July 31, 2010

Bukit Kajang Baru: Masyarakat Bersatu Turun Bergotong Royong

Kajang, 13 Sya'ban = 25 Julai (Ahad):


Penduduk di sini dikejutkan dengan kes-kes denggi yang berlaku di Bukit Kajang Baru. Ini menggerakkan penduduk di sini bersatu untuk mengadakan gotong royong bagi membasmi denggi di sini. Ketua Persatuan Penduduk di sini diketuai oleh En. Vivek bekerjasama dengan Saudara Abu Bakar dan AJK dari Pejabat ADNS bagi mengadakan gotong royong berkenaan. Pihak AJK ADNS dan Persatuan Penduduk mendapat kerjasama yang baik dengan pihak Jabatan Kesihatan Hulu Langat, MPKj, Rukun Tetangga setempat dan penduduk.


Di atas kesepakatan yang diambil, maka pada pagi ini dilancarkan gotong royong oleh pihak ADNS Bangi. Hadir sama ke Majlis ialah Dr. Veronica Pegawai dari Jabatan Kesihatan, Encik Faisal dari MPKj, En. Vijayan Pengerusi Rukun Tetangga dan Ahli-ahli MPKj iaitu Sdr. Adram Musa Ahli MPKj bagi kawasan 22 yang merangkumi tempat diadakan gotong royong, Ustaz Shafie Ngah yang menjaga kawasan di sini sebelumnya dan saudara Chandra Mohan Ahli MPKj Zon 14.


ADNS Bangi di dalam ucapan pelancaran mengucapkan terima kasih terutama dari Jabatan Kesihatan, MPKj, Persatuan Penduduk dan Rukun Tetangga yang memberi kerjasama yang baik bagi mengadakan gotong royong. Beliau berpendapat kesedaran masyarakat tentang bahaya denggi makin tinggi. Demam denggi bukan demam biasa, tetapi ianya boleh membawa padah dan kemungkinan maut. Masyarakat menyedari seriusnya penyakit ini dari apa yang dialami jiran, keluarga dan mungkin diri sendiri. Bahkan ada yang mengalami tragedi sedih dengan kehilangan mereka yang dikasihi. Dengan kesedaran dan pengalaman membawa masyarakat beramai-ramai menyertai gotong royong yang diadakan. En Veved di dalam ucapan alu-aluan menekankan akan perlunya dijaga kawasan dari sampah, kotoran dan longkang. Kerja hari ini lebih kepada mencari tempat-tempat dan bekas-bekas yang boleh membiakkan nyamuk untuk kita angkat dan bersih.



Sementara itu ADNS Bangi dan Saudara Adhram dibawa oleh Mr. Yong ke bahagian belakang bahagian taman yang bersempadan dengan bukit. Satu masa dulu bukit ini sering mengalami keruntuhan. Tapi tempat ini tidak diberi perhatian dari semak samun yang menjadi tempat membiaknya nyamuk dan binatang-binatang buas seperti ular dan sebagainya. Saudara Adram, yang kawasan ini merupakan kawasan zonnya berjanji akan mengambil perhatian.


Gotong royong hari itu berlaku dari lorong ke lorong dan lori-lori mengangkut longgokan sampah dan bahan-bahan yang mungkin menjadi punca denggi- Gotong royong yang bermula dari pagi itu berterusan ke tengaharinya.


Terima kasih kepada semua.

No comments:

Post a Comment