Hingga ke hari ini Muhammad Akmal bin Muhammad Arshad (16) yang lemas di Sungai Langat dekat Desa Sentosa kerana menyelamatkan Mohd Faris Ridzuan bin Azman (11) jiran satu bloks rumah pangsa selepas berjaya menyelamatkan adiknya Muhammad Alif Ehsan (11), belum diketemui. Mayat Mohd Faris Ridzuan selamat diketemui dan dikebumi.
Sepanjang masa kehilangan Muhammad Akmal, usaha mencarinya tidak pernah terhenti, baik oleh pihak bomba, polis, NGO-NGO, orang ramai, lebih-lebih lagi keluarganya. Semalam 30 Jun (Rabu), selepas berbagai usaha dan ikhtiar dijalankan, pihak keluarga, disertai bapa saudara Muhammad Akmal, iaitu Encik Hamzah bin Ahmad (41) bersama-sama satu kumpulan terdiri dari lapan orang turun ke Sungai Langat berkayak dari Hulu – Tempat kejadian lemas berdekatan dengan Desa Sentosa ke hilir menuju ke Kuala Langat mencari Muhammad Akmal. Dalam berkayak secara berasingan dalam satu kumpulan, seorang peserta, iaitu Muhammad Almuzammil Zainuddin (17) terbalik dipukul arus deras, sebagaimana Muhammad Akmal menolong adik dan jirannya, maka demikian bapa saudaranya En. Hamzah bin Ahmad cuba menolong Muhammad Almuzammil, tapi kedua-duanya lemas. Kali ini mayat yang menolong, iaitu En. Hamzah Ahmad diketemui, tetapi yang ditolong, iaitu Muhammad Almuzammil masih belum diketemui. Kini dua yang hilang masih belum diketemui, manakala dua yang lemas telah diketemui dan selamat dikebumikan. Usaha dijalankan oleh pihak bomba, polis dan orang ramai mencari Muhammad Almuzammil, juga Muhammad Akmal Muhammad Arshad yang masih belum diketemui.
ADNS Bangi pagi ini dihubungi oleh beberapa pihak memaklumkan tentang tragedi menyayat hati itu. ADNS Bangi bersama saudara Amir Othman dan Saudara Shahrum bertolak ke Dengkil, kerana dimaklumkan mayat En Hamzah telah dibawa pulang dari Hospital Serdang ke Kampong di pinggir Dengkel – Sungai Merab – Putra Jaya.
Setibanya ADNS Bangi jenazah sedang diurus kafan dan dapat sama menunaikan sembahyang jenazah di surau berdekatan rumah diuruskan jenazah (rumah mertua al-Marhum).
Al-Marhum En. Hamzah meninggalkan seorang balu dengan 4 orang anak. 3 daripadanya perempuan dan yang bongsu lelaki – Muhammad Adam.
Menurut En Kamaruddin bin Kiman adik ipar bagi Al-Marhum, bahawa Al-Marhum pada masa hayatnya bekerja sambilan dengan kontrektor pembinaan dan isterinya adalah suri rumah sepenuh masa. Kata En. Kamaruddin Arwah menyewa rumah di kampong tidak jauh dari rumah mertuanya dan kemungkinan isterinya akan kembali tinggal bersama orang tuanya di sini.
ADNS Bangi berkesempatan mengucap takziah kepada keluarga Al-Marhum dan menemui anak-anak Al-Marhum yang masih kecil – yang sulung berumur 6 tahun dan yang kecil Muhammad Adam 2 tahun. Inna li`l-Lahi wa inna ilahi raji`un.
Sekian.
*Catatan: Beberapa hari berikutnya mayat Muhammad Al-Muzammil selamat diketemui dan dikebumikan di kampungnya di Port Dickson. Semoga roh al-Marhum dicucuri rahmat Allah.
No comments:
Post a Comment