August 26, 2010

Kenapa Dinamakan Surau Tolabiah ?

Sungai Ramal Luar, 13 Ramadhan = 23 Ogos (Isnin):



Sungai Ramal Luar adalah merupakan destinasi sejarah pada peringkat nasional dan tempatan. Pada peringkat nasional lahir dari Sungai Ramal ialah tokoh pahlawan Negara yang mempertahankan Negara dari penjajahan dalam Perang Dunia Kedua, iaitu Leftenan Adnan. Beliau adalah anak watan dari Sungai Ramal. Nama ini diabadikan pada Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal yang merupakan Sekolah tempat Leftenan Adnan belajar. Pada peringkat negeri yang bersifat monument bersejarah ialah Masjid Haji Mat Saman (1926) yang terdiri di tepi Sungai, Sungai Ramal Luar yang jelas kelihatan bersebelahan jalanraya Putrajaya – ke Kajang-Cheras. Sebuah lagi bangunan bersejarah bersifat tempatan yang ada hubungan dengan pendidikan agama ialah Surau Tolabiah, Kg. Paya, Sungai Ramal Luar yang tidak berapa jauh dari Masjid Jamek Haji Mat Saman.


Mengapa dinamakan Surau Tolabiah ? Ini ialah pada masa sebelum Merdeka lagi tapak Surau Tolabiah ini adalah Sekolah agama yang dikenali dengan nama Madrasah Tolabiah
Bermaksud "Sekolah Tempat Menuntut (Ilmu)". Menurut Tuan Haji Abd. Rahman bin Haji Mohd Tahir Pengerusi Surau Tolabiah, "Bangunan Sekolah ini pada peringkat permulaan adalah dari papan," Tambah beliau, "Di sini merupakan Sekolah agama yang awal menjadi tempat didikan keagamaan penduduk setempat, di samping adanya Sekolah Melayu (Kebangsaan) di tempat sekarang." Bangunan Sekolah Agama yang lebih sempurna didirikan berhampiran dengan Masjid Jamik Haji Mat Saman. Kemudian Sekolah Agama yang lebih sempurna didirikan di Sungai Ramal Baru sejak sepuluh tahun yang lalu dan bangunan Sekolah di tepi Masjid Jamek diruntuh bagi memberi laluan kepada penambahan bangunan Masjid Haji Mat Saman. Sekolah Agama di Sungai Ramal Baru, Sungai Ramal Luar ini dikenali dengan Sekolah Agama Ar-Rahmaniah, iaitu Sekolah Rendah Agama yang terletak di bawah pentadbiran JAIS.


Bagi Madrasah Tolabiah, walaupun tempat belajar agama secara persekolahan telah berpindah, tetapi bangunan Madrasah di sini kekal dan bangunan kayu ini digunakan sebagai Surau. Kemudian Surau Kayu ini dibaikpulih dengan membinanya dengan bangunan batu. Tetapi nama tetap dikekalkan, dari Madrasah Tolabiah kepada Surau Tolabiah. Menurut Ketua Kampong Sungai Ramal, Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir, "Tapak Madrasah/Surau Tolabiah ini diwaqafkan oleh pemilik tanah individu di sini yang dikenali dengan Keluarga Jarkasi." Menurut Tuan Haji Mohd Yusof lagi, "Walaupun tapak Madrasah/Surau ini telah lama diwaqafkan, tetapi tindakan mendokumentasikannya sebagai tapak tanah waqaf tidak dilakukan."

Tuan Haji Mohd Yusof menambah, "Tindakan baru diambil sejak setahun lepas dengan persetujuan ketiga-tiga anak Jarkasi yang mewarisi bahagian lain dari tanah waqaf itu bersetuju menurunkan pengakuan tapak tanah Madrasah/Surau diwaqafkan."


Kata Haji Yusof sejak bulan Mac 2010 tapak Tanah Surau Tolabiah telah digezetkan."
Surau ini sejak dibangunkan sebagai surau dari batu, sudah mengalami pembaikan dan penambahan. Misalnya ADNS Bangi pada 2008 telah meluluskan sebahagian dari peruntukan menambaikan bilik air/tempat wuduk. Kini sedang dalam penambahan Bilik Mesyuarat.


Petang ini ADNS Bangi dijemput ke Surau Tolabiah mulai dari jam 6.00 petang untuk berbuka. Bersembahyang Maghrib, Isyak dan Tarawih dan menyertai Majlis Penyampaian bantuan anak-anak yatim dan miskin. Menyertai Majlis ini Ketua Kampong Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir, Pengerusi Surau Tuan Haji Abd. Rahman bin Haji Mohd Tahir dan AJK, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajiakan, para jamaah – muslimin dan muslimat dan para penerima sumbangan.


Dalam Majlis Ringkas Penyampaian Sumbangan berkenaan, Pengerusi Surau Tuan Haji Abd. Rahman bin Haji Mohd. Tahir mengucapkan terima kasih kepada ADNS Bangi yang dalam kesibukan dapat hadir bersama berjamaah dan menyertai Majlis ini. Beliau juga berterima kasih di atas sumbangan ADNS Bangi bagi menyiapkan Bilik Mesyuarat Surau. Manakala Tuan Haji Mohd Yusof Ketua Kampong membangkitkan masalah yang dihadapi surau dan tempat berdekatan, iaitu banjir. Ini ialah kerana bahagian saliran tidak sempurna dan tidak mampu menampung laluarn air. Sebab itu bila hujan lebat sering berlaku banjir dan merosakkan bangunan dan barang-barang."


ADNS Bangi dalam ucapan balas mengucap syukur kepada Allah melihat Surau dimakmurkan. Bangunan lebih selesa dengan menggunakan air-cond yang menyaman suasana dan menjadikan ibadat lebih selesan dan tenteram. ADNS Bangi bersedia bekerjasama memberi peruntukan yang bersesuaian dengan keperluan sekiranya dibuat permohonan. ADNS Bangi juga sukacita mendapat tahu, kegiatan keilmuan di sini di isi secara berterusan. Berhubung dengan aduan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Penyelarasan pada peringkat Daerah. Pada akhirnya Majlis Penyampaian Bantuan Dilakukan kepada 15 orang pelajar dan ADNS Bangi turut menyampaikan sumbangan kepada Surau Tolabiah.


Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum YB. Saya merupakan salah seorang cucu kepada Jarkasi.Terima kasih kerana masih memperingati jasa Arwah Datuk saya iaitu Jarkasi. Rasa terharu kerana jasa beliau atas pemberian tanah waqaf surau tersebut masih diingati. Ahamdulillah.

    ReplyDelete