July 7, 2010

Rasmi Mesyuarat Agung PPBBB & Forum Pemikiran Bangi

BBB, 21 Rajab = 04 Julai (Ahad):


Pagi hari ini Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB) mengadakan Mesyuarat Agung bagi kali Ke 21 bertempat di Bilik Cempaka, Kompleks PKNS, BBB, ADNS Bangi YB. Dr. Shafie Abu Bakar dijemput merasmikannya.


ADNS Bangi dalam ucapan perasmiannya menyifatkan PPBBB adalah satu Badan NGO yang amat penting di dalam mencorakkan halatuju dan pembangunan BBB yang pada peringkat awal menekankan keislaman dan kebumiputraan. Komitmen ini berterusan dan kini menekankan secara lebih jelas perjuangan Islam Melayunya. Sebagaimana kata YDP Dr Tajul Ariffin Nordin dalam mesejnya:
"Sudah sampai masanya PPBBB memikirkan fasa perkembangan untuk tempoh selepas 30 tahun (1977-2010). Dalam fasa perkembangan ini, beberapa persoalan perlu diselesaikan oleh PPBBB. Di antaranya ialah siapakah dan apakah kualiti kepimpinan yang diharapkan untuk meneruskan kepimpinan PPBBB ? Apakah lonjakan paradigma peranan PPBBB dalam aspek-aspek agama, sosial, pendidikan, ekonomi, politik dalam kerangka Bangi Bandar Ilmu? Apakah suasana kehidupan di BBB yang mesti dipelihara, dipertahankan dan diperjuangkan? dan apakah bentuk generasi yang ingin dibangunkan dan dilahirkan di BBB ini ?"


YDP itu memberi jawapan kepada pertanyaannya, katanya, "Jawapan kepada perkara ini hanya satu. Pengalaman hidup dan pengalaman berpersatuan dalam PPBBB menuntut kita untuk membina dan memperjuangkan konsep Islam Melayu khasnya di BBB dan Malaysia serta Dunia Melayu amnya."

Konsep ini tidak bercanggah bahkan selari dengan prinsip perjuangan kita, bahkan hakikat sejarah sendiri, bahawa Islamlah yang mengidentitikan Melayu dan Melalui Islam tumbuh dan berkembangnya peradaban dan tamadun Melayu dan Islamlah tonggak perjuangan kita yang turut memperkukuh alam peradaban dan tamadun Melayu.

Dalam hubungan Bangi secara meluas dan BBB – kita meletakkan motto yang jelas bahawa kita bekerja bagi menjadikan Bangi sebagai Bangi Bandar Sejahtera, Bersih, berilmu, prihatin dan Berkebajikan. Bagi kesejahteraan bagi kawasan DNS Bangi dan BBB secara khusus, kita telah melantik enam orang ahli MPKj mengikut zon-zon bagi menjalankan khidmat dan menjaga kepentingan zon-zon termasuklah BBB. Mereka telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik, walaupun tidak dinafikan tidak semua masalah dapat diselesaikan. Selain dari lantikan ahli-ahli MPKj, kita juga melantik enam orang ketua kampong + seorang ketua kampong dari Kampong Baru Cina (di Pekan Bangi). Sebagaimana ahli-ahli MPKj begitu juga dengan ketua-ketua kampong, tidak semua masalah dapat diselesaikan. Walau bagaimana banyak perkara dapat dilakukan dan akan terus dilakukan bagi kepentingan penduduk. Dari segi kebersihan kita banyak mendapat kerjasama dari PPBBB di dalam kempen kebersihan di BBB. Sejak Mac 2008 lebih dari 50 gotong royong kecil dan besar bagi membersihkan kawasan. Melalui MPKj, Pejabat ADNS Bangi dan PPBBB telah dilancarkan Zon Bersih yang melibatkan seksyen Satu dan 16. Kempen ini berterusan dari Ogos 2009 hingga akhir April 2010 bersama dengan kempen kebersihan ini dipulihkan Medan Selera Seksyen Satu dan dikenali dengan Medan Usahawan. Bagi menjamin kebersihan dari masalah sosial dan kemasyarakatan, kita juga melancarkan kempen mencegah maksiat melalui kerjasama polis, Jabatan Agama, Masjid-Surau dan Persatuan Penduduk. Beberapa pertemuan dengan pihak polis diadakan bagi mengatasi masalah sosial seperti di Kajang Utama, Surau al-Umm BBB, Taman Jasmin, Taman Seri Langat dan beberapa pertemuan yang lain. Sebagai kesan gejala sosial makin menurun sebagaimana dibentangkan oleh pihak polis dalam mesyuarat Penyelarasan di Pejabat Daerah secara dwi-bulanan.

Walau macam mana masalah bersih masalah berterusan, sesudah bersih, kembali kotor jika tidak diberi perhatian. Sebagai contoh kempen bersih di zon bersih, kembali kotor dengan habisnya tempoh bersih dan kerja-kerja bersih. Sebaik-baiknya kerja bersih ini bukan bersifat bermusim, tetapi MPKj seharusnya membentuk skuad bersih yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain membersih tempat-tempat kotor secara berterusan. Kini aduan kotor kedengaran di sana sini. Aduan ini perlu didengar dan diambil tindakan. Bagi meningkatkan kecergasan dan kesihatan kita mendekatai golongan muda dengan mengadakan berbagai-bagai pertandingan seperti kejohanan bola sepak, sepak takraw, badminton, pingpong, futsal dan bola jaring. Bagi masyarakat dewasa kita sering mengadakan hari kesihatan dengan pemeriksaan dan nasihat percuma dari satu tempat ke tempat yang lain dan dari masa ke masa.

Usaha kita di dalam memprojekkan "Bangi Bandar Ilmu" boleh dikatakan antara yang berjaya. Sejak kita cetuskan idea berkenaan mulai tahun 2007 dan dilancar secara rasmi oleh YAB Tan Sri Dato` Sri Menteri Besar Selangor pada 22.6.2008 di KUIS `Bangi Bandar Ilmu diterima masyarakat. Ini diperkukuhkan dengan kegiatan-kegiatan yang kita lakukan seperti Merakyatkan Ilmu yang dilakukan di pasar, tepi tasik dan di dataran Usahawan, mengadakan kegiatan Wadi Ilmu, melancarkan Pemikiran Bangi secara bersiri, mengadakan seminar, forum, diskusi buku, pameran, ceramah dan sebagainya. Kegiatan ilmu disemarakkan oleh masjid-surau yang berterusan mengadakan kegiatan keilmuan yang bersifat pengajaran, ceramah, tazkirah, tadarrus dan kursus. Kita juga menganjurkan kelas-kelas tuisyen bagi pelajar-pelajar, membekalkan buku-buku kepada perpustakaan-perpustakaan Sekolah dan tempat ibadat, juga membekalkan peralatan kerusi meja bagi Sekolah-sekolah dan setiap tahun memberi insentif kepada pelajar-pelajar berjaya di dalam berbagai peringkat peperiksaan dan juga membantu pelajar-pelajar miskin. Kegiatan-kegiatan seperti ini dan pendekatan-pendekatan terbaru perlu dilakukan. Cuma di dalam menjalankan kegiatan keilmuan ini kita berpendapat kita ketiadaan tempat yang sempurna dan selalu meminjam dan menyewa tempat dari masa ke semasa. Lantaran itu kita mengulang-ngulang cadangan dan harapan agar pihak berkuasa mendirikan "Convention Centre" bagi kegiatan ilmiah dan yang yang berkaitan dengannya. Convention Centre sedemikian seharusnya menjadi identiti dan landmark bagi Bangi Bandar Ilmu. Kita akan berusaha dan mengharapkan cadangan ini akan menjadi realiti pada masa mendatang.


Dari keperihatinan terhadap masyarakat, kita melaksanakan polisi kerajaan negeri yang merakyatkan ekonomi negeri Selangor. Kita laksanakan skim Warga Mas, Tawas, bantuan kepada pelajar miskin, skim Bantuan Masuk Universiti, pinjaman/biasiswa kerajaan negeri dan cuti bersalin.

Dari segi kebajikan, kita berpendapat bidang ini paling berjaya. Ianya dilakukan secara berterusan sejak kita diberi mandate, bahkan semasa di luar mandate dan hingga kini. Kita mempunyai lajnah kebajikan yang aktif yang bergerak berterusan membantu masyarakat seperti memberi bantuan kepada orang-orang miskin, menziarah warga mas dan menyampaikan buahtangan, menziarah orang-orang sakit dan uzur sama ada dirumah, rumah kebajikan atau di hospital. Begitu juga membantu yang kemalangan dan yang mengalami bencara seperti kebakaran, banjir dan rebut taufan, lemas dan kematian. Dari segi kebajikan juga kita mempunyai skim memberi bantuan kepada usahawan-usahawan kecil seperti mengusahakan ternakan ikan keli, membantu modal kepada ibu tunggal berniaga kuih dan nasi lemak, memberi modal orang kurang upaya menjual akhbar dan menghidupkan warung keluarga miskin yang kekurangan modal.

Pada keseluruhan kita, juga bersama kegiatan oleh PPBBB berjaya membina identiti Bangi Bandar Ilmu bercirikan Islam yang penduduknya merasa selesa dan sejahtera. Lantaran itu BBB menjadi lokasi rebutan untuk dihuni dan pertambahan penduduknya berlaku secara drastic mengakibatkan hartanah di sini melambung tinggi dan ruang tanah yang tinggal amat terhad. Bagi meningkatkan kemajuan BBB kita cadangkan agar diluaskan Bangi kepada konsep `Bangi Raya` yang terangkum di bawah BBB bersama denga Pekan Bangi sebagai Bangi I, manakala, Sungai Ramal Luar dan Dalam sebagai Bangi 2, Seri Putra dan Bukit Mahkota sebagai Bangi 3 dan Sungai Tangkas ke Bandar Teknologi sebagai Bangi 4. Bangi Raya tidak mengubah nama asal tempat-tempat. Dalam jangka panjang Bangi akan mempunyai majlis perbandaran dan mempunyai kawasan Parlimen dan Dewan-Dewan Negeri Selangor. Diharap idea dan pandangan yang dilontarkan sama dapat didokong oleh PPBBB.

Selepas perasmian, diadakan forum "Islam Melayu" yang kertas konsepnya dibentangkan oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin sendiri dan diulas oleh dua orang panel, iaitu Dr. Mohd Noor Manuty (KUIS) dan Ustaz Mohd Idris Mohd Yusooff, diikuti dengan mesyuarat agung. ADNS Bangi tidak berkesempatan menyertai forum kerana mempunyai program-program di tempat-tempat lain.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment