July 10, 2010

Memperkukuhkan Sistem Pendidikan Islam Di Selangor Ke Taraf Global

JAIS, 17 Rajab = 30 Jun (Rabu):

Sebahagian besar dari agenda Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam (STANCO) Negeri Selangor pada 30 Jun 2010 adalah berhubung dengan Sistem pendidikan Islam (SPI) Negeri Selangor. Antara kertas-kertas yang dibentangkan ialah:

1. Tumpuan


a) Kertas cadangan penyelidikan: Keberkesanan Kelas al-Qur`an dan Fardu Ain di Negeri Selangor
b) Kertas cadangan penyelidikan: Kesinambungan pendidikan Islam di Negeri Selangor
c) Kertas makluman mengenai pelaksanaan projek pemuliharaan dan pembaikan masjid, surau dan Sekolah agama

Ahli-ahli diminta memberi pandangan dan cadangan bagi memperbaiki pendidikan keislaman di Selangor dan kalau boleh menjadikan pendidikan Islam di Selangor terbaik yang mungkin.

2. Kedudukan

a) SPI di Negeri Selangor pada dasarnya jauh mendepani SPI di negeri-negeri lain
b) Selangor mempunyai SPI dari peringkat paling rendah ke atas iaitu:

Jenis dan Bilangan yang ada
  1. Pra Sekolah, 12
  2. Kelas Fardu Ain (KAFA), 291
  3. Sekolah Rendah Agama (SRA), 203
  4. Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), 11
  5. Sekolah Agama Menengah, 23
  6. Sekolah Tahfiz, 2

Pendidikan di atas melibatkan 16, 300 guru dan murid berjumlah 321,000 murid dengan jumlah peruntukan bagi SPI KAFA sahaja RM70 juta ringgit dan Sekolah Agama Menengah RM40 juta ringgit setahun. Ini bererti perbelanjaan dalam lingkungan RM150 juta setahun bagi semua pendidikan di atas.

Ini tidak termasuk SPI swasta:

Tahfiz berdaftar melebihi 70 buah
Sekolah Rendah Islam 102
Sekolah Menengah Islam 19
Tadika Islam 112

Di Selangor juga terdapat SPI peringkat tinggi, iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) di Seri Putera Bangi di samping UNISEL.

Di Selangor juga terdapat SPI masjid-surau di seluruh negeri yang makin rancak dari segi perkembangan dan makin mendapat sambutan.
Pendeknya Selangor mempunyai SPI paling lengkap dari peringkat rendah membawa kepada peringkat tertinggi. SPI menyediakan pendidikan yang dapat melepaskan tuntutan fardu ain, menyediakan SPI persekolahan dan akademik yang melayakkan pelajarnya menyambung pengajian kepada peringkat tertinggi di dalam dan luar Negara.

3. Persoalan

a) Apakah SPI di Selangor lengkap dari segi kurikulum bagi semua peringkat ?
b) Adakah tempat belajar (bangunan dan peralatan) lengkap dan mencukupi ?
c) Adakah guru-guru mendapat latihan dan berkelayakan ?
d) Adakah gaji guru bersesuaian dengan kelulusan dan tugas dilaksanakan ?
e) Dengan murid dan pelajar 350,000 orang belajar di SPI di Selangor dapatkah memenuhi keperluan pembelajaran SPI di Selangor yang jumlah sepatutnya melebihi 3 juta orang ?
f) Adakah peruntukan bagi semua SPI di Selangor mencukupi ?
g) Adakah komitmen dari semua pihak yang berhubung dengan SPI mau benar-benar melihat Selangor menjadi sebagai Pusat Kecemerlangan bagi SPI ?

Di atas adalah sebahagian dari soalan yang dapat ditimbulkan. Tentu banyak lagi soalan yang dapat dikemukakan.

Jawapan bagi semua soalan di atas adalah TIDAK !

Ertinya banyak ruang yang perlu dibaiki, tindakan yang perlu diambil dan tentunya memerlukan banyak tenaga dan peruntukan.

4. Pembaikan

  1. SPI Selangor mempunyai terlampau banyak jenis pendidikan – contoh Pra Jais, Takis, Kafa, Kafai, Sri, Srii, Sra, Srai, Sam, Sma, Mit, Tahfiz dan Masjid-Surau. Kurangkan kepelbagaian jenis dan rangkumkan kepada misalnya Kurikulum SPI – Pra, Fardhu Ain, rendah, menengah, tahfiz dan Masjid-Surau. Kurikulum hendaklah dirangka merangkumi berbagai jenis pendidikan di atas menurut kesesuaian peringkat.
  2. Perbaiki bangunan dan keperluan pengajaran kepada peringkat piawaian yang standard.
  3. Perbanyakkan peluang SPI kepada semua rakyat di negeri Selangor.
  4. Wujudkan peluang bagi pelajar cemerlang (Mumtaz) dengan membanyakkan Sekolah-sekolah Menengah bagi pelajar cemerlang
  5. Berunding dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi Kerajaan Negeri menentukan polisi dan menyalurkan pelajar cemerlang Selangor ke 23 buah Sekolah yang diserahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada pihak Kerajaan Persekutuan.
  6. Memilih guru-guru berkelayakan dan memberi mereka latihan mengajar pada peringkat sijil dan diploma pengajaran yang diiktiraf.
  7. Beri jaminan kepada guru-guru dengan menjadikan mereka guru tetap dan berpencen mengikut skim dan kelulusan
  8. Buat kiraan misalnya dengan peruntukan tahunan bagi semua jenis pendidikan selama ini sebenarnya berpadanan ? tepat dan sesuai dengan perbelanjaan dan penghasilan. Jika tidak perlu dibaiki. Pertambahan mengikut keperluan dan kesesuaian.
  9. Melengkapkan Pengajian Tinggi di Selangor seperti UNISEL dan KUIS atau ditambah dengan pengajian tinggi yang lain sesuai dengan keperluan-keperluan pelajar di Selangor. Fakulti, jabatan dan kursus-kursus juga ditambah menurut keperluan, di samping peluang belajar di institusi-institusi pengajian tinggi yang lain di dalam dan luar negeri/Negara.
  10. Jangan jadikan Pengajian Tinggi terlampau berorientasikan komersil, sebab itu yuran hendaklah wajar dan tidak terlampau membebankan pelajar.
  11. Pengajian Tinggi di Selangor hendaklah mempunyai jaringan dan kerjasama dengan universiti-universiti dalam dan luar Negara. Jadikan Pengajian Tinggi di Selangor setara jika tidak lebih baik dengan pengajian-pengajian tinggi di dalam dan luar Negara.
  12. Galakkan pihak swasta menaja pengajian dan membuka pengajian-pengajian swasta di Selangor bagi semua peringkat dengan mengambil kurikulum dari Negeri Selangor dan mendapat kerjasama dari pihak Kerajaan Negeri Selangor.
  13. Wujudkan Jabatan Pendidikan bagi SPI negeri Selangor bersendiri dari segi pentadbiran dan Peruntukan dengan diketuai seorang Ketua Pengarah.
  14. Tanamkan azam bagi menjadikan Selangor Pusat Pengajian Islam Ulung di Negara dan dirantau ini hingga ke taraf global dan dapat menarik pelajar-pelajar dari negeri-negeri di Malaysia dan Negara-negara luar Malaysia.

5. Penutup

Hasrat bagi memperbaiki dan mengukuhkan SPI di Selangor tidak akan dicapai tanpa bekerja secara pasukan dan berjamaah. Pakar-pakar hendaklah dijemput bagi membincangkan cadangan, keperluan dan perlaksanaan. Pakar-pakar dimaksudkan bukan saja dari kalangan tempatan – iaitu dari Selangor sahaja, tetapi dari berbagai-bagai universiti di dalam dan luar Negara. Seminar, konvensyen dan diskusi perlu diadakan bagi mencapai rumusan terbaik untuk dilaksanakan. Semoga hasrat menjadikan Selangor Pusat SPI terulung di Malaysia dan dunia global dapat dicapai.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment