Petang ini berlaku pertembungan program Ramadhan antara ADNS Bangi dan Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Tuan Haji Zainal Abidin bin A`la. ADNS Bangi dalam rangka menyampaikan peruntukan Masjid dan Surau dan Tuan Haji Zainal Abidin dalam rangka ziarah Ramadhan bersama-sama Timbalan, Penolong-Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat dan beberapa kakitangan.
Ketibaan ADNS Bangi ke Masjid Al-Falah, Sungai Ramal jam 6.00 petang agak awal. Belum ada tetamu yang lain tiba. Sebab itu ADNS Bangi meninjau Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam yang terletak di tepi Masjid, kerana menerima aduan, bangunan tambahan yang lima tingkat masih belum siap. Dengan menemui Pengawal, ADNS bersama Saudara Azizi meninjau bangunan baru lima tingkat. Bangunan ini pada dasarnya hampir siap. Kita mendapat maklumat api belum dimasukkan secara rasmi, tetapi dimaklumkan oleh Pengawal, hari ini pihak TNB datang menjalankan kerja-kerja mengorek bagi menyalurkan kabel ke Sekolah. Soal bilik air masih belum berair, tidaklah begitu serius, kerana kemudahan ini terdapat pada bangunan-bangunan yang lain.
Walau bagaimanapun, Sekolah ini amat terhad kawasan dan kini penuh dengan bangunan secara rapat-rapat. Kawasan terasa sesak, kerana bangunan berdekatan. Kesesakan ini lebih terasa pada masa persekolahan yang melibatkan 1,200 orang murid. Tiada ruangan kosong, kecuali padang bola di dalam kawasan Sekolah. Kita percaya kemudahan api dan air akan disalurkan ke Sekolah dalam masa terdekat. Ini akan dapat menampung pertambahan murid-murid di sini. Soal kekurangan tempat sesungguhnya berlaku di semua Sekolah di DNS Bangi. Ini mencerminkan pertambahan penduduk dan mereka yang datang tinggal di sini terus berlaku sehingga pertambahan ruang Sekolah dan infrastruktur tidak dapat menampung kepesatan pertambahan murid-murid.
Jam 6.30 jemputan dari surau-surau berdekatan dengan Masjid Al-Falah mulai tiba dan ADNS Bangi bercakap-cakap dengan tetamu yang datang. Jam 7.00 ADNS Bangi dijemput ke dalam Masjid bersama-sama En. Mohd Yusof Bachik Ahli MPKj, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Encik Abdul Latif bin Haji Manan-Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam, En. Syukur-Ketua Kampung Teras Jernang, En. Mohd Yusof Abdul Kadir-Ketua Kampung. Sungai Ramal Luar-En. Yahya bin Junaidi, Nazir Masjid-En Muhammad bin Abdul Wahab Imam Masjid dan lain-lain. Dengan kehadiran tamu-tamu jemputan maka Majlis Ringkas Penyampaian Sumbangan dimulakan. Majlis dipengerusikan oleh En. Yahya dan ADNS bercakap ringkas tujuan kehadiran adalah kunjungan keempat dari 8 siri kunjugan ke Masjid-Surau bagi menyampaikan agihan peruntukan bulan Ramadhan dari ADNS. Ketika Majlis sedang berjalan Tuan Pegawai Daerah tiba dengan Timbalan dan Penolong-Penolong. ADNS Bangi menjemput sama beliau menyampaikan peruntukan. Beliau juga berucap mengenai cukai tanah, akta-akta yang berhubung dengannya dan permohonan-permohonan yang berkaitan serta wabak denggi. Beliau juga menyampaikan bantuan kepada masjid.
Pada dasarnya, walaupun kehadiran ADNS Bangi dan Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat pada lahirnya untuk berbuka dan menunaikan sembahyang dan bertarawih, pada hakikatnya baik ADNS Bangi dan Pegawai Daerah dengan pengiring-pengiring masing-masing, ialah secara tidak langsung kerana mahu melihat perjalanan pentadbiran setempat. Misalnya adakah Ahli MPKj yang baru dilantik/dilantik semula berjaya menjalankan fungsi masing-masing di tempat masing-masing dilantik, begitu juga dengan Ketua-Ketua Kampung yang juga baru dilantik/disambung bagi penggal kedua. Begitu juga bagi meninjau perjalanan Masjid-Surau yang Pentadbir-Pentadbir & AJK baru dilantik. Sebab itu bila ADNS Bangi dan juga Pegawai Daerah turun mereka ini diminta turun hadir bersama. Tuan Pegawai Daerah, Timbalan dan Penolong-Penolong sebagai pelaksana polisi kerajaan juga meninjau apakah masyarakat setempat yang dilawati mempunyai hubungan baik, khususnya antara Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampung, Nazir-Imam & AJK Masjid-Surau dengan masyarakat.
Sementara itu Tuan Pegawai Daerah sebagaimana disebutkan di atas menerangkan mengenai polisi dan peraturan-peraturan lama dan baru dari kerajaan dan masalah-masalah yang dihadapi pentadbiran. Sebagai timbal balas kehadiran ADNS Bangi dan pengiring-pengiring, Tuan Pegawai Daerah dan Timbalan dan Penolong-penolong memberi peluang bagi masyarakat berkenalan dan bertanya permasalahan yang dihadapi. Semua masalah yang dihadapi dapat dituju kepada berbagai pihak yang hadir. Perkara-perkara yang disebutkan berlaku di dalam pertemuan. Selain daripada itu pertemuan memesrakan masyarakat dengan pemimpin dan pentadbir. Sesungguhnya pertemuan dan kemesraan tidak berlaku di dalam pertemuan formal seperti di pejabat umpamanya.
Sesungguhnya petang ini ADNS Bangi dan pengiring-Pengiring dan Tuan Pegawai Daerah dengan Timbalan, Penolong-Penolong dan kakitangan yang ikut serta berbuka bersama, berjamaah Maghrib dan meneruskan percakapan selepas makan yang secara tak langsung berlaku penerangan dan pertanyaan. Seterusnya menunaikan Isyak dan solat tarawih sebanyak 20 rakaat.
Sesungguhnya dengan interaksi kunjungan ini persefahaman dan jalinan mesra berlaku antara Pemimpin/Pentadbir dan Kakitangan dengan masyarakat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment