Dengan apakah indahnya insan
Dengan hiasan pakaian ?
Pakaian itu lambang perubahan
Waktu-waktu bertukar persalinan
Tiada apa menjadi kelebihan
Kecuali hiasan luaran
Pakaian hakiki pakaian kesempurnaan
Tiada lain dari taqwa kepada Tuhan.
Dengan apakah kayanya insan
Dengan harta jenuh berlimpahan ?
Harta berlebihan adalah pinjaman
Menjadikan pemiliknya dalam bimbang
Harta hakiki adalah budi
Menjadikan pemiliknya dihormati.
Dengan apakah besarnya insan
Dengan pangkat dan bintang gelaran ?
Sedang ia mainan anak-anak dewasa
Menyusunnya sarat berat di dada
Angkat mengangkat kembang dipuja
Sedang kebesaran itu ilusi diri
Ianya hakiki sifat Ilahi.
Dengan apakah sempurnanya insan
Dengan ilmu makrifat mengenali
Betapa tak sempurnanya diri
Kerana itulah hakikat insan
Sempurnanya dalam tak kesempurnaan.
Shafie Abu Bakar,
Jabatan Persuratan Melayu, UKM.
03 Jamadil Akhir 1408
22 Januari 1988.
No comments:
Post a Comment