan kerjasama Zon 22, Sekretariat Pemuda Prihatin dan Pertubuhan Belia Tempatan. Demikianlah publisiti mengenai pertandingan futsal telah dibuat berminggu-minggu sebelum tarikh pertandingan dan hari ini tiba tarikh pertandingan sebenar.


Pertandingan dapat menarik sebanyak 10 pasukan belia berumur bawah 17 tahun. Pertandingan adalah secara liga kalah mati. ADUN Bangi berkesempatan merasmikan pertandingan yang diadakan di Dewan Serbaguna, Seksyen Dua, Bandar Baru Bangi. Dewan Serbaguna yang baru diubahsuai oleh MPKj bagi membolehkan orang ramai menggunakannya untuk Futsal tidak begitu diketahui oleh masyarakat setempat, kerana sebelum ini dewan lebih diguna untuk permainan badminton. Oleh kerana kurang penggunaan untuk futsal, diberitakan pihak MPKj mungkin menarik balik dewan ini dari segi penggunaannya untuk futsal. Sebab itu kepada penggemar permainan futsal ambillah peluang ini menggunakan tempat ini bagi permainan futsal supaya pihak MPKj tidak menarik balik penggunaannya.

Sementara itu bagi mengisi masa lapang anak-anak muda yang dalam percutian sekolah, pihak Persatuan Penduduk Seksyen 4 di Jalan 4/8 menganjurkan Pertandingan sepak takraw di kalangan anak-anak muda di kawasan berkenaan dan berdekatan.

Menurut Saudara Amin AJK Remaja yang juga AJK Penganjur pertandingan bahawa pihak penganjur dapat menarik sebanyak 12 pasukan, juga mendapat kerjasama dari pihak MPKj membekalkan khemah dan kerusi.


ADUN tiba untuk perasmian setelah pertandingan berjalan dan sebahagian dari pasukan yang kalah (pertandingan kalah mati) telah pulang. Walaubagaimanapun, ADUN sempat merasmikan pertandingan bagi pasukan-pasukan yang menang yang perlu meneruskan pertandingan.


Walaupun pertandingan, baik futsal, mahupun sepak takraw tidaklah bersifat besar-besaran, sekurang-kurangnya dapat menarik golongan belia di bawah umur 18 tahun mengisi masa lapang mereka kepada kegiatan yang lebih berguna lagi menyihatkan badan. Ucapan syabas kepada pihak penganjur yang prihatin dengan golongan belia dan syabas kepada golongan belia yang menyahut tawaran penyertaan. Usaha dan penyertaan sedemikian diharap dapat diteruskan. Terima kasih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment