July 27, 2010

RM50 Ribu ADNS Bangi Luluskan Untuk Surau-Masjid di DNS Bangi

Pejabat ADNS – Bangi, 14 Sya'ban = 26 Julai (Isnin):

Ahli Dewan Negeri Selangor (ADNS) Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar petang ini meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada seluruh surau dan masjid di Dewan Negeri Selangor – Bangi bagi dimanfaatkan bagi kegiatan ibadat di bulan Ramadhan al-Mubarak. Kelulusan ini diambil melalui keputusan Mesyuarat AJK Kewangan Peruntukan ADNS Bangi yang dipengerusikan oleh Ustaz Shafie Ngah Timbalan YDP Pas Serdang.

Peruntukan ini akan dibahagikan secara sama rata kepada semua surau dan masjid di DNS Bangi yang berjumlah sebanyak 100 buah itu. Surau-surau dianggap lebih memerlukan bantuan ini, kerana surau-surau kekurangan sumber, manakala masjid dan surau besar yang mendirikan sembahyang Jumaat diberi jumlah sama dengan surau-surau biasa, iaitu RM500/=, kerana masjid dan surau-surau besar yang mendirikan sembahyang Jumaat mempunyai sumber kewangan tetap hasil dari kutipan mingguan pada setiap hari Jumaat. Jumlah RM50,000 dianggap jumlah yang besar, kerana ia melibatkan 10% daripada peruntukan tahunan ADNS. Ini bererti setiap surau dan masjid di DNS Bangi, sekurang-kurangnya mendapat 1% (RM500/=) dari peruntukan tahunan ADNS Bangi. Ini tidak termasuk permohonan-permohonan yang lain yang di pohon untuk surau dan masjid – misalnya pembaikan kerosakan, pembelian peralatan dan berbagai kegiatan yang lain.

Sementara itu pihak AJK Kebajikan ADNS Bangi yang diketuai oleh Haji Rushdi memohon sebanyak RM25,000 bagi kegiatan Ramadhan seperti membantu faqir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan sebagainya. AJK Kewangan meluluskan sebanyak RM10,000 terlebih dahulu dan mengharapkan AJK Kebajikan berusaha mendapat kewangan dari sumber-sumber yang lain seperti derma dari orang ramai, sadakah dan sebagainya. Sekiranya peruntukan tidak mencukupi, maka permohonan tambahan boleh diajukan untuk pertimbangan.

Sekian.

1 comment:

  1. Agaknya Surau Seri Tanjung Seksyen 7 tak termasuk dalam senarai Surau yang terlibat dapat peruntukan Ramadhan ye, YB?

    ReplyDelete