July 1, 2010

Seri Tanjung: Bergotong Royong

Seksyen 7, 14 Rajab = 27 Jun (Ahad):


ADNS berkesempatan menghadiri Majlis Pelancaran Gotong Royong yang diadakan di bawah bangunan salah sebuah rumah pangsa, Kelompok Seri Tanjung di sini. Gotong royong bertujuan membenteras aedes dan denggi yang berlaku di kawasan di sini. Setakat ini tidaklah bersifat serius dan belum berlaku sebarang kematian. Gotong royong lebih bersifat waspada dan pencegahan. Hadir sama ke majlis ini ialah Encik Yusoff Bachik Ahli MPP Zon 21, MPKj. Turut hadir saudara Faizal dari MPKj dan Dr Veronica Lugah dari Jabatan Kesihatan Hulu Langat.


Saudara Amran Ismail Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Tanjung mengucapkan terima kasih kepada YB ADNS Bangi, En. Yusoff, En. Faizal dan Dr. Veronica kerana dapat datang ke Upacara Perasmian Gotong Royong yang diatur Persatuan Penduduk. Beliau juga berterima kasih kepada respond penduduk yang turun sama menyempurnakan majlis dan seterusnya akan sama bergotong royong.


En Yusoff Bachik selaku Ahli MPKj mahu penduduk senantiasa peka terhadap kebersihan kawasan, khususnya rumah masing-masing. Kita tidak mahu bila kita diserang denggi dan sebagainya, baru bertindak. Kita hendaklah bersifat pro-aktif dan mengambil tindakan mencegah sebelum berlaku sesuatu wabak.


ADNS Bangi yang dijemput merasmikan gotong royong berkenaan berterima kasih kerana berpeluang bertemu penduduk sekali lagi. Beliau sukacita melihat penduduk bersatu dan bekerjasama bergotong royong. Kerjasama sedemikian bukan saja bagi membasmikan aedes, tetapi di dalam kegiatan-kegiatan yang lain seperti Hari Keluarga, sukan dan perayaan-perayaan yang diadakan oleh penduduk dan ADNS beberapa kali menghadirinya. Beliau memuji Persatuan Penduduk yang mengambil saluran yang tepat dengan memanggil terutama pihak Jabatan Kesihatan dan MPKj dan Ahli MPKj En. Yusoff bagi mengadakan gotong royong berhubung dengan denggi. Tindakan yang bersifat pencegahan adalah lebih baik dari bertindak selepas berlakunya kematian sebagaimana berlaku di beberapa tempat yang lain yang pernah ADNS menghadirinya. Sesungguhnya kesihatan adalah satu-satunya yang amat berharga. Kita tidak dapat menilai betapa tingginya harga kesihatan, kecuali apabila kita sakit dan hilang kenikmatan, apa lagi jika berlaku kematian – kehilangan orang yang kita sayang. Kita bergotong royong pada hari ini, pada hakikatnya kita melahirkan kasih sayang pada kawasan perumahan kita, kasih sayang pada penduduknya, kasih sayang pada keluarga dan anak-anak kita dan kasih saya pada diri diri. Dengan kebersihan kita memupuk kasih sayang kepada semua.


Dr. Veronica dalam penerangannya mengenai Denggi menyebut bahawa kes denggi tertinggi adalah kawasan Petaling dan Hulu Langat berkedudukan tempat kedua. Beliau menyebut ada beberapa jenis demam yang membawa wabak dan boleh merebak. Antaranya demam Lepro Sparasis dibawa oleh tikus yang diakibatkan oleh kekotoran tempat tinggal dan membiarkan sampah tidak terurus. Berbeza dengan denggi yang dibawa oleh nyamuk aedes dari tempat yang tidak semestinya kotor, tetapi dari tempat bertakungnya air seperti di dalam bekas-bekas yang berair, bekas-bekas plastik yang terbiar dan ditakungi air hujan atau di dalam bekas-bekas alas pasu bunga yang disiram dan sebagainya. Nyamuk aedes boleh mengekalkan telurnya dalam bekas yang telah kering dan menetas bila digenangi air kembali. Kuman aedes boleh berpindah dari pesakit kepada pesakit yang lain melalui gigitan nyamuk aedes yang biasanya berlaku pada waktu pagi dan juga petang.

Menurut Dr. Veronica seseorang boleh diserang demam denggi sampai empat kali (Jika tidak maut). Demam kali kedua lebih teruk dan boleh membawa kepada denggi berdarah dan maut. Manakala pada kali ketiga dan keempat biasanya tubuh sudah mempunyai ketahanan diri. Demam perlu dicegah, dia boleh menjangkau 7 hari. Bila berlaku demam jangan tunggu-tunggu, kalau demam denggi boleh bawa bahaya jika tidak bertindak segera. Pergi check dan dapat kepastian dan rawatan dari doktor di hospital.


Para peserta gotong royong dibahagi kepada kumpulan-kumpulan. Tugas setiap peserta mencari tempat-tempat yang disyakki menjadi tempat membiaknya aedes serta membasminya dan bukannya melonggok barang-barang rumah yang hendak dibuang. Selamat bergotong royong.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment