July 27, 2010

Menyampaikan Sumbangan Komputer dan Kerusi Ke SRAI Bangi

image

Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Bandar Baru Bangi bersebelahan Balai Polis BBB adalah Sekolah SRAI kedua terbesar di Selangor, selepas SRAI Seksyen 19, Shah Alam. Kini SRAI BBB mempunyai 4 buah bangunan empat tingkat di atas tanah berkeluasan 12 ekar. Murid-murid berjumlah 1,200 orang dengan guru berjumlah lebih 80 orang. Walaupun merupakan Sekolah kedua terbesar, tetapi tidak mempunyai kelengkapan yang cukup. Bangunan yang terbaru siap hingga kini belum disempurnakan dengan letrik dan belum mempunyai bekalan air. Sekolah tidak mempunyai computer untuk urusan pentadbiran dan perkeranian. Perpustakaan yang agak besar (Guna dua kelas yang disatukan), tetapi hampir kosong dari buku-buku dan kekurangan dari kerusi-meja. Lantaran itu pihak Sekolah memohon dari ADNS Bangi peruntukan bagi melengkapkan keperluan. ADNS Bangi meluluskan sejumlah wang (RM4,000) membeli dua buah computer dan 70 buah kerusi.

image

Pagi ini ADNS bersama dengan pembantu-pembantu ADNS Bangi datang ke Sekolah bagi menyerahkan dua computer dan sejumlah kerusi tersebut. Kehadiran kami – diminta sampai jam 8.00 pagi disambut oleh Pengerusi PIBG Sekolah Yang Berbahagia Dr. Zainuddin Sajuri dan Guru Besar Ustaz Razali Ahmad Sihat yang baru bertukar ke Sekolah ini lebih sebulan yang lepas. Kami agak terkejut, kehadiran kami untuk membuat serahan secara biasa, diadakan secara ijtimak. Murid-murid berhimpun di pekarangan Sekolah sebelum masuk ke kelas, diadakan acara ringkas dalam mana Pengerusi PIBG berucap ringkas berterima kasih di atas sumbangan kami yang tidak seumpamanya dan memaklumkan kekurangan-kekurangan yang dihadapi oleh Sekolah, juga memaklumkan kegiatan-kegiatan yang diadakan oleh pihak PIBG bagi memajukan Sekolah, Pengerusi PIBG berpendapat, jika Sekolah lengkap dari segi prasarana, maka Sekolah akan lebih maju lagi. Menurut Dr. Zainuddin Pengerusi PIBG, hingga kini, walaupun Sekolah ini kedua terbesar di Selangor, masih tidak mempunyai seorang keranipun. Sekolah tidak mempunyai peruntukan tahunan dari pihak Kerajaan. Bergantung kepada pihak PIBG untuk mendapatkan dana. Kerja-kerja perkeranian terpaksa dilakukan oleh Guru Besar, manakala Guru Besar pula melaporkan tentang prestasi Sekolah yang agak meningkat. Sekolah menerima permohonan yang tinggi daripada ibu bapa bagi memasukkan anak-anak mereka ke Sekolah, tetapi terpaksa ditolak. Murid-murid yang belajar di Sekolah ini berada di Sekolah dari jam 8.00 hingga jam 4.00 petang. Mereka mengikuti pengajian secara integrasi antara pendidikan agama dan akademik. Bayaran dikenakan bagi makan minum adalah sebanyak RM50/= sahaja sebulan. Dengan menghantar ke Sekolah integrasi, murid-murid bukan saja dapat mengikuti dua jenis pengajian secara serentak, bahkan ibu bapa – terutama kedua ibu bapa yang bekerja merasakan anak-anak mereka lebih selamat kerana berada di Sekolah sepanjang hari dan dapat mengelak anak-anak merayau-rayau yang boleh mengakibatkan mereka terjebak di dalam gejala sosial.

image

ADNS Bangi di dalam ucapan ringkasnya berbangga dengan kewujudan SRAI di BBB dan berharap Sekolah ini menjadi salah sebuah Sekolah terkenal di BBB, maju dari segi akademik, ko-kurikulum dan murid-murid terkenal dengan akhlak yang baik. Beliau mengucapkan tahniah hasil dari kerjasama antara guru-guru, PIBG dan ibu bapa maka Sekolah ini menjadi salah sebuah SRAI termaju di Selangor. Berhubung dengan kekurangan peralatan di Sekolah ADNS Bangi akan bekerjasama bagi melengkapkan keperluan Sekolah. Menurutnya pihak kerajaan negeri berusaha bagi menyediakan peluang pelajar-pelajar terpilih bagi melanjutkan pelajaran ke Sekolah-sekolah terpilih pada peringkat menengah hingga ke peringkat pengajian tinggi di dalam maupun di luar Negara. Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan jumlah kedua besar bagi pendidikan dan agama Islam. Beliau berharap BBB dan Negeri Selangor terkenal sebagai pusat pendidikan sama ada pendidikan umum maupun agama, sesuai dengan Bangi sebagai Bandar Ilmu.

 

image

Penyampaian dua buah computer dilakukan oleh ADNS Bangi dengan diterima oleh Pengerusi PIBG dan Guru Besar di hadapan ijtimak murid-murid dan guru-guru. Selepas majlis penyampaian ADNS Bangi diiringi Pengerusi PIBG, Guru Besar dan guru-guru melawat Perpustakaan yang agak luas. Di Perpustakaan ini ditempatkan kerusi-kerusi plastic yang dihadiahkan oleh ADNS Bangi. Perpustakaan mempunyai amat sedikit buku-buku yang diatur di atas satu dua rak buku sahaja. Tiada sebarang hiasan atau ungkapan-ungkapan yang menyemarakkan ruang perpustakaan dan menggalakkan murid-murid suka membaca dan berada di Perpustakaan. Melihat kekosongan ADNS Bangi teringat kepada sejumlah frame-frame ayat Qur`an dan gambar-gambar yang ADNS terima semasa kunjungan dilakukan, maka ADNS meminta dihantar wakil-wakil datang mengambilnya dari Pejabat ADNS. Selepas minum dan memohon diri, sejam berikutnya Guru Besar dan Pembantunya datang ke Pejabat menerima frame-frame ayat-ayat Qur`an dan gambar-gambar dihadiah oleh ADNS Bangi kepada pihak Sekolah untuk dihiaskan sama ada di Perpustakaan atau tempat-tempat yang sesuai.

image

image

Sekian.

1 comment:

  1. Terima kasih YB. Apa yg dimaklumkan semuanya benar. Apapun, kemudahan bekalan air, terutamanya ke bangunan baru dirasakan amatlah perlu diambil tindakan segera. Jumlah tandas yg ada bekalan air tidak dapat menampung keperluan 1,200+ anak murid dan 80+ guru-guru dan kakitangan.

    ReplyDelete