Sungai Ramal Luar, bahkan Negeri Selangor kini mempunyai sebuah masjid tertua (1929) dan unik di negeri ini. Masjid Jamek Berkembar Haji Mat Saman dapat dikatakan siap, selepas persetujuan dalam Mesyuarat terakhir 6 April 2009 dipengerusikan ADUN Bangi bertempat di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat bersetuju Mengekalkan Bangunan Asal Bersama Membina Bangunan Baru. Berikutan dari itu, selepas Pengarah Jais – Datuk Haji Khusrin Munawi turun ke tapak mendapat taklimat dari jurutera bangunan baru mulai dibina di atas tapak seluas 5 ekar berkembar dengan bangunan lama dengan kos bangunan baru ialah RM5 juta ringgit. Bangunan ini kini siap dan dijangka mulai digunakan pada Hariraya Idul Fitri hampir ini.
Bangunan Masjid Jamek Berkembar – Haji Mat Saman ini bersejarah kerana tua dan klasiknya. Adalah dimaklumkan masjid ini dibina sejak 1929 sesuai dengan lokasinya berada di pinggir Sungai Ramal – pangkalan tempat persinggahan melalui jalan sungai. Sebagai tempat pertemuan perjalanan dan perniagaan, maka inisiatif diambil tokoh pemimpin semasa itu, iaitu Haji Mat Saman mendirikan masjid di tapak yang ada sekarang untuk kegunaan berjamaah dan berjumaat penduduk Sungai Ramal Luar, iaitu sebelum jalan secara sempurna dari Kajang ke Serdang dibina. Dikatakan juga masjid ini dibina di tepi sungai Ramal bagi memudahkan ahli jamaah mengambil wuduk dari Sungai Ramal tersebut. Sudah tentulah dalam usia lebih 80 tahun masjid ini telah mengalami perubahan dan penambahan sehingga kepada bentuk sebagaimana kini.
Dengan persetujuan yang diambil pada 6 April 2009, maka pembinaan bangunan baru dilakukan. Mereka yang menghadiri mesyuarat ialah En. Ahmad Fuad bin Mustafa bagi pihak Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Puan Munirah dari JKR negeri Selangor, En. Lokman dari JKR Hulu Langat, Wakil dari Pengarah Pembangunan Negeri Selangor, Encik Azmi Kontrektor, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong dan Pengerusi JKKK, Tuan Haji Mustafa Nazir Masjid dan En. Mohd Lotfi bin Kassim Ahli Qariah.
Sebelum daripada ini, memang sudah ada usaha mendirikan Masjid Jamek Haji Mat Saman dengan bangunan baru, iaitu berikut dari kesedaran (1990an) masjid ini tidak tepat dari segi arah kiblat, usaha membetulkannya dilakukan, tetapi kedudukan saf agak tidak selari dengan ruang dalam bangunan. Faktor ini dan faktor kelamaan menjadi alasan perlunya dibuat bangunan yang baru di atas tapak yang lama. Dari kesedaran dan keperluan ini menggerakkan Tuan Haji Zainal sebagai Nazir dan Pengerusi AJK Masjid Haji Mat Saman pada tahun 1990an mengambil keputusan untuk mendirikan masjid yang baru. Peruntukan pernah didapati dari Kerajaan Persekutuan sejumlah RM9.6 juta bagi mendirikan masjid yang baru tetapi kerana masalah teknikal masjid tidak didirikan dan tarikh tawaran peruntukan lupus dan peruntukan baru dipohon, tetapi sehingga berubahnya pemerintahan negeri Selangor kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, pembinaan oleh AJK sebelumnya tidak dapat direalisasikan. Peruntukan baru diluluskan dengan jumlah yang berkurangan dari asal, iaitu RM5 juta (bersama dengan peruntukan derma).
Pada masa kerajaan Pakatan Rakyat dan Sungai Ramal Luar termasuk di bawah DUN Bangi, ADUN Bangi dalam usaha menggerakkan pembinaan Masjid Haji Mat Saman ini berdepan dengan dua tuntutan. Pertama ialah tuntutan didirikan bangunan masjid yang baru sepenuhnya dengan merobohkan yang lama dan tuntutan yang mau mengekalkan bangunan yang lama dengan hujah-hujah tersendiri. Tuntutan mendirikan bangunan yang baru sepenuhnya adalah lanjutan dari usaha yang dilakukan oleh AJK Pembangunan sebelumnya di bawah Tuan Haji Zainal.
Timbul Bantahan
Dalam usaha meneruskan pembinaan bangunan yang baru yang dianggap tidak merujuk kepada ahli qariah, dan dengan kerajaan baru, mereka berpeluang melahirkan bantahan. Bantahan adalah melalui surat bertarikh 21 November 2008 = 23 Zulkaedah 1429 diketuai En. Mohd Lotfi bin Kassim dengan disertakan bantahan bertanda tangan
238 penduduk. Dengan salinan surat kepada Dato` Dr. Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, ADUN Bangi, Orang Kaya Maha Bijaya Daerah Hulu Langat, Pegawai Agama Islam Hulu Langat, Penolong Pegawai Daerah Pembangunan, Dato` Penghulu Mukim Kajang dan Jurutera Daerah (JKR). Surat dan tandangan beramai-ramai itu Memohon Pembatalan Membina Masjid Baru Mat Saman Sg. Ramal Luar atas alasan:
- Pembinaan masjid baru ini tidak pernah mendapat persetujuan bersama dari penduduk kampong malah tidak pernah dibincangkan secara terbuka untuk mendengar pandangan dan pendapat di mana-mana forum samaada Mesyuarat Agong Tahunan atau seumpamanya.
- Masjid yang didirikan pada 1929 Masehi itu masih dalam keadaan yang baik dan hanya beberapa bahagian sahaja yang perlu dibaiki seperti pemantapan dan penggantian struktur asal, atap, kubah, menara dan tandas.
- Masjid asalnya dibina hasil dari usaha dan titik peluh datuk nenek kami yang menorah getah, bersawah padi dan melakukan kerja-kerja kampong telah bersusah payah bergotong-royong serta berdikit-dikit menghimpunkan dan mewaqafkan wang dan harta mereka demi untuk kemudahan dan menaikkan syiar Islam untuk anak cucu kemudian hari. Sehubungan dengan itu adalah tidak wajar bagi kita dengan sewenang-wenangnya merobohkan masjid tersebut tanpa sebarang alasan yang kukuh dan munasabah.
- Tindakan merobohkan masjid ini akan juga akan menghilang waqaf dan jariah orang-orang terdahulu dan ini amatlah bertentangan dengan tuntutan syariat.
- Lokasi masjid tersebut tidak mengganggu jalan atau apa-apa projek yang sedang atau akan dibangunkan.
- Masjid baru yang dicadangkan adalah lebih kecil (berukuran 90 kaki x 90 kaki) jika dibandingkan dengan masjid yang sedia ada (berukuran 120 kaki x 150 kaki).
Sehubungan dengan itu kami mewakili sebahagian besar ahli qariah Kg. Sg. Ramal Luar khususnya penduduk asal mencadangkan agar projek ini dibatalkan dan diganti dengan mengubahsuai serta mengekalkan bentuk asalnya.
Berhubung dengan kesedaran pentingnya dikekalkan Masjid Haji Mat Saman ini sebagai Harta Warisan dan khazanah Tempatan, Negeri dan Negara Saudara Mohd Lotfi bin Kassim mewakili ahli Qariah telah menulis surat kepada Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Tingkat 16 Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50694 Kuala Lumpur bertarikh 15 Januari 2009 = 18 Muharram 1430H. mencadangkan supaya Masjid Jamek Haji Mat Saman dijadikan Harta Warisan Negara.
Berhubung dengan bantahan di atas, pertemuan dan perbincangan diadakan dengan AJK dan Ketua Kampung Haji Yusof membincangkan cadangan dan bantahan berkenaan. Pihak Setiausaha JKK Tuan Hj Noor Azhar Bin Haji Abdul Aziz menulis surat kepada Tan Sri Dato` Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Cadangan pembinaan Masjid Jamek Haji Mat Saman Kg. Sungai Ramal Luar Kajang, Selangor bertarikh 21/02/2009 menyatakan:
Pihak JKK Kg. Sg. Ramal Luar telah bersetuju untuk membuat pindaan dan cadangan ke atas isu pembinaan masjid tersebut. Antara cadangannya ialah:
- Mengekalkan masjid lama tanpa dirobohkan. Untuk tujuan memulihara khazanah warisan di mana masjid ini dikenalpasti antara yang tertua di Selangor, dibina pada tahun 1929.
- Membina masjid baru di atas tapak bersebelahan Masjid Lama. Di mana tanah milik Masjid masih luas bagi tujuan tersebut.
- Kos meroboh masjid lama boleh digunakan membaikpulih bangunan dan mencantikkannya.
- Dengan tidak merobohkan masjid lama penduduk-penduduk kampong masih lagi boleh berjamaah sementara menunggu pembinaan Masjid Baru
- Segala waqaf dan sedekah penduduk ke atas Masjid lama dapat dikekalkan.
Pihak JKKK Kg. Sungai Ramal Luar berpendirian, atas nasihat YB Dr. Shafie Abu Bakar (ADUN Bangi) menyokong agar sebahagian peruntukan tersebut digunakan untuk Pemuliharaan dan Pembesaran Masjid yang sedia ada.
Hasil dari bantahan (surat 21 November 2008) dan surat cadangan pindaan bertarikh (21/02/2009) dan mesyuarat terhadap bantahan dan cadangan dan mengambil keputusan terakhir bertarikh (6 April 2009), maka Masjid Jamek Berkembar – Haji Mat Saman menjadi realiti.
Dalam lawatan selepas tarawih 3 Ramadhan 1431 = 13 Ogos 2010 ADNS Bangi bersama Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir Ketua JKKK Sungal Ramal Luar, Tuan Nazir Tuan Haji Nik Pa Nik Leh, En. Yusof bi Bachik Ahli MPKj, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Saudara Fuad dan lain-lain didapati bangunan baru hampir sepenuhnya siap dengan api telah dimasukkan, lantai telah dipasang carpet, bahagian mihrab yang menurut Tuan Haji Nik Pa - Nazir mencontohi Mihrab Saydina Abu Bakar di Masjid Madinah juga siap, Cuma tempat khutbah masih dalam penyempurnaan. Menurut Tuan Haji Mohd Yusof, jika siang hari, hasil dari pancaran matahari ke dalam memancarkan refleksi dari warna permaidani biru menjadi warna-warni menarik ke bahagian atas. Menurutnya level dari bangunan baru akan disamakan dengan bangunan lama yang kelak bila bertutup bahagian atas akan diguna bahagian bawah untuk tempat sembahyang. Dinding bahagian depan bangunan lama akan dibuka bagi menyambungkannya dengan bangunan yang baru. Bahagian kubah bangunan lama akan disesuai dan diharmonikan dari segi cat dengan yang baru. Menurut Tuan Haji Mohd. Yusof, tempat parking adalah banyak dengan tempat utama parking pada bahagian kanan dan kiri masjid. Kita berharap dengan daya kreatif akan diusahaka kedua-dua bangunan akan disatukan sebagai masjid yang indah dan menarik dari segi susunatur, architecture, landscaping dan pandangan. Kita popularkan masjid di sini sebagai Masjid Jamek Kembar Haji Mat Saman yang harmoni untuk beribadat dan tarikan bagi pelawat.
Sekian.
Assalamualaikum, saya ameer photographer sambilan, ader mengambil gambar terbaru masjid berkembar ini pada hujung bulan lepas dalam bentuk HDR photography. Untuk melihat gambar masjid terkini boleh ke blog saya di http://momoc.sumasu.com .
ReplyDeleteWalaupun saya bukan orang Sg. Ramal, tapi sebagai orang Kajang ( Kg. Sg. Sekamat ) sedikit sebanyak saya berbangga dengan masjid berkembar ini. Dan berasa sangat gembira kerana masjid lama tidak di robohkan dan antara sebab bantahan di atas yang paling penting saya rasa adalah berkenaan Wakaf. Pastinya mereka mewakafkan dan yang terlibat dengan pembinaan masjid lama ini ingin masjid ini terus di gunakan agar mendapat pahala yang berterusan walaupun mereka telah tiada.
Sekian sahaja,
Ameer
http://momoc.sumasu.com/photography-education/hdr-photography-of-the-twin-mosque/
ReplyDelete