July 30, 2010

Sekolah Pelajar Mengandung ?

BBB, 17 Sya'ban = 29 Julai (Khamis):

Begitulah berita di dalam beberapa media cetak hari ini. Cadangan ini datangnya dari seorang Ketua Menteri – Ali Rustam. Termenung kita seketika dengan cadangan ini, wajarkah diadakan Sekolah Pelajar Mengandung? Bernaskah cadangan ini ?

Sepintas lalu adakah cadangan Ketua Menteri Melaka ini di dalam konteks negeri Melaka menandakan beliau lebih peka dan mendahului negeri lain? Statistik yang dicatat secara rasmi tentang pembuangan bayi sejak 2005 – 2010 adalah sebagaimana berikut:

(Sumber: Sinar, Khamis, 8 April 2010: 1 - 2).

Berdasarkan catatan di atas Melaka tidaklah serius dengan pembuangan bayi. Tapi melihat keseluruh Negara, khususnya Selangor adalah serius dan membimbangkan. Cadangan yang bernas dan lebih efektif ialah melihat kepada gejala-gejala yang membawa kepada Pelajar Mengandung dan Membuang Bayi dan membasmikan gejala-gejala tersebut.

Adapun cadangan mendiri atau mewujudkan Sekolah Pelajar Mengandung, seolah-olah melihat gejala mengandung di kalangan pelajar perkara biasa dan bukannya bersalah. Sebarang kejadian mengandung, maka Kerajaan sedia mengambil tanggungjawab. Akibatnya akan berleluasalah gejala mengandung di kalangan pelajar. Sebagai natijah semakin meningkatlah statistic pelajar mengandung dan juga semakin banyaklah berlaku pembuangan bayi. Mahukah kita dengan fenomena sedemikian ?.

Pelajar mengandung adalah diakibatkan oleh:

* Dasar pendidikan Negara yang kurang menekankan akhlak, moral dan tidak
berfokus mendidik warga Negara kepada berkeperibadian tinggi.

* Dasar hiburan Negara yang tidak berfokus kepada pendidikan akhlak
Sekolah kurang memberi penekanan kepada nilai agama dan moral
Ibu bapa tidak memberi perhatian terhadap anak-anak, khususnya dari persoalan agama dan moral
Ibu bapa tidak mengawal anak-anak daripada membaca dan menonton bahan-bahan lucah.
Ibu bapa tidak menghadkan pergaulan anak-anak - mereka dibiarkan bebas.
Membiarkan anak-anak keluar khususnya di kota dan bandar bersendirian

Bagi membasmi gejala pelajar mengandung hendaklah mengambil pendekatan yang holistic melibatkan dari peringkat atas dari aspek dasar dan polisi hinggalah ke peringkat bawah dan akar umbi.

Lantaran itu sesuai dengan kerancakan perbincangan mengenai mau menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR atau sebaliknya hendaklah sama dibincangkan pengisian pendekatan di dalam dasar dan prinsip pendidikan Negara yang mau membentuk generasi yang bermoral dan berkeperibadian tinggi dan Negara janganlah semata-mata mementingkan keuntungan material dan menjerumus, terutama golongan muda ke dalam kehidupan yang bderfalsafahkan hedonisme.

Kurikulum persekolahan pada semua peringkat di samping mewujudkan golongan pelajar yang berilmu hendaklah membentuk pelajar berakhlak dan berkeperibadian tinggi. Kursus-kursus komuniti keluarga bahagia dan pengajian agama hendaklah dirangka bagi keluarga mengikuti dan membentuk keluarga berjaya dan bermoral. Mereka tidak sepatutnya mementingkan career semata-mata bagi yang bekerja, tetapi hendaklah ditanam di dalam diri anak-anak dengan nilai moral, tanggungjawab dan patuh pada nilai agama. Mereka seharusnya tidak dibiarkan bebas tanpa kawalan dan pemantauan. Hendaklah dipupuk bagi semua golongan meletakkan nilai kekeluargaan di tempat yang tinggi dan memandangnya sebagai yang suci dan murni. Kesalahan moral contoh pelajar mengandung dan ibu mengandung di luar nikah bukan saja salah dari segi agama, tetapi dipandang sebagai satu kesalahan besar dari segi sosio-budaya dan kehidupan kemasyarakatan.

Cadangan mengadakan Sekolah Pelajar Mengandung semata-mata , tanpa melihat kepada gejala dan sebab akibat yang memerlukan kepada pembasmian dari akar umbi adalah cadangan yang cetek. Jika pun wujud, pelajar mengandung, maka ianya lebih sesuai dihantar ke Pusat Pemulihan dan apabila benar-benar pulih baru dikembalikan kepada masyarakat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment