July 21, 2010

Merasmikan Perpustakaan Di Pusat Komuniti Cina, Kg. Aman, Pekan Bangi

Pekan Bangi, 06 Syaaban = 18 Julai (Ahad):


Pagi ini ADNS Bangi bersama Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang bersama hadir ke Pusat Komuniti Masyarakat Cina di Kampong Aman, Pekan Bangi di sini bertujuan bersama Merasmikan Pembukaan Perpustakaan Komuniti yang ditaja peruntukan perpustakaan bersama antara ADNS Bangi dengan Y.B. Teo Nie Ching. Kami disambut Ketua Kampong Encik Lau Swee Chew. Turut hadir ialah Mr. Gan Boon Cheng Ketua Kampung Baru, Semenyih dan beberapa pemimpin setempat, penduduk-penduduk serta anak-anak sekolah.


Perpustakaan Komuniti ini ditempatkan di bahagian bawah Pusat Komuniti dua tingkat di sini. Bangunan ini telah disiapkan beberapa tahun yang lalu dengan kos, menurut En. Lau, RM100 ribu ringgit hasil dari derma orang ramai. Bahagian atas digunakan untuk majlis-majlis sambutan, hari kebesaran, pertunjukan kebudayaan dan juga tempat berceramah. Oleh kerana bahagian bawah kosong dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya, maka ADNS berbincang dengan Ketua Kampong Encik Lau Swee Chew bagi menjadikan bahagian bawah sebagai Perpustakaan. Ini selari dengan slogan 'Bangi Bandar Ilmu' Cadangan ini menjadi realiti dengan kerjasama penduduk setempat.


Setelah memotong reben secara bersama di hadapan pintu perpustakaan, kami masuk ke dalam. Kami dapati buku-buku sudah tersusun di ruang hadapan dan di dalam bilik-bilik. Lebih kurang 2,000 buah buku telah terhimpun, tetapi belum dikatelog sepenuhnya Kebanyakan buku di dalam bahasa Cina, di samping Inggeris dan bahasa Melayu. Koleksi buku-buku ini sesuai untuk dibaca oleh anak-anak tadika, pelajar-pelajar dan juga orang tua. Ianya terbuka untuk dibaca oleh penduduk Kampong Aman dan sekitar.


Mulai hari ini pendaftaran ahli perpustakaan dijalankan. Beliawanis sukarelawan menjalankan pendaftaran. Menurut Ketua Pendaftar yang mengedarkan borang pendaftaran kepada mereka yang berminat menjadi ahli, bahawa,
"Pendaftaran untuk orang dewasa adalah sejumlah RM30/= , manakala pendaftaran untuk pelajar dan anak-anak adalah sebanyak RM10/= seorang sahaja. Setakat ini keahliannya lebih kurang seratus orang."


Menurut Pendaftar, "Kami akan luaskan pendaftaran ke sekolah-sekolah berdekatan sebagai sumbangan kami kepada mereka mendapat peluang membaca dan meminjam buku-buku dari perpustakaan di sini."


Kami berbincang dengan Ketua Kampong, Encik Lau tentang keperluan lain bagi Perpustakaan di sini seperti air-condition bagi memberi kenyamanan dan keselesaan pembaca, computer, kerusi, meja di samping penambahan koleksi buku yang akan dilengkapkan dari masa ke masa.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment