July 6, 2010

Haji: Rasmi Menutup Kursus Bersiri

Masjid al-Hasanah, 20 Rajab = 03 Julai (Ahad):


Setiap tahun Masjid al-Hasanah menganjurkan kursus Haji dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Daerah Hulu Langat. Demikianlah bagi tahun 1431H./2010 M. Kursus Haji secara bersiri diadakan di sini selama 17 minggu berturut-turut, bermula dari 6 Mac 2010 hingga 3 Julai 2010. Kursus diadakan pada setiap hari Sabtu bermula dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Pembimbing bagi kursus ialah Ustaz Salihin Bin Haji Sapuan dan Dr. Muhd Najib Abd Kadir. Peserta kursus adalah berjumlah lebihkurang 700 orang. Selama masa tersebut bakal Haji mengikuti semua aspek Haji, mulai dari persediaan peringkat awal hinggalah kepada pemergian, mengenali perkara utama mulai dari wajib dan rukun Haji serta sunat agar peserta.-peserta dapat memahami dengan sebenarnya mengenai Haji dan menyempurnakan Haji sebaik mungkin.


Pada pagi ini ialah program menutup Kursus Haji Bersiri yang berumlah 17 minggu itu. Hadir sama ke Majlis Penutupini ialah, Tuan Norhaizad pegawai Tabung Haji, Tuan Haji Napiah bin Sahrani Nazir Masjid al-Hsanah, Tuan Imam Supaat Abdul Rahman Imam Masjid al-Hasanah dan Ustaz Salihin Safwan penyampai kursus. Sebelum Majlis penutup – pada sebelah pagi diadakan penerangan dan latihan Amali Haji mengenai cara memakai ihram, tawaf, melontar dan Sai.


Sebelum majlis penutupan, ucapan disampaikan oleh Dr. Laila yang menerangkan tentang keperluan menjaga kesihatan sebelum dan semasa menjalankan amalan Haji, persediaan bagi pesakit-pesakit, kaedah-kaedah pencegahan dan rawatan. Tuan Nazir Masjid bercakap tentang kesediaan masjid menjadi tempat kursus dan berharap para bakal Haji dapat mengikuti kursus dengan selesa dan sebarang kekurangan, beliau memohon maaf. Manakala Tuan Norhaizad yang mewakili Pengurus Tabung Haji Daerah Hulu Langat bercakap tentang koata Haji yang diperuntukkan bagi Jamaah Haji Di Malaysia iaitu sebanyak 26,000 orang bagi setiap tahun. Seramai 500,000 berdaftar dan menanti untuk menunaikan fardu Haji. Jika dikira dari segi giliran melibatkan tempoh penungguan sehingga 23 tahun. Sebab itu perlu berdaftar lebih awal bagi mendapat giliran lebih awal. Untuk memberi peluang kepada yang belum menunaikan Haji, seorang yang telah menunaikan Haji tidak boleh mendaftar sehingga selepas 5 tahun untuk kembali menunaikan Haji. Ini tidak lain bagi memberi peluang bagi mereka yang belum menunaikan Haji. Menurut Wakil Dari Pengurus Tabung Haji Peringkat Daerah Hulu Langat itu, "Bagi mereka yang mempunyai banyak kewangan dan berhasrat menunaikan Haji secara kerap, adalah elok bagi mereka yang seumpama ini menaja para jamaah Haji yang belum menunaikan Haji, tapi tidak mempunyai kewangan yang cukup. Dengan menaja mereka yang seumpama ini oleh yang berkewangan, insya Allah tidak kurang pahala yang didapati, jika amalannya dilakukan secara ikhlas." Menurutnya lagi orang yang mempunyai kewangan boleh juga membuka akaun Tabung Haji kepada pelajar-pelajar yang memungkinkan mereka dapat menunaikan Haji pada masa hadapan.


Bagi Majlis Penutup ADNS mengucap tahniah kepada semua yang mengikuti kursus kerana terpilih bagi menunaikan Haji pada tahun ini. Bersyukur kepada Allah di atas pemilihan yang dikurniai. Menunaikan Haji adalah satu kewajipan fardhu bagi yang cukup syarat. Bagi kebanyakan daripada kita, inilah sekali peluang bagi menunaikan Haji. Oleh kerana itu tunaikanlah Haji sebaik mungkin. Bagi kesempurnaan Haji perlukan pembelajaran. Kita berterima kasih kepada pihak Tabung Haji yang bukan saja menyediakan peluang menunaikan Haji, tetapi menyediakan peluang mengikuti kursus-kursus Haji - kali ini secara bersiri. Kata ADNS Bangi, "Saya difahamkan oleh Pengerusi Majlis, Tuan Haji Kamaruddin, Setiausaha Masjid, selepas kursus bersiri ini akan diadakan pula kursus secara intensif dan Kursus Haji Perdana."


Menurut ADNS Bangi lagi, dengan menunaikan fardhu Haji, insya Allah makin mengukuhkan keimanan kita, kerana kalau selama ini, kita hanya mendengar maklumat dari penceramah dan guru tentang Baitullah, tanah Makkah dan Madinah, maka dengan menunaikan Haji kita dapat menyaksi dengan mata kepala dan beramal di Masjidil Haram, menyaksi tempat-tempat sejarah kerasulan nabi Muhammad dan perjuangannya di Makkah dan juga Madinah. Mengunjungi Makam Nabi dan sahabat-sahabat dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah yang lain. Kita berharap dengan menunaikan Haji insya Allah akan meningkatkan keimanan kita, meninggikan mutu ibadat dan berdoa kepada Allah menjadikan kita hambanya yang salih - makin patuh dengan suruhan Allah dan meningkat dari segi kewarakan. ADNS Bangi mengakhiri ucapan penutup dengan selamat menunaikan Haji dan didoakan semoga Allah akan menerima Haji yang akan ditunaikan sebagai Haji yang mabrur. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment