July 23, 2010

Melangkah Ke Jubli Perak Usia IPU: Ke Mana Hala Tuju ?

Sungai Ramal Dalam, 05 Sya'ban = 17 Julai (Sabtu):


Malam ini ADNS Bangi dijemput oleh AJK ke Majlis Makan – Selaku Perasmi. Jamuan diadakan menjelang 25 tahun IPU yang ditubuhkan pada tahun 1985. Hadir pada malam ini ialah Ustazah Wan Hasrina bt. Wan Hassan Ketua Muslimat Pas Negeri Selangor selaku alumni, saudara Asrul – Timbalan yang mewakil Presiden (Saudara Fadzli bin Abdul Rahman) yang tidak dapat hadir, Ustaz Kamal Daud Mas'ul Kampus, ex-Officio saudara Nazri Tahir (IPU) Amir, Saudara Hamdan Arifin Wakil Perkaderan, saudara Fakhrul Razi bin Mohd Zabidi Timbalan Mas'ul Kampus, saudara M. Zaid bin Sabran, Pengarah Program ahli-ahli jawatankuasa dan seluruh alumni. Objektif jamuan bagi mengeratkan silaturrahim sesama alumni, meraikan ahli-ahli yang berjaya di dalam bidang akademik dan yang bergraduan, menghimpun dana bagi berbagai kegiatan dan memberi pendedahan tentang isu-isu semasa. Selain dari jamuan adalah ucapan-ucapan, cabutan no bertuah, persembahan-persembahan, penyampaian anugerah-anugerah. Hadirin ke Darul Hikmah tempat diadakan jamuan lebih kurang 200 orang.


Apabila ADNS Bangi diminta berucap untuk perasmian, sebenarnya ADNS tidak banyak perkara yang dapat disentuh, jika sekadar rasmi jamuan dan mendengar satu dua nasyid. Mungkin Majlis Jamuan bertujuan bersantai, tetapi adalah rugi, kerana sesetengah yang datang dari jauh. Adalah tidak sepadan dengan masa dan kewangan jika sekadar makan.


ADNS Bangi berpendapat, usia 25 tahun adalah usia kematangan dan usia menilai pencapaian dan merangka plan dan rangka kerja yang mau dilaksana dan dicapai pada masa akan datang. Pertemuan ini seharusnya sesuatu yang bersungguh dan serius, ianya adalah muhasabah dan mujahadah. Dengan muhasabah apakah objektif IPU ditubuhkan dan apakah visi dan misinya dapat dicapai. Kita mengakui misi IPU mewarnai kampus terutama di kalangan mahasiswa dengan nilai-nilai keislaman dapat dikatakan berjaya, walaupun dibawah pengawasan dan tekanan. Masyarakat, terutama di kampus mengakui IPU satu-satunya persatuan yang konsisten dengan perjuangan keislaman. Kesannya menjalar ke politik kampus. Ianya adalah digeruni dan ditakuti. Betapapun ditekan ianya dapat memunculkan kemenangan pejuang-pejuang yang mendukungi, walaupun masih terhad dan belum menguasai majoriti. Inilah kelompangan dan jurang yang harus dipenuhi, ditimbus bagi menjadikan jalan merentasi dan menguasai.


Dari satu segi dapat dilihat IPU bukan setakat tempat transit sebelum graduan mendapat pekerjaan atau pasangan ?, tetapi misinya mengukuhkan perjuangan keluar dapat dirasa dan ketara. Mereka adalah menjadi pelapis muda yang akan menggantikan pejuang-pejuang yang mau menegakkan Islam. Walau bagaimana banyak ruang dapat ditingkat dan ditambah. Kita menunggu dengan penuh harapan agar koperasi Alumni subur berkembang dan hasrat mau membeli pejabat di Bangi dapat direalisasikan. Dengan wujudnya pejabat banyak perkara dilakukan. Misalnya menjadi pusat bagi projek dan kegiatan alumni, oleh kerana jumlah alumni telah ramai, wajar dikeluarkan directory alumni seramai mana dapat dikumpulkan, bukan saja boleh menjadi panduan kepada ahli, tetapi menjadi rujukan yang masing-masing boleh membantu antara satu sama lain di dalam berbagai gerak kerja dan kepentingan. Bahkan kita melihat perlu diwujudkan cawangan dan pejabat-pejabat bagi cawangan-cawangan seperti di utara, selatan, Timur dan Sabah bersama Sarawak.


Sebenarnya melalui jaringan IPU diseluruh Negara, IPU dapat menandingi alumni yang lain dengan memprojekkan imej yang baik. Misalnya mengadakan kegiatan keilmuan seperti Seminar, diskusi, ceramah yang melibatkan berbagai-bagai isu dan topik, melibatkan diri dengan bidang ekonomi secara konsortium dan bekerjasama antara alumni, melakukan khidmat masyarakat dan melakukan berbagai-bagai amal kebajikan, menyebarkan risalah yang seharusnya dikeluarkan oleh alumni secara berkala tentang kegiatan alumni. Alumni seharusnya memperkembangkan pengaruhnya di tengah masyarakat. Biarlah orang mengenali alumni berasosiasi dengan UKM, lebih diketahui dari kegiatan NGO dan lain-lain yang berkait dengan UKM.

Satu perkara yang mau dibangkitkan, bahawa ada semacam kekeliruan tanggapan dan kecelaruan imej bila disebut IPU juga Jasa, Alumni. Graduan UKM, persatuan dan sebagainya. Kita berpendapat IPU hendaklah menggunakan nama yang tetap agar tidak terkeliru dari segi rujukan dan tidak kecamuk dari segi pengenalan. Alumni hendaklah memperkukuhkan diri dan melebarkan imej dan misi dari dalam kampus ke luar kampus terbuka – Negara. Amat banyak ruang dan peluang untuk diteroka dan dilaksana.

Sekian.

No comments:

Post a Comment