July 3, 2010

Pendidikan: Utamakan Kualiti

BBB, 20 Rajab = 03 Julai (Sabtu):

Bidang pendidikan sekarang berdepan dengan cadangan perubahan – menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR. Kalangan yang terlibat dengan pendidikan tidak sekata, walaupun sebahagian daripada mereka dan yang luar dari bidang pendidikan mengiakan sebagai mengikut arus semasa.

Menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR adalah isu besar yang melibatkan sistem pendidikan, masa depan pelajar-pelajar, bahkan halatuju Negara. Adalah kesilapan yang besar, berdasarkan hujah-hujah naïf diutarakan bahawa penghapusan agar pelajar tidak tertekan dengan peperiksaan dan lebih banyak masa untuk ko-kurikulum dan para guru tidak terbeban. Lebih malang lagi jika penghapusan peperiksaan semata-mata untuk perubahan kerana Menteri Pelajaran berubah. Dia mempunyai pendekatan sendiri. Kelak dia Menteri Pelajaran beridentiti. Sekurang-kurangnya pada masanya dikenang "Dia Penghapus Peperiksaan". Ingat jangan bereksperimen tidak tentu pasal tanpa berasaskan kajian, penyelidikan, ujian dan penilaian.

Sebarang tindakan yang tidak berasaskan kajian ilmiah, semata-mata melepas cakap, risiko menanti akan membuktikan bahawa sistem pendidikan Negara adalah lemah, pelajar-pelajar tidak mempunyai daya tahan yang tinggi, tidak tahan diuji dan tidak berkualiti. Adapun guru-guru pula yang kurang berdepan dengan ujian – Ingat ujian terhadap pelajar juga adalah ujian terhadap guru, dalam keadaan releks, kurang motivasi dan cabaran mengakibatkan menurunnya mutu pelajaran dan pendidikan. Berdepan dengan dunia global graf kualiti pendidikan Negara tercorot ke bawah, pelajar-pelajar lemah dan terkebelakang dari segi kualiti dan mengurangkan para genius yang dapat melonjakkan Negara berkualiti dari segi inovasi sains teknologi, ekonomi bahkan agama, pendidikan dan kemanusiaan.

Keluar Negara ke barat - pandanglah pada bangsa German yang terkenal dengan manusianya yang berkualiti dan keluaran-keluarannya yang berkualiti – ke timur pada orang Jepun pada manusianya yang berkualiti dan keluarannya yang kini lebih berkualiti dan pandang pula pada manusia Malaysia dan bandingkan dengan kedua-dua bangsa di atas. Samakah kualiti manusia Malaysia dengan kualiti kedua-dua bangsa di atas dan samakah pula keluaran Malaysia dengan keluaran kedua-dua negera di atas ? Hatta pada kualiti sukan. Adakah mutu sukan Malaysia, katakan bola sepak (kini musim pertandingan Bola Sepak Dunia) sama dengan mutu bola sepak German ? Bahkan satu masa dulu – 1980an mutu bola sepak Negara kita menyamai bola sepak Jepun dan Korea, kini kita ketinggalan dan tidak berkembang! Jepun dan Korea sekurang-kurangnya dapat mewakili Asia ke Piala Dunia.

Apakah yang membezakan kita dari mereka ? Mutu !!!

Membicarakan pendidikan di Malaysia, bukannya membicarakan bagaimana meringankan pelajar dan guru di dalam mendepani pelajaran. Tetapi adalah menilai bagaimanakah mutu pelajaran dan pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Dengan kurikulum yang ada pada peringkat rendah, menengah hingga ke pengajian tinggi, adakah pelajar dan pendidikan kita cukup bermutu ? Dengan sistem peperiksaan – bukan penilaian ? kita pada peringkat UPSR, PMR, SPM dan pada peringkat pengajian tinggi sudah cukup bermutu ?

Pembelajaran sesungguhnya tidak terpisah dari penilaian. Seorang anak yang dihantar oleh ibu bapanya untuk mengaji al-Qur`an dengan seorang guru misalnya tidak terpisah dari penilaian. Guru berkenaan tidak akan mengalih dari pengajian mengenal huruf alif, ba, ta kepada pembacaan surah sebelum betul-betul mengenal huruf. Ianya adalah melalui proses penilaian. Pihak majikan yang mau menerima seorang pemohon bekerja mau menilai dan memilih pekerja terbaik dari segi keilmuan, khususnya yang berkait dengan pekerjaan dan juga kemahiran. Sekali lagi pembelajaran tidak terpisah dari penilaian.

Kembali kepada hasrat mau menghapuskan UPSR dan PMR. Mengapa penghapusan ? Soalan yang harus ditimbulkan apakah UPSR dan PMR cukup sempurna dan lengkap ?
Jawapannya tentu tidak. Banyak kelemahan dan ruang-ruang yang dapat diperbaiki baik dari segi kurikulum, ko-korikulum dan latihan guru dan infra-struktur yang berkaitan.
Kita mencadangkan perlu ada perubahan struktur, pengisian dan penilaian.

Pada peringkat persekolahan hendaklah diadakan dua tahap sahaja dengan peperiksaan pada peringkat PMR sekarang ditiadakan.

a) Penilaian formal tahap rendah yang memakan masa 7 tahun. Murid belajar selama 7 tahun (tahun satu sebagai Pra) mulai umur 6 tahun hingga umur 12 tahun. Murid dinilai sepanjang tahun setiap tahun. Penilaian setiap tahun merupakan 50 peratus dan dicampur dengan penilaian akhir oleh pihak Kementerian selepas tujuh tahun belajar murid-murid keluar dengan sijil Penilaian Tahap Rendah. Sijil (PTR) sebagai pengiktirafan terhadap mereka keluaran dari mana-mana sekolah. Sijil ini lebih bermaksud sebagai sentimental value.
b) Penilaian Tahap Menengah, iaitu mulai pelajar berumur 12 tahun dan berterusan sehingga umur 17 tahun. Penilaian juga dibuat secara berterusan. 50 % dari markah tahunan dicampur dengan peperiksaan formal dari Kementerian dan pelajar keluar dengan sijil Penilaian Tahap Menengah (PTM).
c) Tidak setuju pengkategorian mata pelajaran kepada sains dan sastera sahaja pada peringkat menengah yang mengkategorikan pula pelajar kepada pelajar sains dan sastera, tetapi hendaklah dikelompok mengikut nature pelajaran contoh kelompok sains, kemanusiaan, keagamaan & moral, kelompok bahasa dan sukan. Pelajar menengah hendaklah memilih secara kombinasi dari mata-mata pelajaran yang dapat membentuk pelajar mendalami sains, tetapi bersifat keagamaan, kemanusiaan dan bergiat sukan dan insya Allah mengurangkan pelajar yang tidak peka dengan nilai akhlak dan kemanusiaan.
d) Tidak setuju penilaian terhadap Sekolah secara keseluruhan, sebagaimana dicadangkan, kerana ianya lebih melebarkan jurang antara Sekolah elit dengan sekolah biasa, Sekolah asrama dengan yang tidak berasrama (harian) dan Sekolah di bandar dengan Sekolah di luar bandar
e) Kurikulum pada peringkat Penilaian Tahap Rendah (PTR) dan Penilaian Tahap Menengah (PTM) hendaklah dirangka dan disusun semula, begitu juga dengan kursus perguruan hendaklah sesuai dengan keperluan terkini dan hendaklah mementingkan kualiti yang bertaraf dunia.
f) Pendemokrasian pendidikan hendaklah dilaksanakan. Misalnya keutamaan ke Sekolah asrama diberi kepada pelajar miskin, tetapi maju. Peluang-peluang menyambung pengajian juga berdasarkan merit dan pencapaian.
g) Pendidikan selepas PTM dianggap pendidikan tinggi mulai dari diploma kepada ijazah. Pada peringkat ini juga memerlukan penilaian dan peningkatan dari segi kualiti.

Pendidikan Negara kita hendaklah mementingkan kualiti yang dapat membentuk manusia berkualiti dan menghasilkan product berkualiti menyaingi mutu pendidikan bertahap internasional dan global.

Sekian.

No comments:

Post a Comment