July 11, 2010

Menitip Pesan Kepada Pelajar-Pelajar Menyambung Pelajaran - Ke Timur Tengah

ILDAS, Sabak Bernam, 27 Rejab = 10 Julai (Sabtu):



Bagi tahun 2010 pihak Jais memilih 182 pelajar cemerlang bagi menyambung pengajian di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi di Timur Tengah, iaitu 139 orang ke Mesir, 37 orang ke Jordan dan 6 orang ke Morocco. Mereka adalah lulusan dari pelbagai Sekolah agama menengah di Selangor dan akan menyambung pengajian di dalam berbagai bidang seperti perubatan, Bahasa Arab, Usuluddin dan syariah. Mereka ditaja oleh MAIS di bawah peruntukan zakat. Sebelum bertolak mereka dikehendaki mengikuti berbagai kursus – dan sejak 4 hingga 10 Julai mereka dikehendaki mengikuti Kursus Persediaan Ke IPT Di Timur Tengah di ILDAS. Hari ini adalah hari penutup dan ADNS Bangi hadir ke sini mewakiliYB Dato' Dr Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam bagi merasmikan acara penutup kursus. Turut hadir ke Majlis Perasmian Penutup ialah Tuan Haji Mohd Amir Bin Haji Danuri, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Tuan Haji Hanifuddin Bin Roslan Pengarah, Institut Latihan dan Dakwah Selangor, Tuan Hj Abd. Malek Awang Besar Ketua Jabatan Pembangunan Ummah, Lembaga Zakat Selangor, Tuan Haji Muhammad Subari Bin Ramli, Dekan Pembangunan Mahasiswa KUIS, Tuan Haji Mohd Ishak Bin Haji Anuar, Ketua Pusat, Pusat Latihan Pengurusan Pendidikan Islam ILDAS, tetamu-tetamu kehormat, ibu bapa dan pelajar-pelajar yang diraikan.



ADNS Bangi dalam menitip pesan kepada pelajar mengucap tahniah kepada pelajar-pelajar yang mendapat peluang menyambung pelajaran ke IPT di Timur Tengah. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada guru-guru dan ibubapa yang sama mendidik pelajar-pelajar dan anak-anak hingga berpeluang menyambung pengajian. Beliau memetik maksud daripada ayat al-Qur`an (Al-Taubah: 22) yang menuntut perlu adanya segolongan – mereka yang berkelayakan, menyambung pengajian bagi meningkatkan kualiti keilmuan masyarakat. Pelajar-pelajar menurutnya adalah memenuhi sebahagian dari tuntutan berkenaan. Pelajar-pelajar adalah kelompok terpilih dan menjadi duta bagi negeri Selangor yang kelak akan kembali berkhidmat dan meningkatkan kualiti keilmuan rakyat negeri Secara khusus dan Malaysia secara menyeluruh.


Beliau memaklumkan kepada pelajar-pelajat bahawa Sistem Pendidikan Islam (SPI) negeri Selangor adalah paling lengkap – wujud dari peringkat rendah hingga ke peringkat universiti. Tiada negeri lain seperti SPI Selangor. Negeri Selangor juga amat prihatin dengan SPI – Setiap tahun bajet berhubung dengan keislaman adalah kedua tertinggi berbanding dengan peruntukan yang lain ditambah dengan peruntukan dari zakat yang mencecah RM250 juta setahun. Dalam hal ini Kerajaan negeri memberi peruntukan kepada lebih dari 550 institusi pendidikan di dalam berbagai peringkat dengan guru berjumlah 16,500 dan murid dan pelajar melebihi 320,000 orang. Ini tidak termasuk pendidikan swasta yang jumlahnya melebihi 300 buah.


Sebahagain dari pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran di IPT Timur Tengah diperlukan bukan setakat berkhidmat di institusi pendidikan di sini – termasuk di pengajian tinggi seperti di KUIS dan lain-lain, tetapi bagi memperbaiki, meningkatkan taraf serta menambahkan jumlah dari institusi-institusi yang ada. Kita mau jadikan Selangor hub pendidikan bagi semua bidang keilmuan termasuk bidang kleislaman.

ADNS Bangi memberi semangat kepada pelajar supaya mempunyai visi dan cita-cita tinggi di dalam menghadapi pelajaran, bukan setakat mencapai kejayaan bagi ijazah peringkat permulaan, tetapi hendaklah berazam melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doctor falsafah. Menurutnya kita mau hasilkan tokoh-tokoh ilmuan yang berwibawa dan bertaraf alamiah dan global. Kita mau melahirkan tokoh ilmuan Islam di negeri dan Negara kita setaraf seperti Prof. Dr Yusof al_Qardhawi, Prof. Ahmad Ibrahim, Maududi dan sebagainya.

Menurutnya, kita bergembira melihat lahirnya ulama dan intelektual muda yang berwibawa umpamanya Dr. Hafiz, engineer hafiz dan sebagainya. Tapi kita mau bukan setakat lulus, tetapi berkhidmat dan menghasilkan karya-karya keilmuan yang tinggi mutunya yang diiktiraf pada peringkat alamiah dan global. Begitulah tingginya hasrat beliau menitipkan pesanan-pesanan menjelang perasmian penutup.



Sebelum daripada itu Tuan Haji Hanifuddin Bin Roslan Pengarah ILDAS memaklumkan sebelum pelajar bertolak mereka dikehendaki mengikuti dan memahami kaedah percakapan masyarakat awam (bahasa Arab Pasar), memahami masyarakat dan budaya setempat, mereka juga dikehendaki prihatian terhadap etika, disiplin dan menjaga kesihatan. Menurut Tuan Haji Hanifuddin pelajar-pelajar ke Jordan akan bertolak pada 16 September, pelajar-pelajar ke Mesir akan bertolak mulai 18, 19 dan 20 September, manakala pelajar-pelajar ke Morocco pula akan bertolak pada awal oktober. Beliau mengharap pelajar-pelajar merasa selesa semasa mengikuti kursus di ILDAS, tapi katanya, pelajar-pelajar jangan mengharapkan keselesaan sangat, kerana mungkin apa yang ditempuh dan alami nanti lebih sukar dari apa yang dialami kini. Anggaplah kelak semuanya sebagai ujian di dalam menghadapi pelajaran. Beliau juga mengharapkan ibu bapa jangan bimbang melepaskan anak-anak belajar jauh, kerana mereka akan terus diawasi oleh wakil-wakil kerajaan negeri di tempat-tempat mereka belajar. Lagi pula menurut Ustaz Hanifuddin, ibu bapa boleh berkomunikasi dengan anak-anak bila-bila saja melalui berbagai-bagai alat komunikasi moden. Jumlah pelajar perempuan yang terpilih adalah dua pertiga dari semua yang dihantar.



Sebelum dari acara majlis menutup diadakan Tayangan Slide Aktiviti Sepanjang Kursus Persediaan, ucapan Wakil Pelajar dan Ikrar beramai-ramai pelajar dan Penyerahan Aku Janji kepada ADNS Bangi. Sebelum bersurai ADNS Bangi menyampaikan sijil-sijil kursus kepada pelajar-pelajar yang menyertai Kursus Persediaan dan penyampaian hadiah dan cenderahati.


Sekian.

No comments:

Post a Comment