BBB, 27 Sya'ban = 08 Ogos (Ahad):
Selepas menyampaikan bantuan di Balairaya Teras Jernang, aku mempunyai kelapangan lebih kurang 2 setengah jam, kerana dari jam 10.30 pagi aku sepatutnya bergerak ke Dewan Sungai Lui, Hulu Langat merasmikan majlis 'Marhaban Ya Ramadhan' anjuran Perkumpulan Wanita di sana. Tiba-tiba petang kelmarin akan dihubungi memaklumkan Majlis itu dibatalkan, kerana mau mengelak dari tekanan politik.
Aku bertanya, "Tekanan bagaimana, saya pergi atas jemputan kalian ! Kalau tidak, mengapa dijemput." Penyampai pembatalan program tidak memberi maklumat, siapa yang menekan.
Bagi mengisi kekosongan aku merujuk kepada jemputan melalui SMS. Antaranya jemputan bersih kubur pada sebelah pagi hari ini di Pekan Bangi. Kami membuat keputusan untuk ke sana dengan jangkaan mereka masih membersih. Tapi sebelum bertolak kami membeli 8 peti air mineral, untuk dihadiahkan kepada kumpulan bergotong royong. Kami bertolak ke Pekan Bangi dan mencari kuburan yang pernah kami pergi. Setelah tersilap jalan, kami menemui kuburan di sana. Setelah bertanya beberapa orang yang sedang membersih kubur-kubur keluarga sempena Ramadhan, tentang gotong royong yang sepatutnya diadakan di situ sebagaimana di SMS sebelum ini, tetapi pembersih-pembersih yang datang dari pagi itu memberitahu, "Tiada orang ramai yang datang bergotong royong."
Begitulah jemputan yang dihantar melalui SMS, kadang-kadang tidak lengkap dan tidak tepat dan mungkin tersilap atau mungkin salah tanggap kerana terlampau ringkas dan padat.
Kami beredar dari kuburan itu, dengan kemungkinan, tempatnya bukan di situ. Kemungkinan di Kuburan di Seri Putera yang baru dibuka dan mungkin kawasan itu belum dibersih dan diadakan gotong royong.
Kami bergerak ke Seri Putera di kuburan baru di situ – di Belakang Petronas dan di tepian Kampus KUIS yang juga di tepian tasik. Kami tiba di kubur yang beberapa orang saja baru dikebumikan di situ. Tetapi tiada tanda-tanda orang bergotong royong. Bahkan tiada orang hidup, selain yang sudah mati!
Aku menelefon Tuan Haji Ahmad Yusof, bekas Setiausaha Pas Serdang dan juga Ketua Persatuan Penduduk di Seri Putera di sini bertanyakan mengenai gotong royong. Beliau memberitahu, "Tak ada gotong royong di kubur Seri Putera, tapi yang ada ialah gotong royong membersihkan tapak Masjid di Bukit Mahkota. Sekarang sudah lewat, mungkin sudah siap."
Samada itulah tempat gotong royong yang dimaklumkan dalam SMS dulu atau tidak, aku tak kesah, asal ada gotong royong ! Kami bergerak ke sana dan tiba di lokasi tapak masjid di situ dan terdapat baki yang bergotong royong seramai lebihkurang 10 orang.
Kami singgah dan bersalam-salaman dan diberi taklimat oleh Saudara Haji Mazwan Ahli MPKj dan beberapa yang lain yang turut bergotong royong, bahawa tapak masjid itu sekadar 3 ekar sahaja. Pihak kerajaan telah bersetuju di tempat itu sebagai tapak masjid dan telah digezetkan, tetapi pembinaan kemungkinan dalam RMK ke 10. Sementara pembinaan, mereka bersihkan tapak untuk diguna sementara bagi pasar Ramadhan dan pasar malam. Disamping itu, mereka maklumkan di bahagian belakang terdapat 2 ekar tanah dimiliki TNB ? dengan sebuah bangunan seperti dewan, tapi kini ditinggalkan. Mereka bercadang untuk mendapatkan tanah kosong disatukan dengan tanah masjid menjadikannya lebih luas (menjadikan 5 ekar) dan boleh digunakan sebahagian antaranya bagi kawasan parking. Aku bersetuju dan mencadangkan agar dibuat penyelidikan di Pejabat Tanah mengenai status tanah itu dan kalau tiada pemilik, bolehlah dipohon bagi tambahan kawasan masjid dan binaan masjid boleh diperbesarkan kelak.
Sambil bercakap aku didatangkan oleh seorang yang bergotong royong segelas polistrin air semacam sirap bersusu. Air disediakan oleh muslimat yang menjaga bahagian air. Bila aku minum terasa sedapnya, terluah dari mulutku,
"Alhamdulillah sedapnya !"
Gelas itu disertai dengan sudu plastik, bila aku kacau, rupanya separuh daripada bahagian bawahnya campuran buah-buahan yang memang enak rasanya. Aku bergurau,
"Air ini sedap betul! Promosi untuk dijual bulan Ramadhan nanti ke? Kat mana nak jual, saya nak datang beli Ramadhan nanti nak buat berbuka!"
Secara sponton muslimat yang mengurus air menjawab, "Tak! Ini resipi special untuk gotong royong tapak masjid ini saja!"
"Ai tak ada peluang nak beli, kena minum banyak-banyaklah – sekali ni saja!" kataku.
Aku bercakap kepada Saudara Azizi, "Tak lakulah air mineral yang kita bawa!"
Kami beritahu kami ada bawa air mineral untuk gotong royong, tapi air yang disediakan di sini terlampau sedap, tentulah kalau diperturunkan, tak dapat sambutan!"
Oleh kerana baki yang gotong royong tak ramai, kami hanya perturunkan satu kotak air mineral sahaja.
Selepas meninjau dan bercakap-cakap, kami diajak oleh seorang peserta gotong royong pergi ke kawasan kediaman yang tidak berapa jauh dari tapak masjid itu.
Bila kami hendak beredar dengan yang menjemput tadi, tiba-tiba muslimat membawa tiga bungkus plastik air minuman bercampur buah-buahan itu untuk dibawa pulang !
Aku teruja sambil berkata, "Inilah untungnya buat pujian! Beri satu (air mineral) dapat tiga!"
Secara spontan muslimat itu menjawab, "Puji banyak mana pun, kalau dah habis, tak boleh beri. Ini kebetulan ada lebihan!"
Aku menjawab,"Kalau begitu ini yang tak habis lah!"
"Tak," dia jawab. "Yang bekerja itu ramai lagi tak minum, tapi dah ada air mineral tak apa!" katanya.
Kami diiringi ke kenderaan dan bersalam. Kemudian ke lokasi yang dijemput tadi. Tak sampai lima minit perjalanan. Kami sampai ke tempat gotong royong tadi, iaitu di Apartment Nuri, Seksyen 4, Bukit Mahkota. Penghuni-penghuni Apartment bergotong royong membersih kawasan rumah dan pekarangan sempena menyambut Ramadhan. Kumpulan muslimat juga sedang memasak. Bila kami tiba, kami disambut oleh Ketua Blok 9, iaitu Encik Zamri Fadhil. Kami bersalam dengan penghuni apartment yang nampaknya excited dengan kehadiran kami tak disangka-sangka. Kami dibawa ke tempat muslimat yang sedang menggoreng ayam dan menyediakan "Wadi Keeping" - makanan Banjar seperti bubur caca (ada orang Banjar di sini).
Aku bergurau, "Saudara Azizi, patut kita datang ke sini lewat sikit, baru sempat makan tengahari di sini. Ooi seronoknya banyak makanan!"
Dijawab oleh muslimat yang sedang memasak, "Tak apa YB tunggu! Kita makan bersama!"
Aku berhelah, "Sayangnya tak dapat, ada program lain selepas ini!"
"Tak apa," jawab muslimat, "YB datang semula lepas program itu." Jawabku, "Tapi jauh, tak sempat kembali."
Sebagai tanda kenangan dan berbudi, kami perturunkan dua peti air mineral di sini yang aku nampak belum ada air disediakan. Kemudian anak-anak gembira berebut mendapatkan botol-botol air mineral dari kotak-kotak yang diperturunkan.
Semasa kami meninjau tempat gotong royong dan persediaan makanan, rupanya antara AJK penduduk membuat program spontan, sebagai kenangan aku datang.
"Apa acaranya?" Aku dijemput ke tanah lapang.
"Menanam pokok mempelam!"
"Dari mana benihnya?" tanyaku.
"Ambil yang tumbuh dari longkang!" sambil AJK itu tunjuk ke arah monsoon drain berdekatan. Tak kisahlah berkata hatiku, mereka benar-benar rasa terhormat dengan kedatanganku dan secara kreatif memikirkan acara untuk dilakukan olehku.
Pada masa itu ada yang menggali lobang dan ada yang membawa tanah berbaja dalam baldi yang diambil dari kawasan membakar sampah.
Acara menanam pokok mempelam bermula.
Bila pokok dibawa, tanah pada akarnya sudah pecah,
Aku bergurau bertanya, "Boleh hidup ke ni tinggal akar aja?" soalku.
"Tak apa selepas tanam ni kena siram banyak-banyak!" kataku.
Aku teruja dengan penghormatan dan sambutan spontan yang diberi penduduk.
Kami memohon diri dengan seribu kenangan dan amat bererti.
Sekian.
No comments:
Post a Comment