July 5, 2010

PERSADA Anjur Majlis Amal Di Bandar Baru Bangi

Seksyen 7, BBB, 4 Julai = 22 Rejab (Ahad):


Selama dua hari berturut-turut ADNS Bangi berpeluang berkenalan dan memahami dua buah persatuan berdasarkan etnik keturunan dan anak negeri. Kelmarin (Sabtu) ADNS Bangi berinteraksi dan memahami tentang Kulaan Banjar dan tujuan berkulaan. Hari ini pula berpeluang menghadiri jemputan PERSADA, iaitu Persaudaraan Anak Darul Naim di Selangor dan Wilayah Persekutuan. PERSADA ditubuhkan sejak 17 Mac 2009 berpejabat di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor. Pengerusi PERSADA ialah Encik Mat Ali Hanafiah Mohamed dan Setiausaha ialah Saudara Razali Mat Ail.

Persada ditubuhkan menurut kertas yang diedarkan,

"Untuk menyatukan dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga Kelantan yang menetap dan bekerja di Sekitar Lembah Klang (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta masyarakat setempat) tanpa mengambil kira perbezaan warna kulit agama serta pegangan politik."


Adalah dijangka orang Kelantan yang merantau ke Lembah Klang dalam anggaran 400,000 orang. Sejak ditubuhkan Persada telah mengadakan berbagai-bagai kegiatan bagi mengeratkan hubungan antara warga Persada dengan penduduk setempat seperti Majlis Ramah Mesra, pertemuan dengan YB-YB setempat atau dari Kelantan, Sambutan Hari Raya, Memasak bubur Asyura dan sebagainya. Hari ini diadakan Majlis Jamuan Amal di BBB. ADNS Bangi Dr Shafie Abu Bakar dijemput hadir sama ke Majlis Jamuan Amal di sini. Majlis Amal diadakan di BBB menurut saudara En. Mat Ali, "Bertujuan menghimpun dan berkenalan dengan anak-anak Darl Naim yang berada di sekitar Bangi."


Ketika ADNS tiba jam 2.15 petang, Dewan Serbaguna dipenuhi dengan anak-anak Kelantan terutama dari kalangan orang muda lelaki perempuan dan kanak-kanak. Lagu-lagu Dikir Barat sedang rancak dinyanyikan oleh sebuah kumpulan. Menurut saudara Mat Ali "Pasukan Dikir Barat ini didatangkan dari Kajang Utama."Persatuan ini menurutnya bernama, "Persatuan Baiduri Kajang Utama." ADNS Bangi agak terkejut dengan maklumat tersebut. Kajang Utama sebagai kawasan Dewan Negeri Bangi, walaupun ADNS Bangi sering ke sana, tetapi tidak maklum wujudnya Pasukan Dikir Barat di situ. Insya Allah pada masa hadapan kita harap dapat bekerjasama dengan Pasukan Dikir Barat Baiduri ini. Pada pertemuan hari ini menu utama yang dihidangkan ialah Laksa dan Laksam – makanan berasal dari Pantai Timur.

Kehadiran ADNS Bangi atas jemputan biasa, sebagai menghadiri kenduri biasa, boleh datang antara jam 1.30 – 5.00 petang. Tetapi pada kehadiran ini selepas menjamu selira, makan laksa, ADNS Bangi diminta memberi sepatah dua ucapan.


ADNS Bangi mengucap terima kasih di atas jemputan dan bergembira dapat bersama anak-anak Kelantan yang menghuni di BBB. Beliau berpendapat langkah mewujudkan Persatuan Persada adalah tindakan yang baik. Melalui Persada dapat diadakan pertemuan silaturrahim di kalangan anak-anak Kelantan di sini. Perantauan ke sini biasanya didorong oleh dua faktor utama, mencari peluang pekerjaan atau mencari ilmu pengetahuan di sini sebagai tempat terkenal dengan pusat-pusat pengajian dan Bangi dikenali sebagai Bandar Ilmu. Melalui persatuan dapat dijadikan pengantara membantu anak Kelantan mendapat pekerjaan. Mungkin antara anak-anak Kelantan mempunyai firma, restoran atau bengkel memerlukan pekerja-pekerja, maka melalui Persada atau pertemuan seperti ini peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan. Dalam bidang pelajaran juga melalui Persada dapat diadakan kerjasama membantu pelajar-pelajar di sini yang bermasalah dan sebagainya. Tetapi ADNS Bangi berharap janganlah dengan adanya Persada menjadikan anak Kelantan memisahkan diri dari masayarakat setempat yang lain. Mereka hendaklah sama bergiat misalnya melalui aktiviti sarau dan masjid, juga persatuan-persatuan taman dan masyarakat setempat.

Sebagai ADNS Bangi, beliau berterima kasih kepada anak-anak Kelantan yang turut sama menyemarakkan kemajuan Bangi – seperti melalui perniagaan. Kata Tuan Guru Dato' Nik Aziz, "Orang Kelantan macam orang Cina di Malaysia." Sememangnya ramai daripada anak Kelantan melibatkan diri dalam perniagaan – termasuk di Bangi. Kalangan mereka juga terkenal sebagai orang beragama, sebab itu pimpinan surau dan masjid dianggotai sebahagian daripada mereka. Pendeknya mereka sama membina masyarakat setempat. ADNS Bangi mahu, walaupun kecintaan orang Kelantan masih tertumpah ke Kelantaan, tetapi kesetiaan perlu diberi kepada Bangi, selepas anak-anak Kelantan memilih Bangi sebagai tempat dihuni. Sama-samalah kita bina Bangi.

Selepas berucap ADNS Bangi diminta membuat cabutan no. bertuah dan meminta diri selepas menyampaikan hadiah-hadiah, kerana ada janji untuk melawat pesakit di HUKM. Ada hasrat untuk menunggu YB Salahuddin Ayub yang dijangka akan tiba, tapi oleh kerana ketidakpastian waktu ketibaan, maka dalam kerancakan bunyi dan lagu Dikir Barat, ADNS Bangi memohon diri terlebih dahulu.


Terima kasih. Sekian.

No comments:

Post a Comment