August 1, 2010

Kecoh: Dialog Antara Exco & Pihak Berkuasa Sekolah Tamil

Dewan Annex, DNS, Shah Alam, 19 Sya'ban = 31 Julai (Sabtu):

DNS Bangi sebagai satu kawasan yang mempunyai Sekolah Tamil (dua buah – West Country, Jalan Reko dan Pekan Bangi), maka aku memang dijemput ke Majlis Perbincangan Sekolah Tamil yang dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan Dr. Halimah dan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kemiskinan Dr. Xavier. Dialog antara Guru-guru Besar, PIBG Sekolah Tamil dan NGO bertempat di Annex DNS. ADNS dan Ahli Parlimen dijemput bagi menjaga kepentingan Sekolah-sekolah Tamil di kawasan masing-masing. Aku berusaha hadir kerana berdasarkan pengalaman peruntukan Sekolah Cina yang lepas, jika kita tidak hadir, maka peruntukan mungkin tidak diberi atau dikurangkan. Jika tidak diberi boleh didesak agar diberi (seperti berlaku pada Sekolah Cina Pekan Bangi - mujur aku hadir) dan jika kurang kita boleh desak supaya ditambah dan sebagainya. Dengan jangkaan sedemikian aku ke Annex bagi mempertahan dan menuntut supaya Sekolah Tamil Jalan Reko (West Country) dan Sekolah Tamil Pekan Bangi dapat didesak agar diberi peruntukan wajar. Aku juga menjangkakan peruntukan tahun lepas diberi terus kepada sekolah-sekolah Tamil sebagaimana Sekolah-sekolah Cina dan Agama Islam.

Tiba, aku mendapatkan dokumen setelah mendaftar dan masuk ke dalam Dewan dan Majlis dialog baru bermula. Selepas kata alu-aluan sebuah syarikat dikenali dengan EWRF (Menitikberatkan Pendidikan pelajar & KaumTamil) memberi penerangan mengenai peruntukan yang diberi kepadanya tentang kebajikan Sekolah-sekolah Tamil. Aku baru faham, rupanya selama ini peruntukan RM4 juta tidak diberikan secara terus kepada sekolah-sekolah Tamil, tapi disalurkan melalui Syarikat EWRF. Syarikat ini telah diserahkan RM1.7 juta daripada RM4 juta bagi Sekolah Tamil yang berjumlah 97 buah di Selangor. RM97,000 digunakan untuk penerbitan dan duit dari kerajaan Negeri digunakan bagi kepentingan NGO yang melebar sayapnya ke seluruh Negara, sedangkan sekolah-sekolah Tamil di Selangor, umumnya tidak mendapat apa-apa, kecuali Sekolah-sekolah pilihan tertentu. Berdasarkan wang RM4 juta jika dibahagi dengan 97 buah, maka sekurang-kurangnya satu Sekolah mendapat RM16,000. Tetapi dinafikan oleh Sekolah-sekolah Tamil dari menerimanya.



Pada mula penerangan oleh syarikat berjalan lancar, tapi bila peluang bertanya dibuka kepada Pengerusi-pengerusi PIBG, Guru Besar dan NGO , maka dialog semakin hangat. Majoriti menuduh EWRF mementingkan Sekolah-sekolah kroni, sedang yang lain tak dapat. Mereka yang mau bercakap ramai, tetapi lebih kurang 5 orang diberi peluang peringkat awal bercakap dan mereka marah-marah. Mereka menuduh EWRF mementingkan diri dan kroni, ini membangkitkan ketegangan. Dalam hengar bengar para hadirin menyerbu ke hadapan dan mendesak agar peruntukan kewangan terus diberi kepada PIBG Sekolah. Manakala satu puak kecil mempertahankan EWRF yang dianggap kroni. Hadirin mau kepastian supaya peruntukan diberi terus kepada PIBG Sekolah Tamil. Kekacauan mula berlaku bila kedua pihak bertentangan. Berlaku pertikaian lidah dalam kata-kata berbahasa Tamil secara kasar dan kesat hingga berlaku tolak menolak dan akhirnya bertumbuk dan terjadi kejar-mengejar keliling dewan dan ada yang mengangkat kerusi (kerusi tambahan) dan batang microphone untuk memukul lawan. Bila keadaan tidak terkawal dan membahayakan, Pengerusi Dr. Halimah memaklumkan mesyuarat dibubarkan. Tetapi mereka tak hirau sebahagian dari mereka bertumbuk dan sebahagian keluar dari Dewan.



Apabila keadaan reda dan separuh daripada lebih kurang 300 masih dalam Dewan, maka dialog dimulakan semula dengan Dr, Xavier sudah tak ada. Lebih kurang 20 orang dibenarkan bersoal jawab dan mengeluarkan pendapat. Aku juga turut bercakap memohon supaya peruntukan terus disalurkan kepada Sekolah Tamil, sebagaimana dilakukan terhadap Sekolah Cina dan Sekolah agama yang ternyata tidak menimbulkan kekecohan. Daripada keseluruhan yang bercakap dapat dibuat rumusan bahawa hampir semua Guru Besar, PIBG, NGO mendesak supaya wang diperuntukkan kepada Sekolah Tamil hendaklah diserah kepada PIBG Sekolah Tamil. Wang tidak perlu diserahkan kepada EWRF. Mereka mau supaya Exco Pendidikan di bawah Dr Halimah menjalankan tugas ini dan menubuhkan satu Jawatankuasa Pemantau mamastikan kewangan diperuntukkan bagi sekolah-sekolah Tamil digunakan dengan betul, bukan di bawah Dr. Xavier yang sepatutnya lebih bertumpu kepada fortfolionya, iaitu Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kemiskinan. Dialog tamat jam 5.00 petang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment