Suasana ibadat Ramadhan al-Mubarak sebenarnya mulai terasa dari bulan Rajab lagi, khususnya bila sambutan Isra' Mikraj diadakan di sana sini bermula 27 Rajab. Pembicaraan dominant selain dari kisah-kisah perjalanan Nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan cerita-cerita di dalam peristiwa Mikraj, penekanan adalah penerimaan salat fardu lima kali sehari semalam. Sembahyang selain dari kewajipan harian penekanan juga di dalam bulan Ramadhan dari tarawih, tahajjud, tasbih, hajat, duha juga terhadap tadarrus al-Qur`an. Puasa-puasa sunat lebih diberi tumpuan mulai dari Rajab dan Sya'ban. Sementara itu Masjid al-Hasanah turut mengadakan ceramah, surau al-Nur mengadakan forum dan di Surau al-Umm tazkirah mengenai persiapan Ramadhan.
Di dalam hal ini Pejabat ADNS dengan AJK Penerangan dan Kebajikan juga terasa dengan sentuhan bulan-bulan ibadat ini. Misalnya bahagian penerangan mengadakan Sambutan Isra' Mikraj pada 25 Julai (13 Sya'ban) 9.30 malam bertempat di Medan Usahawan. Penceramah yang dijemput khas pada malam tersebut ialah Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman AJK Pas Pusat dan juga sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka. Tumpuan ceramah beliau pada malam itu, ialah ingatan-ingatan dan tauladan-tauladan yang dapat diambil dari Isra' Mikraj yang dipadankan dengan suasana masyarakat dan politik semasa dalam mana berlaku berbagai penyelewengan dan ketirisan. Beliau membandingkan kepimpinan yang baik ialah kepimpinan yang dilambangkan dengan imam dan makmum di dalam sembahyang. Sebelumnya ADNS Bangi, ketika mengalu-ngalu kehadiran Peneceramah dan para hadirin memaklumkan bahawa ceramah pada malam tersebut adalah merupakan siri lanjutan kegiatan memasyarakatkan ilmu. Beliau berterima kasih, walaupun cuaca agak hujan, tetapi kehadiran tetap memuaskan. Beliau memaklumkan Medan Usahawan adalah merupakan ruang aktiviti yang akan terus dimanfaatkan bagi kegiatan ilmu dan penerangan – sesuai dengan isu dan keadaan.
Sementara itu Lajnah Kebajikan yang memang aktif akan lebih aktif menjelang Ramadhan dan di dalam bulan Ramadhan. Berbagai program sedang diatur untuk turun kepada masyarakat menjelang Ramadhan. Masjid-surau akan menjadi tumpuan kebajikan di samping turun kepada masyarakat bagi menziarah faqir miskin, ibu tunggal, anak-anak yatim dan mereka yang sakit. Mereka juga akan bekerjasama dengan surau-surau dan masjid-masjid untuk mengadakan kegiatan-kegiatan seperti memasak bubur lambuk, menganjurkan kegiatan ibadat dan majlis-majlis berhubung dengan kebajikan. Pendek kata suasana ibadat makin terasa dan makin dihidupkan dengan kegiatan-kegiatan berkenaan.
No comments:
Post a Comment