Seramai 70 orang belia menyertai perkhemahan di atas. Antara mereka datang dari KUIS, UKM, KPTM dan Belia Bangi. Seawal jam 7.00 pagi. Belia-belia berkenaan tiba dan berhimpun di hadapan Pejabat Khidmat Masyarakat DNS Bangi. Aktiviti Perkhemahan Belia 2010 adalah Program Belia Bangi di bawah anjuran Jabatan Amal Serdang. Program ini di bawah Pengarahnya Saudara Uwaisilqarni Bin Ahmad dengan Timbalannya Saudara Fakhrul Rashid dan Setiausahanya Saudara Azman Shafie dan Bendahari Saudara Sazali. Sepatutnya perkhemahan ini diketuai saudara Anuar sebagai Ketua Unit Amal Serdang. Tapi dalam percakapannya dengan ADNS Bangi, menurutnya, "Sengaja kita pilih orang muda (Uwais dan beberapa AJK) mengetuai perkhemahan untuk melatih mereka dari segi kepimpinan dan pengurusan.`` Saudara Anuar dan beberapa kepimpinan yang lebih dewasa sebenarnya turut serta, termasuk Ustaz Salah Abdullah dan lain-lain.
Menurut Saudara Uwais, program perkhemahan di Hulu Perdik, Hulu Langat ini bertujuan mencorakkan belia dengan aktiviti yang bermanfaat di dalam membina jati diri belia – membentuk pemuda yang tahan dari segi fizikal dan kukuh dari segi mental dan kerohanian. Sebelum rombongan bertolak, mereka berhimpun dan mendengar amanat dari YDP & ADNS Bangi. Beliau mengucap tahniah kepada Jabatan Amal Serdang yang sekali lagi dapat menganjurkan Perkhemahan Belia yang kali ini bertempat di Hulu Perdek. Beliau mau belia-belia dapat mengikuti dan mematuhi program yang diaturkan agar objektif perkhemahan dapat dicapai melalui kerja berjamaah. Sifat berjamaah ini saudara-saudara dapat alami sejak dari berhimpun di pekarangan Pusat khidmat Masyarakat di sini hinggalah persediaan tapak khemah, bersalat, makan minum, mengikuti tazkirah, jungle traking dan berbagai aktiviti. Sifat berjamaah ini menjadi lebih perlu di dalam perjuangan dan menuntut persediaan dari segi Ilmu dan kekuatan dari segi mental dan rohani. Sebuah pemerintahan tidak dapat ditegakkan tanpa jamaah dan kepimpinan. Kepimpinan mesti mendapat sokongan dan dipatuhi oleh yang kena pimpin. Kaedah bermesyuarat dan maufakat menjadi panduan dan kekuatan serta berterusannya pemerintahan. Kita mengharapkan latihan yang dilalui akan dapat diterjemahkan ke dalam perjuangan pada masa hadapan. Saudara-saudara adalah menjadi pelapis yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan yang akan datang. ADNS Bangi mengucap terima kasih kepada semua yang terlibat. Kepada Saudara Anwar Ketua Unit Amal dan semua Jawatankuasa yang menjayakan program, khususnya kepada Ustaz Idris Bin Yusof, Ustaz Hasbullah Bin Osman dan Mejar (B) Adnan Bin Awang Long yang bertindak sebagai pembimbing-pembimbing. Tarbiah dan pendidikan bukan saja di masjid, surau atau bilik kuliah semata-mata, tetapi juga pada ruang alam terbuka di mana disamping telinga mendengar tarbiah dan pengajaran disampaikan, mata melihat kebesaran Allah dari keindahan alam ciptaanNya, bahkan diri menyentuh merasa kehijauan pandangan, kelembutan bayu dan kesejukan air yang memesrakan diri kita dengan alam yang menjadikan kita cinta kepada Allah Pencipta segala-gala. Kita berharap semoga program dapat dijalankan dengan baik dan berkesan. ADNS Bangi melepaskan konvoi selepas mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bagi semua.
Perkhemahan Belia 2010 yang bertolak pada pagi ini secara konvoi bermotokar akan menjalani aktiviti di Hulu Perdek, Hulu Langat selama dua hari satu malam. Mereka dijangka pulang pada esok petang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment