August 8, 2010

Menunggu Surat Keizinan Dari Tuan Kadhi?

Jeram, Kuala Selangor, 25 Sya'ban = 06 Ogos (Jumaat):


Jam 11.00 pagi ini aku bertolak ke Jeram bersama Saudara Shahrum, bagi menggantikan Dato' Dr. Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu. Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang tidak dapat hadir ke Program Mendekati Rakyat yang dianjurkan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat di sana. Perjalanan melalui Bukit Jelutong itu agak licin dan tiada masalah jem, sebab itu kami sampai agak awal, jam 12.30 tengahari kami telah tiba di Masjid Jamek Al-Faizin di Jeram. Banner terpampang di masjid dan beberapa tempat lain dengan gambar Dato' Dr. Hassan Ali mengenai program seharian dan ke malamnya. Di dalam masjid hanya baru beberapa orang jamaah tiba untuk bersembahyang Jumaat, tetapi di tepi masjid tersebut lebih kurang 10 orang sedang memasak untuk jamuan tengahari bagi majlis hari ini. Khabarnya seekor lembu disembelih bagi jamuan.


Kami tiba, tidak ada sambutan dan kami tidak perlukan sambutan, mungkin kami tiba sedikit awal. Pihak pentadbir di sini telah dimaklumkan terlebih dahulu ketidakboleh datangnya Dato` Dr. Hasan Ali dan beliau meminta aku menggantinya. Aku juga buat hubungan dengan hand phone ke Pejabat Dato` Dr. Hassan dan beberapa kali ke sini sebelum datang. Tugasnya di sini ialah membaca khutbah, memimpin sembahyang dan tazkirah, diikuti penyampaian hadiah kepada pelajar cemerlang dan menyertai dialog dengan pemimpin setempat di Jeram.

Setelah hampir jam 1.00 aku didatangi Ketua Kampong, meminta maaf, kerana tidak menyambut kehadiran. Kataku, "Tidak perlu dan tidak mengapa."
Tetapi aku agak terkejut bila diberitahu, bahawa aku tidak boleh menyampaikan khutbah, kerana tidak mendapat surat keizinan dari Pejabat Kadhi (Pentadbir Pejabat Agama Daerah Kuala Selangor!).
Aku menjawab, "Tiada masalah! Saya jadi makmum biasa!" Ketua kampung berkenaan memberitahuku, "Masjid di sini ada masalah dari segi pentadbiran, ada campur tangan dari Umno ! Seorang khatib yang tidak disetujui boleh ditarik dan dihalang dari menyampaikan khutbah dan juga jadi Imam!"
Kataku,"Ada pentadbir lain dalam pentadbiran yang ditentukan Kerajaan Negeri," "Begitulah", jawab Ketua Kampung itu.
"Memang pada peringkat negeri pun ada campur tangan pihak Umno, mau wujudkan Kerajaan dalam Kerajaan dalam mentadbirkan surau dan masjid," tambahku. "Ada jawatan khabarnya akan diwujudkan bagi melawan pentadbiran yang dibuat kerajaan negeri – mahu wujudkan kerajaan dalam kerajaan!", "Patut Kerajaan beri perhatian dan wajar perkara ini dibawa ke Dewan Negeri, kerana pentadbiran dan peruntukan kewangan bagi masjid surau di bawah bajet kerajaan negeri."

"Tapi, berkenaan surat keizinan Kadhi saya akan usahakan," kata ketua kampong itu.
"Tak payahlah," kataku. "Tuan Kadhi ada datang ?", tanyaku. Pada masa itu ahli jamaah untuk berjamaah mulai ramai. "Tuan Kadhi memang nak datang jika Dato' Dr. Hassan Ali datang, tapi kerana Dato' Dr. Hassan Ali tak datang, maka dia tak datang."
Berikutnya beliau meminta maaf dan pergi berlalu.


Dalam hatiku, bertanya, "Kalau Dato' Dr. Hassan Ali datang, perlu surat keizinan kadhi jugakah untuk berkhutbah dan jadi imam?". Aku bukan nak sangat membaca khutbah dan menjadi imam, tetapi diminta menggantikan Dato' Dr. Hassan Ali." Sebenarnya aku juga mempunyai tauliah yang aku juga bawa bersama ke mana-mana.

Aku bukan setakat dilantik oleh Dato' Dr. Hassan Ali, tetapi mempunyai Surat Wathiqah Perlantikan menjadi Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu dari Y.A.B Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim yang ditandatangani secara rasmi oleh beliau. Apakah Tan Sri Dato' Seri Menteri Besar dan Dato' Dr. Hassan Ali tidak diiktiraf? Tetapi keadaan sedemikian – semacam tidak diiktiraf, berlaku sebenarnya pada peringkat-peringkat yang lain. Lebih kurang jam 1.00 aku didatangai oleh Ketua Kampong tadi membawa surat keizinan Tuan Kadhi dan ditunjuk kepada aku surat kebenaran dengan syarat-syarat. Surat ditandatangani oleh pegawainya. Aku beritahu berkali-kali, "Saya tak baca dan jadi makmum biasa tak apa," kataku.

Jam 1.10 Imam datang dan mencampakkan sampul surat mengandungi teks khutbah untukku baca, tapi aku suruh beliau saja baca. Namun akhirnya aku bersetuju membaca khutbah dan beliau menjadi imam.


Aku meneliti sepintas lalu, tajuk teks khutbah diberikan kepadaku, 'Islam Syumul'.
Aku katakana pada imam berkenaan, tajuk sesuai bagi minggu ini berkenaan persiapan menyambut Ramadhan yang beberapa hari lagi akan tiba. Dia nampaknya bersetuju dengan judul semasa itu." Sebenarnya aku membawa teks persediaan berhubung dengan tajuk itu yang juga dikeluarkan oleh JAIS. Aku tunjukkan dan beliau bersetuju. Dengan teks yang aku bawa itulah, aku sampaikan khutbah pada tengahari itu.


Selepas bertahlil dan aku sampaikan tazkirah ringkas serta menunggu agak lama barulah majlis penyampaian penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang kami lakukan di dalam masjid yang dihadiri antaranya Yg. Bhg. Dr. Othman Sabran Timbalan PJ, (datang lepas Jumaat), En. Rosyam Mohd Timbalan YDP, Ustaz Zul Hasnan Naib YDP, Tuan Haji Khairi Penyelaras Jeram, Ustaz Ahmad Alang Ahli Majlis, En. Ruzaini, Ketua-Ketua Kampong, Nazir, Ketua-Ketua Cawangan, Ibu bapa dan pelajar-pelajar yang diraikan. Seramai 46 pelajar disampaikan penghargaan (31 perempuan dan 15 lelaki). Selepas penyampaian, jamuan beramai-ramai bermula. Berikutnya kami bersama ke sebuah markaz jauh dari masjid berkenaan. Di sana diadakan pertemuan tertutup antara ketua-ketua cawangan, ketua-ketua kampong, Ahli-Ahli Majlis dan Muslimat. Dialog berlangsung dengan Ybhg. Dr. Osman Sabran, ADNS Bangi, Tuan Haji Khairi dan beberapa lagi. Jam 5.30 petang kami memohon diri untuk kembali dan berkejar ke Gombak ada Mesyuarat Perhubungan malam ini.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment