August 14, 2010

Guru Dan Mahasiswa Dibenar Berpolitik ? - Sekadar retorik

BBB, 04 Ramadhan = 14 Ogos (Sabtu).

Pada 27 Julai lepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik mulai awal Ogos ini. Mereka yang terlibat di dalam kategori berkenaan 190 ribu orang. Sementara itu Datuk Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada 9 Ogos lepas seolah-olah menurut rentak kebenaran di atas bersedia menimbang bagi membenarkan mahasiswa di IPTA melibatkan diri di dalam politik. Pendirian Saifuddin nampaknya bercanggah langsung dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia yang tidak membenarkan mahasiswa berpolitik. Kesediaan menimbang Mahasiswa berpolitik oleh Saifuddin seolah-olah selari dengan tuntutan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr. Wee Ka Siong yang juga adalah Timbalan Menteri Pelajaran.

Apakah motif membenarkan guru dan mahasiswa (bagi Saifuddin dan kedua-dua Ketua Pemuda) aktif di dalam politik ? Yang jelas bukan atas pertimbangan politik bernegara bagi menyuburkan perkembangan demokrasi di Negara ini, tetapi atas dasar survival parti Umno-Bn yang didokongi mereka. Selama ini mereka sebenarnya baik secara langsung atau tidak langsung menentang hak warganegara dan perlembagaan Negara – Hak dan kebebasan bersuara artikal 10(1)(a) dan kebebasan berhimpun 10 (1)(b). Bahkan bercanggah dengan Universal Declaration of Human Rights (December 10, 1948).
Lantas mengapa tiba-tiba bersifat secara sesuku masak (mentah) membenarkan golongan guru kategori khusus aktif di dalam politik?

Faktor utama pembukaan ruang kepada guru, ialah kerana kekurangan tokoh di dalam Umno dan BN. Bagi melantik Menteri, Timbalan Menteri terpaksa dilantik senator-senator bagi melantik mereka di dalam Kabinet. Kini sebahagian dari mereka bukan dari pendukung parti. Selama ini bukan tidak ada kalangan intelektual mau mendekati parti itu, tetapi mereka dipandang serong dan kalau mereka masuk bergiat mereka dicantas. Akibatnya parti itu, khususnya Umno mengalami kepupusan kepimpinan yang berkelayakan begitu serius. Lebih serius terbina dalam minda masyarakat bahawa Umno parti bagi mereka yang mencari habuan kewangan dan bagi golongan muda melihatnya sebagai parti perkauman dan ketinggalan zaman. Di samping Umno kekurangan tenaga intelektual dan professional, mereka terasa kehilangan kepercayaan masyarakat terhadap mereka, bahkan kehilangan kepercayaan di kalangan mereka. Tindak tanduk mereka selama ini, misalnya mendapat kekuasaan (merampas) secara tidak demokratik dan menggunakan suruhanjaya, jabatan dan agensi bagi kepentingan mereka lebih menjauhkan masyarakat, khususnya golongan intelektual dari mereka.

Keparahan dan terhakisnya kepercayaan masyarakat terhadap mereka, menjadikan Umno-BN nostalgic terhadap masa silam, khususnya tahun-tahun 50an dan 60an dalam mana kaum gurulah yang mendukung dan memperjuangkan Umno secara jujur dan tidak berkepentingan. Ini adalah merupakan zaman keemasan Umno-BN. Namun selepas 70an berlaku zaman transisi, peranan guru makin terhakis dan apabila golongan koperat mengambil alih, maka golongan guru tersisih dan terpinggir. Zaman selepas 80an zaman melombong kekayaan Negara bagi kalangan koperat. Tiada lagi istilah perjuangan kerana bangsa, Negara dan agama tanpa habuan kekayaan. Zaman ini mulai timbul istilah-istilah Kurupsi, millionaire, golongan menengah Atas dan sebagainya dan berlakulah korupsi politik. Orang Umno bukan lagi dilihat sebagai pejuang bangsa, Negara dan agama, tetapi golongan yang mencari kesempatan yang lebih mengutamakan diri dan dijauhi oleh mereka yang mengingini kejujuran, termasuk di dalam politik. Umno teratamanya kini mengalami tekanan yang membawa kepada darah tinggi politik, sakit jantung dan simpton kencing manis. Penyakit yang dialami adalah serius dan perlu kepada pengubatan. Umno sekarang merindui zaman mudanya yang didukung oleh kaum guru yang berjuang secara jujur. Inilah membawa kepada membenarkan golongan guru berpolitik. Apakah kemungkinan berlaku ?

Tidak semudah tawaran yang diberikan. Kategori golongan guru yang ditawarkan berpolitik adalah golongan intelektual yang dapat menilai antara kaca dan intan, yang mana benar-benar berjuang dan yang mana mencari peluang. Kita berpendapat golongan guru ini jika diberi kebebasan yang sebenar akan berpihak kepada yang benar-benar jujur berjuang, mempertahankan demokrasi, mempertahankan rakyat dan membela keadilan. Dalam hal ini pihak Umno-Bn tidak akan membiarkan golongan berpihak kepada lawan mereka. Kita tidak percaya berlakunya kebebasan bagi guru memilih landasan perjuangan yang mereka pilih. Dalam hal ini sekatan atau sekurang-kurangnya tekanan akan dilakukan. Jika demikian kebebasan berpolitik yang diberi kepada kaum guru tidak bermakna apa-apa.

Bagi golongan mahasiswa, ketiga-tiga pro membenarkan mahasiswa berpolitik bagi menunjukkan aspirasi mereka (Saifuddin, Khairy dan Wee) bersama dengan golongan muda – Mahasiswa. Tapi mereka sekadar bercakap sahaja – retorik semata-mata. Sebelum membenarkan mahasiswa berpolitik, tunjukkan kejujuran. Kita bertanya mengapa mahasiswa menjadi mangsa intipan dari keterlibatan, sokongan atau hadir ke majlis atau program politik. Mereka dihukum, digantung dari universiti dan sebagainya. Jika benar-benar jujur mau membenarkan mahasiswa berpolitik, semak dan tarik balik hukuman yang tidak demokratik ini. Kita hairan pengajian tinggi yang didukung oleh golongan intelektual dikekang sedemikian rupa. Kita tidak tau apakah yang mereka pelajari – misalnya tentang Sains Politik, sedangkan mereka tidak dibenarkan mendekati politik. Para pensyarah ditekan di dalam berpersatuan bersifat akademik. Mereka tidak dibenarkan membawa berforum dengan orang politik yang bukan dari kalangan pendukung kerajaan. Mahasisawa lebih-lebih lagi dilarang mendepani mereka di atas pentas forum politik dalam kampus apalagi bersama di atas pentas di luar kampus. Mereka sebenarnya terpenjara dari politik, walaupun mempelajari politik – secara teori semata-mata. Sebab itu jangan bercakap tentang kebebasan mahasiswa berpolitik di luar kampus. Perbaiki dulu cara berpolitik dalam kampus yang amat songsang. Mereka bertiga ternyata bersifat angan-angan. Lihat berita:

No politics for varsity students, rules cabinet

(NST, Friday, August 13, 2010: 4).

Cadangan membenarkan guru-guru berpolitik lebih bersifat retorik dari praktik. Bagi mahasiswa jauh panggang dari api. Ia adalah harapan orang yang ketakutan yang sarat dengan curiga dan prasangka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment