July 24, 2010

Konvensyen Falak 2010: Memahami Rahsia Alam

Shah Alam, 05 Sya'ban = 17 Julai (Sabtu):


Konvensyen yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor berlangsung di Shah Alam bertempat di Convention Centre (SACC) dan di buka dengan rasminya oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor. Turut hadir bersama ialah Mufti Negeri Selangor Sahibus Samahah Dato` Seri Utama Diraja Y.A.D. Dato` Setia Hj Mohd Tamyes Bin Abd. Wahid Mufti Negeri Selangor,
Dato` Ramli bin Mahmud Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan pegawai-pegawai.


YAB Menteri Besar memuji inisiatif yang diambil oleh jabatan Mufti Negeri Selangor yang dapat mendedahkan kepada orang ramai bidang falak, iaitu satu bidang yang diterokai orang Islam bagi memenuhi tuntutan bagi menentukan kedudukan tempat, kiblat, dan memahami cakrawala. Mendalami ilmu falak memerlukan kemahiran di dalam bidang ukur dengan menggunakan angka. Sememangnya orang-orang Islam juga mendahului di dalam bidang Metamatik, al-Jibra dan Geometri. Tokoh-tokoh Islam yang terkenal di dalam bidang ini seperti Muhaammad al-Jabar, al-Biruni, al-Khuarizmi dan lain-lain, lantaran itu YAB menggesa dihidup dan dikembangkan pengajian bidang Falak di pusat-pusat pengajian tinggi di Selangor dan di Negara ini. Minat YAB Dato` Menteri Besar amat tinggi terhadap ilmu Falak. Ini dapat dilihat bahawa YAB amat tertarik dengan peralatan ilmu Falak yang dipamerkan. Beliau sendiri mengendalikan penggunaan alat-alat ilmu Falak seperti penggunaan teleskop, pengukur masa secara tradisional dan pengukuran ruang – jauh dekat.


Selepas perasmian ialah Ucaptama yang disampaikan oleh Ybhg. Dr. Danial bin Zainal Abidin Pengarah Urusan Daniel Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. dengan kertas kerjanya yang berjudul:

Menyingkap Rahsia Keagungan Allah Melalui Penerokaan Alam Semesta. Antara point-point yang disampaikan.

• Islam menggalakkan penerokaan angkasa lepas. Banyak ayat-ayat al-Qur`an berkenaan dengan planet, bintang dan cakrawala.
• Penyingkapan rahsia-rahsia diangkasa lepas dan alam seluruhnya mengukuhkan keimanan kepada Allah
• Islam melahirkan saintis, astronomi dan methodologisnya seperti Al-Farghani, Al-Battani dan yang lain yang menjadi asas bagi perkembangan ilmu astronomi dan sebagainya
• Penghargaan kepada tokoh-tokoh yang memperluaskan maklumat tentang kejadian alam.dan menjadi contoh tauladan bagi penduduk
• Islam mementingkan masa. Jangan biarkan masa berlalu begitu sahaja

Dua buah kertas kerja juga dibentang., iaitu kertas Falak Dan Teknologi yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dr. Azhari bin Mohamed – Pengarah ukur (Geodesi), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Rumusan dari kertas kerjanya adalah:
• Dengan mempelajari Falak membolehkan kita memahami tentang kedudukan sebahagian cakrawala, fenomena gerhana, arah Kiblat dan lain-lain
• Mempelajari ilmu Falak memahirkan kita menggunakan alat-alat bagi ukuran
• Memahirkan pengguna dan menjadi panduan di dalam kehidupan
• Dengan ilmu falak menjadikan pelajarnya memahami kedudukan sebenar dari segi ukuran .
• Kedudukan planet dan bintang berada di dalam keadaan tepat dan seimbang dan bergerak di atas garisan-garisan menurut ketentuan.

Manakala kertas kedua bertajuk Matahari Dan Cuaca Angkasa yang dibentang oleh Profesor Dr. Mohd Zambri bin Zainuddin dari Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya. Rumusan dari kertaskerjanya:

• Memahami perilaku matahari amat penting yang terhasil darinya cahaya dan cuaca
• Matahari wujud selepas 5 ribu juta tahun yang lalu. Ia berada hampir dengan kita sekitar jarak 150 juta kilometer
• Matahari ialah sebuah bebola gas gergasi yang bersinar-sinar
• Selepas wujudnya matahari planet-planet pun mulai wujud
• Saiz matahari ialah 109 kali saiz bumi dan jisimnya
• Jarak antara bumi dan matahari ialah 149,680,000 km.
• Proses nuclear yang berlaku di dalam bahagian teras matahari menghasilkan cahaya matahari yang keluar dari permukaan fotosfera dan memberi cahaya
• Hampir kesemua jenis kehidupan di bumi ini memerlukan dan memanfaatkannya melalui proses fotosintesis.
• Cuaca angkasa begitu berpengaruh dan berkaitan dengan penerokaan angkasa dan pembangunannya.


Kesimpulan penting ialah dengan mengkaji dan memahami perilaku Matahari dapat kita meramalkan cuaca angkasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengelak daripada berlaku kerosakan yang teruk ke atas satelit, sistem janakuasa, penggerudian saluran paip, petrol dan gas, geofizik dan penghasilan hidrokarban.

Ilmu falak timbul dari keinginan manusia mengetahui rahsia-rahsia angkasa dan alam yang membawa kepada meneroka untuk mengetahui dan menguasaainya.


Sekian.

No comments:

Post a Comment