Sebagai sebuah Bandar yang berkembang pesat dengan pembangunan dan pertambahan penduduk 35,000 orang dari 20 taman, Bandar Seri Putera (BSP) sudah sewajarnya mempunyai sebuah masjid bagi menampung keperluan terutama Jumaat di Bandar ini. Tapak sebenarnya telah disediakan oleh pemaju. Cuma usaha terutama bagi mendapat dana perlu dilakukan. Setakat ini penduduk menunaikan fardhu Jumaat dengan menumpang di Masjid KUIS. Oleh kerana kekurangan tempat baru-baru ini sebuah dari surau di Bandar di sini dibenarkan mendirikan Jumaat sementara masjid sebenarnya dapat disiapkan.
Kesedaran ke arah perlunya didirikan masjid ini telah dibangkitkan oleh ADNS sejak dari awal lagi, dan pertemuan pertama dilakukan pada 8 Julai 2008 dan AJK telah ditubuhkan. Kini AJK dipengerusikan oleh Tuan Dr Hj. Abdul Rahman bin Hassan dengan Timbalannya En. Alminizam bin Ali dengan Bendahari En. Ahmad Nizam dan Timbalan En. Burhanuddin bin Mahwal dengan sejumlah AJK. Tuan Haji Ahmad Yusof dan Hj Mohd Anwar Khan sebagai Penasihat.
Setakat ini pihak AJK telah menjalankan usaha ke arah merealisasikan agar masjid Bandar Seri Putera yang diberi nama `Masjid Al-Mustaqim` itu menjadi kenyataan. Pada kali ini ialah dengan mengadakan Pelancaran Derma Masjid. Pelancaran ini sepatutnya dilakukan oleh YB Dato` Dr. Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, tetapi beliau tidak dapat hadir dan tugas ini diwakilkan kepada ADNS Bangi.
Sempena dengan pelancaran ini di adakan forum yang bertajuk ``Membina Rumah Allah`` Panel bagi forum ini ialah Ybhg. Ustaz Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah dari KUIS dan Ybhg. Dr. Hajjah Asiah bt. Ali dari UITM dengan moderatornya ialah Ybhg. Dr. Azhar Yaakobdari UTM. Forum ini berlangsung jam 9.30 malam, iaitu selepas pelancaran Dana Masjid Al-Mustaqim.
Tidak siapa menafikan tentang besarnya pahala membina masjid dan ini ditekankan oleh semua panel. Ayat Quran menyebut bermaksud:
``Sesungguhnya Masjid (Quba` yang Engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya (al-Taubah: 108).
Manakala Hadith Rasulullah s.a.w. Daripada Uthman bin Affan r.a. berkata: Aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda:
Sesiapa yang mebina masjid ikhlas kerana Allah, Allah akan membina untuknya rumah seperti itu di dalam syurga.``
Ustaz Mohd Farid Ravi membuat kiraan, jika seorang keluarga di Bandar Seri Putra menderma sebanyak RM1,000, maka Masjid Seri Putra dapat dibangunkan. Sebab itu sebagai penghuni tetap yang mempunyai rumah di Seri Putera, maka pada malam itu juga beliau mengeluarkan cek sejumlah RM1.000 sebagai saham akhirat darinya dan mengharap agar yang lain dapat mengikuti jejaknya.
Dr. Hjh.Asiah maukan semua mengimarahkan masjid dan masjid seharusnya sebagai one stop centre bagi orang-orang Islam. Demikian harapan Dr. Azhar yang maukan fungsi masjid bersifat menyeluruh sebagai pusat ibadat, pendidikan, kemansyarakatan dan pentadbiran.
Kita berharap semua pihak, khususnya penduduk Bandar Seri Putera memberi sokongan bagi menjadikan masjid Bandar Seri Putera menjadi kenyataan.
Sekian.
Alhamdulillah, syukur ke hadhirat ilahi atas kelancaran Program Gotong-royong dan majlis Forum Perdana tempohari.
ReplyDeletePihak penganjur merakamkan jutaan terima kasih dan mengucapkan "JazakAllahu Khairan Kathiiran" kepada YB Dr. Shafie Abu Bakar di atas kesudian YB merasmikan Pelancaran Tabung Dana Masjid Al-Mustaqim dan bersama-sama hadir bagi menjayakan program tersebut.
Buat pengetahuan YB, sumbangan derma daripada hadhirin pada malam program itu sahaja mencecah lebih RM4,000.
Diharapkan warga Bandar Seri Putra semua akan terus memberikan sokongan kepada program-program seumpama ini di masa yang akan datang.
Wassalam.
(b/p JK Pembinaan Masjid Al-Mustaqim dan JK Penaja BSP Induk)
Sebulan RM50.00 sebanyak 20 kali, INSYAALLAH