August 4, 2010

Dirimu Memang Berharga

Kajang, 20 Sya'ban = 01 Ogos (Ahad):


Ungkapan bermotivasi di atas ditujukan kepada semua belia/beliawanis bagi membangkitkan kesedaran dan potensi yang ada pada mereka. Belia adalah aset agama, bangsa dan Negara. Aset ini tidak terserlah jika ia tidak dipupuk dan dijaga. Ibarat intan yang tertanam dalam batuan atau mutiara terpendam di dalam lautan, tidak terhasil nilaian jika ianya tidak dikeluarkan dari dalam batuan atau perut lautan, dicanai dan digilat hingga memancar cahayanya yang gemerlap.

Pada umumnya setiap belia/beliawanis melalui proses pemupukan dari kecil hingga ke belia melalui didikan ibu bapa dan persekolahan yang dilalui, tetapi kemungkinan mereka melalui proses yang dianggap normal dan biasa dan berlalu begitu sahaja. Lantaran itu ada usaha dilakukan bagi membangkit kesedaran dan menggilat potensi. Ini dilakukan misalnya melalui kursus, retreat, tazkirah, motivasi dan sebagainya.

Pendekatan motivasi ini diambil oleh Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dengan kerjasama Pengetua sebuah sekolah di sini pada 31 Julai-01 Ogos 2010. Menurut Pengarah Program Puan Sakinah Binti Ahmad Akhri,

"Program yang diadakan bertujuan untuk membantu memupuk jati diri remaja ke arah kecemerlangan sakhsiah dan akademik, Program ini juga sebagai satu jambatan ukhuwwah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara PeBT dengan pelajar."

Program yang diadakan selama dua hari pada hujung minggu di dalam kampus pengajian ini melibatkan 50 pelajar perempuan sahaja antaranya sesi Kenali Diri, Seindah Mawar Berduri, Sayangi Diri dimantapkan dengan Solat Berjamaah, Al-Ma`thurat, Qiyamullail.dan kaunseling.

Bagi Majlis Penutup dihadiri oleh YB Dr. Shafie Abu Bakar Selaku Penasihat, Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj Zon 22, Pengetua, Guru-Guru dan Fasilitator. Dalam majlis ini pihak Pengetua mengucapkan terima kasih kepada pihak PeBT kerana memilih pelajar-pelajar di sini mengikuti motivasi. Beliau berharap dengan motivasi yang diikuti akan membuka kesedaran diri dan memperkukuhkan azam mereka memperbaiki diri dan berjaya di dalam peperiksaan yang bakal dihadapi dan kehidupan yang dilalui.

Penasihat Program Kerana Dirimu Begitu Berharga mengingatkan sememangnya "Dirimu Memang Berharga". Berharga bagi keluarga, agama, bangsa dan Negara. Kerana berharga, anak-anak dibelai dengan kasih sayang oleh keluarga, kerana berharga anak-anak dididik oleh keluarga dan institusi pendidikan, kerana berharga Negara menyediakan peluang pengajian, kerana berharga agama menyediakan manhaj kejayaan. Setiap anak-anak mempunyai potensi, bakat dan kemampuan. Usaha seharusnya dilakukan secara berterusan mengenal potensi diri, memperkembang bakat dan mempertingkatkan kemampuan. Sekiranya Pengenalan dipasti, ianya dapat dipertingkatkan kemajuan kepada tahap yang maksimum. Setiap anak ibarat sebiji benih yang seharus tersemai dibumi yang subur, dibaja dan disiram, dapat tumbuh dan berkembang hingga menghasilkan buah yang memberi faedah. Motivasi yang anak-anak lalui selama dua hari ini memanglah kecil dan sedikit, tetapi tidak mustahil dari motivasi ini tercetus kesedaran dan daya gerak anak-anak ke arah merealisasikan hasrat dan cita-cita ke arah kejayaan pada masa hadapan. Tidak mustahil dari cetusan kesedaran yang diberi menggerak anak-anak kelak menjadi seorang pensyarah, engineer, doctor perubatan, pemimpin masa depan, pendakwah dan perubah zaman. Selaku penasihat saya berharap anak-anak akan melangkah dengan azam baru menuju kejayaan dan kecemerlangan masa depan dunia-akhirat.


Majlis penutup diakhiri dengan penyampaian sijil dan penghargaan kepada peserta-peserta dan yang berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment