July 29, 2010

Pasti Taman Kajang Utama dan Taman Jasmin Adakan Sukan Bersama

Kajang Utama, 13 Sya'ban = 25 Julai (Ahad):


Kedua-dua Pasti dari kedua-dua taman, iaitu Pasti As-Syakirin, Kajang Utama dan Pasti Taman Jasmin memang sering bekerjasama, sekurang-kurangnya mengadakan Sukan Tahunan. Tahun lepas Sukan Pasti 2009 diadakan di Padang di Taman Jasmin dan tahun ini Sukan Pasti diteruskan kerjasama dengan mengadakan Sukan Pasti 2010 secara gabungan yang diadakan di Padang Awam, Apartment Seraya, Jalan Seksyen 3/1A, Taman Kajang Utama. Pasti Kajang Utama mempunyai 94 orang murid dan Pasti Jasmin mempunyai 50 orang murid.


Sejak jam 7.00 pagi murid-murid berhimpun diiringi guru-guru dan AJK Sukan. Perasmi Sukan Gabungan ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar ADNS Bangi. Turut hadir ialah Saudara Adram Musa Ahli MPKj Zon 22 yang baru dilantik, Tuan Haji Azhar bin Arshad Pengerusi Sukan, Saudara Khairul Anuar Ismail Pengarah, Saudara Abdul Aziz Che Min Pengerusi Surau Jasmin, Tuan Haji Abdul Razak Abdullatif Pengerusi Pasti As-Syakirin, Kajang Utama. Sebelum upacara Perasmian dilakukan murid-murid kedua-dua Pasti bergerak berarak dalam barisan berlintas langsung di hadapan tamu-tamu kehormat dan ibu bapa.


ADNS Bangi di dalam ucapannya mengucapkan tahniah kerana sekali lagi kerjasama diadakan antara Pasti A-Syakirin Kajang Utama dengan Pasti Taman Jasmin dan kali ini Sukan Pasti 2010 diadakan di Kajang Utama. Dengan penggabungan ini sudah pasti dapat menjimatkan tenaga dan perbelanjaan dan mutu pertandingan sukan tentulah lebih tinggi, kerana pertandingan bukan melawan sesama sendiri, tetapi dengan Pasti yang lain. Melalui sukan ini sudah pastilah setiap Pasti dan pasukan mempunyai azam yang tinggi bagi mencapai kejayaan. Dengan ini dapat memupuk semangat pertandingan yang sihat dan berlumba-lumba mencapai kemenangan. Kecemerlangan di dalam sukan juga adalah pencapaian yang baik dan diiktiraf di dalam bidang ko-korikulum.


ADNS Bangi menyatakan, ``Saya mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang mewakili Negeri Selangor dan menjadi Johan Bola Sepak pada peringkat Nasional di Pulau Pinang pada 17 Julai baru-baru ini. Sebahagian dari pemain adalah dari Pasti Kajang Utama di samping Pasti Ar-Raudah Seksyen 5 BBB. Tahniah juga kepada Pasti dari Impian Ehsan yang memenangi tempat ketiga pertandingan Bola Jaring.. Kita harap dengan kombinasi mengadakan Sukan Pasti 2010 dan penggabungan pemain-pemaian akan lebih lagi menjayakan di dalam bidang sukan. Kita juga berharap Pasti dari Kawasan Serdang akan lebih bersungguh-sungguh dan banyak lagi mencapai kejayaan di dalam bidang-bidang sukan yang lain baik pada peringkat negeri, maupun pada peringkat nasional. Semangat untuk mencapai kejayaan sedemikian hendaklah digerakkan kepada pasti-pasti yang lain di Serdang yang berjumlah 21 buah itu.


Saudara Adram yang turut dijemput berucap menyebut bahawa baik secara langsung atau tidak secara langsung pendidikan pra-sekolah Pasti memberi sumbangan kepada tahap pendidikan ini antara 15 – 20 %. Kini Pasti mendidik murid-murid dalam lingkungan 60,000 murid. Kita berperanan besar dalam mendidik anak-anak dari segi akhlak , nilai dan pendidikan keislaman. Mereka juga dididik di dalam pelajaran akademik dan mencapai kemajuan yang baik. Pada kebiasaan anak-anak dari Pasti apabila masuk Sekolah rendah, mereka berada di kalangan sepuluh ke hadapan di dalam kelas. Kualiti yang ada pada Pasti, menarik ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar di Pasti.

Pengarah Pasti Sdr. Khairul sebelum daripada itu memaklumkan di Pasti As-Syakirin Kajang Utama terdapat seorang murid India yang dihantar ibu bapanya belajar di Pasti itu, selain daripada itu terdapat juga 2 pelajar Arab yang keluarga mereka tinggal di Kajang Utama.


Jenis sukan dipertandingkan dari pagi ke jam 1.00 tengahari antaranya ialah larian, lelaki dan perempuan, lari berganti-ganti juga lelaki dan perempuan, lari dalam guni lelaki dan perempuan, boling padang, susun tin, jalan tempurung, lelaki dan perempuan,, bawa bola dengan sudu, perempuan dan tarik bola dengan gelung, perempuan , jalan ikat kaki, lelaki, isi bijirin dalam botol, perempuan, mengecam gambar, lelaki dan tiup belon, perempuan. Manakala untuk ibu bapa ialah sepak raga bulatan, lelaki, baling belon, ibu bapa, kepit bola pengpong, ibubapa, tiup belon, ibu, tarik tali, bapa dan boling padang/sepak, guru.

ADNS Bangi tidak berkesempatan menyaksikan semua pertandingan kerana mempunyai program-program di tempat-tempat lain, tetapi berkesempatan memilih no.-no. cabutan bertuah dan menyampaikan hadiah-hadiah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment